Oleh: SriBunian
Assalamu’alaikum wm.wrt.,
Kemenangan UMNO di Pengkalan Pasir dengan majoriti 134 undi mengalahkan PAS dan Bebas mengesahkan bahawa Negara ini mengamalkan sistem pemerintahan diktator. Laungan demokrasi selama ini adalah omong-omong kosong sahaja. Seluruh ruang demokrasi dalam pilihan raya kecil ini disempitkan. Calon-calon PAS dan Bebas diberi gambaran hitam oleh media massa. Media massa menjadi tidak siuman menghentam dan memfitnah PAS dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, tanpa memberi sedikit pun ruang kepada PAS dan Bebas untuk menjawab balik tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu. Tidak ada satu perkara pun yang boleh dibanggakan dengan pengendalian urusan pilihan raya kecil ini serupa apa yang berlaku dalam pilihan raya umum ke 11 pada tahun 2004 yang lalu penuh dengan tipu muslihat, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Pengundi [khususnya undi pos] senarai pemilih masih lagi lintang pukang hasil kerja-kerja jahat SPR untuk memenangkan UMNO.
Keseluruhan kepimpinan UMNO bercakap tidak serupa bikin, menggambarkan mereka adalah pembela rakyat dan berwatakkan sebagai orang yang warak, tetapi hakikat sebenarnya mereka adalah pelesit, penipu, pembohong, perasuah dan sering menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan parti dan peribadi serta kroni-kroni mereka. Pelanggaran Akta Pilihan Raya 1954 [Akta 5] seperti amalan rasuah, ancaman, ugutan, memfitnah, menyalahguna kedudukan, menggunakan kemudahan awam untuk berkempen dan pelbagai lagi salah laku yang dilakukan oleh UMNO tidak dipedulikan oleh SPR. Kelentungan mereka ini mudah menjerebukan fikiran rakyat yang buta maklumat dari pelbagai sumber kerana media massa di Negara ini dikuasai oleh UMNO. Rakyat disumbat dengan maklumat sehala sahaja dari sumber kerajaan semata-mata.
Tidak payah disangsikan lagi betapa SPR memang berat sebelah. Caranya sama dengan sikap berat sebelah Amerika Syarikat membuli Negara-negara yang engkar menurut perintahnya. Afghanistan dan Iraq telah hancur akibat perbuatan AS. Sikap SPR adalah serupa dengan sikap yang ditunjukkan oleh AS itu. SPR akan hanya berurusan dengan UMNO, bukannya dengan BN, apatah lagi dengan parti bukan-BN. Parti Pembangkang hanya wujud untuk mengabui pemikiran dunia bahawa Malaysia mengamalkan dasar demokrasi. Setiap kali pilihan raya yang diadakan di negara ini tidak adil dan seimbang [bermain di padang yang tidak sama rata].
Tindakan, sikap dan pandangan SPR dilihat seperti satu cawangan kecil UMNO. Kalau anggota JKKK bersikap lebih UMNO dari wakil rakyat adalah munasabah, justeru dunianya kekampungan. Tetapi kalau SPR sedarjat dengan JKKK adalah suatu ajaib yang aib. SPR dilihat menjalankan kerja Umno atau untuk membantu Umno. Pembangkang-PAS lebih cekap mengesan pengundi hantu dari SPR. Dan SPR mahu mengatasi kelemahannya dengan bermusuh dengan pembangkang [PAS]. Pembangkang [PAS] sepatutnya berhadapan dengan UMNO, tetapi kini UMNO selamat kerana yang berhadapan dengan pembangkang [PAS] sekarang bukan UMNO tetapi SPR.
Abdullah Ahmad Badawi tidak pun merasa malu dan segan apabila bercakap mengenai isu Myanmar dalam Persidangan ASEAN ke 11 yang sedang berlangsung di KL sekarang ini. Beliau tidak pernah mencerminkan diri dahulu apa yang dia lakukan terhadap demokrasi di Malaysia. Lebih baik Dollah Badawi bercakap untuk memperbaiki amalan demokrasi di Malaysia terlebih dahulu sebelum bercakap untuk mendemokrasikan Myanmar.
