Wednesday, December 14, 2005

Plan Strategik 10 Tahun Suatu Langkah Baik

Oleh Tun Paduka Tuan.

Terima kasih kepada Putra KB kerana membentangkan rangka kertas kerja bertajuk “Perjuangan Pas – Satu Penilaian Semula (Plan Strategik 10 Tahun). Rangka kertas kerja berkenaan amat menarik sekali dan boleh dijadikan panduan untuk Pas memperkasakan pertubuhan itu seterusnya merangka blue print bagi mencapai impian untuk menjadi kerajaan di Malaysia suatu hari nanti.

Dengan adanya individu (Putra KB) yang sudi membentangkan rangka cadangan itu, ini jelas menunjukkan Pas mendapat perhatian dan diperhatikan umum. Bahawa bukan sedikit cerdik pandai yang boleh menuangkan idea seperti Putra KB memberi perhatian kepada Pas. Secara langsung juga ia menunjukkan Pas kini sudah bertakhta di hati rakyat dan ini merupakan potensi besar untuk Pas menjadi parti mengganti BN di masa akan datang.

Saya percaya bukan seminit dua untuk Putra KB menggarapan deraf berkenaan. Ia memerlukan penelitian mendalam dan juga pangamatan jauh. Dari cara tulisan Putra KB menggambarkan beliau juga seorang yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan. Masa yang banyak tentu diperlukan untuk menuangkan segala idea itu. Justeru Pas seharusnya tidak biarkan sahaja deraf itu lesu dalam laman ini.

Walaupun ianya dicadangkan secara ‘layang’ tetapi hal-hal yang baik begitu harus diberi perhatian. Saya mencadangkan kepada Putra KB agar mengulas lebih luas lagi kertas berkenaan dan dikompalkan menjadi buku untuk ditatapi oleh semua masyarakat, khasnya para penggerak Pas dan juga badan politik lain.

Dari banyak cadangan yang dikemukakan itu saya menjadi terfokus kepada perkara (iv) di bawah Perkara 13 yang berbunyi; mewujudkan satu mekanisme pelaburan yang mantap melalui sumber modal yang ada dan menceburi bidang yang mampu memberi pulangan kepada parti dan dalam masa sama rakyat mendapat pekerjaan. Fokus kepada politik yang menjadi agenda dominan ini hendak ditukar kepada fokus kepada kegiatan ekonomi secara lebih progresif.

Sebenanrya idea atau cadangan demikian sudah lama menentas di dalam minda saya. Apabila kita menyedari bahawa tahun demi tahun, dekad demi dekad Pas tidak melonjak naik dan jauh sekali menampakkan tanda-tanda mampu mengambil alih kekuasaan, (arus sokongan juga turun naik), maka wajar kalau Pas mengubah strategi dan pendekatan seperti mana yang dicadangkan itu.

Saya sangat bersetuju kita tidak perlu merasa sayang dengan apa yang ada sedangkan ianya tidak memberi manfaat besar kepada perjuangan agama, bangsa dan negara.

Realiti politik hari ini bukan mudah untuk Pas mengapai impiannya. Dengan realiti masyarakat yang rencam, fahaman politik yang berbeza, dibezakan oleh entik, budaya, agama dan sebagainya, bukan mudah bagi Pas menguasai Malaysia. Selamanya kaum Cina dan India (non muslim) akan menentang perjuangan Pas yang dicanangkan dengan cara kini. Itu hakikat.

(Satau kefahaman dalam hal ini, apakah mereka (non muslim) akan bersedia mengorbankan pegangan dan amalan atau budaya mereka untuk membolehkan kita merealisasikan cita-cita dan impian kita yang tidak sama dengan mereka?)