Amat berbahaya bagi masa depan Myanmar sekiranya Myanmar mengikut amalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Amalan demokrasi di Malaysia tersimpanng jauh daripada amalan demokrasi sebenar. Demokrasi di Malaysia lebih jakon, masih ketinggalan zaman, masih lagi bercorak feudal dan masih lagi menggunakan undang-undang rimba. Demokrasi di Malaysia adalah demokrasi dictator atau demokrasi terpimpin seperti mana yang pernah diamalkan oleh Saddam Hussein ketika memerintah Iraq dulu dan kini kebanyakan Negara-negara di dunia kini tidak lagi menggunapakai sistem bobrok ini, walaupun ada Negara-negara berkenaan pada satu ketika dulu mengamalkan sistem ini seperti Indonesia, Filipina dan Iran, tetapi di Malaysia masih mempertahankan sistem ini kerana para pemimpinnya gilakan kuasa. Dengan kuasa yang ada senang untuk mencari kedudukan dan kemewahan dengan peralatkan rakyat yang bodoh, otak beku yang tidak pandai membuat pemilihan yang tepat berkaitan dengan kepimpinan Negara. Ini satu peringatan kepada rakyat Myanmar.
Balik kepada peranan SPR dalam Negara dictator ini, Pengerusinya Abdul Rashid Abdul Rahman memang amat jelas dengan peranannya membela UMNO. Bias. Tidak bertindak sebagai pengadil yang adil dan saksama. Komennya terhadap perjalanan kempen pilihan raya kecil itu tidak ubah seperti rungutan pemimpin utama UMNO. Tanpa segan silu beliau menyalahkan PAS atas beberapa insiden, khususnya berkaitan isu pengundi hantu dan mempertahankan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin UMNO. Sedangkan Perlembagaan menyatakan bahawa dia mahupun SPR tidak boleh berat sebelah menjalankan tugas. Dia telah dilantik memenuhi jawatan itu bukannya oleh kerajaan yang memerintah. Tetapi oleh Yang DiPertuan Agong. Secara langsung dia mempunyai kekebalan daripada sebarang pengaruh para pemimpin politik dan sepatutnya dapat menjalankan tugas dengan tegas untuk menentukan wujudnya sistem pilihan raya yang boleh dibanggakan. Dia tidak boleh dipecat daripada jawatannya kecuali dengan tindakan yang cukup rapi. Semua itu untuk membolehkan beliau menjalankan tugas dengan adil. Malangnya si malaun ini tidak percaya akan segala kemudahan itu. Dia telah mencemar peraturan Perlembagaan dengan menghambakan diri kepada UMNO. Apabila dia memainkan peranan begini, bererti dia mendedahkan kehaprakan jawatannya menjadikan diri dan Suruhanjaya yang dipimpin itu sasaran utama pihak pembangkang. Itulah kesannya masa kini.
Penggunaan pasukan polis dan tentera bagi membantu UMNO menang dalam pilihan raya kecil ini merupakan satu lagi ciri terpenting dalam sistem pemerintahan dictator. Pada hari membuang undi, seluruh kawasan DUN Pengkalan Pasir dikepung oleh pasukan polis seolah-olah kawasan ini didaruratkan. Semua kenderaan dan orang ramai yang keluar-masuk ke kawasan ini diperiksa dengan rapi, tetapi ada kenderaan-kenderaan tertentu dibenarkan masuk tanpa melalui pemeriksaan yang ketat. Pasukan polis juga bertindak menyelamat terhadap orang-orang yang berada dalam 22 buah bas yang ditahan oleh Unit Amal PAS dan beberapa orang yang ditangkap kerana disyaki pengundi hantu.
Dalam sidang medianya, Ustaz Nasharudin Mat Isa memaklumkan pendekatan kempen dalam pilihan raya ialah seperti ala-tentera. Penggunaan harta awam sesuka hati, menggunakan jentera-jentera kerajaan dengan sewenang-wenangnya, memperalatkan pegawai-pegawai awam dan institusi-institusi tertentu adalah manifestasi kediktatoran dalam pemerintahan sesebuah Negara. Inilah yang berlaku dalam Negara ini sekarang untuk mengekalkan kuasa memerintah.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
- SriBunian 13.12.2005
No comments:
Post a Comment