Sedangkan dalam naluri Pas, ia mahu membawa kesejahteraan kepada ahli dan rakyat seluruhnya. Itulah perjuangan Pas, membawa kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Kenapa, sesudah kita menyedari bahawa harapan kita untuk membantu rakyat, bukan mudah, kita tidak berpaling mencari idea dan pendekatan baru? Setidak-tidaknya kalau kita tidak dapat membantu rakyat, kita bantu ahli dan penyokong kita dahulu. Kita buktikan bahawa kita mampu untuk menjaga dan memelihara penyokong dan ahli kita. Bukankah setelah ahli kita yakin dan terikat kejap dengan kita mereka akan menjadi agen yang ampuh untuk menyemarakkan idealisme perjuangan.

Cara yang dipraktikan oleh Pas kini hanya membuang masa. Ia tidak banyak memberi manfaat kepada ahli sedangkan ahli telah menghabiskan masa dan tenaga yang banyak kepada perjuangan Pas. Cara politik provokasi juga sedikit sebanyak memberi impak yang tidak baik kepada negara.

Benar, semua (sesuatu yang baik) itu akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah, tidak di dunia tentu di akhirat. Itu janjiNya. Tetapi adalah kurang bijak kalau kita meneruskan juga jalan yang sukar, yang tidak memberi banyak kemenangan serta degil pula untuk mengubah strategi baru. Peringatan Allah yang berbunyi nasib sesuatu bangsa itu tidak akan berubah kalau bangsa itu sendiri tidak melakukan perubahan, haruslah dihayati dalam konteks ini.

Nah untuk memberi erti kepada perjuangan; memberi manfaat kepada ahli maka cadangan agar Pas menumpukan kepada bidang ekonomi, memberi pulangan bentuk kebendaan kepada ahli adalah lebih afdal di samping terus bermimpi dan berteriak untuk menawan Malaysia. Pas tidak seharusnya menjanjikan kepada penyokongnya akan memberi kesenangan hidup setelah mendapat kerajaan kelak, sebaliknya perlu buktikan Pas dapat menyumbang sesuatu di sepanjang masa sebelum menjadi kerajaan.

Pas harus melakukan – memberi sesuatu yang mereka boleh berikan tanpa kerajaan. Caranya seperti mana yang dicadangkan itu menumpukan kepada pembangunan ekonomi ahli dan penyokongnya. Untuk tujuan ini Pas boleh mewujudkan institusi yang boleh dimanfaatkan oleh ahli walaupun tanpa kerajaan.

Seperti dijelaskan oleh Putra KB dalam kertas rangka “Plan Strategik 10 Tahun” itu, Pas boleh manfaatkan banyak modal yang sedia ada. Modal fizikal dan juga modal insan (ahli). Misalnya Pas boleh mulakan projek pilot dengan menggunakan modal insan ahli Dewan Pemuda Pas yang rata-rata bertenaga dan bersemangat jihad untuk mewujudkan kegiatan ekonomi.

Kita tahu ahli Dewan Pemuda Pas wujud di seluruh negara. Dewan ini mempunyai keahlian yang ramai yang terdiri dari lapisan masyarakat serta berlatar belakang pelbagai pendidikan. Dewan ini boleh mengorak langkah ke arah mewujudkan kegiatan ekonomi ahli. Paling remeh, misalnya Dewan Pemuda boleh wujudkan kebun ubi kayu di seluruh negara kemudian dirikan kilang ubi kayu.

Buat permulaan wujudkan kebun ubi kayu di salah sebuah negeri sebagai projek contoh. Ambil ahli Dewan Pemuda sebagai pekerjanya. Sekiranya ahli Dewan Pemuda tidak mempunyai ketrampilan di dalam bidang ini, Dewan itu boleh menghantar ahlinya pergi mengikuti kursus di dalam negeri atau di luar negeri.

Saya yakin kalau projek ini dilaksanakan setidak-tidaknya ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada ahli Dewan berkenaan. Secara tidak langsung juga Dewan ini telah mengatasi masalah pengangguran yang serius dewasa ini. Kemudian kebun itu boleh diperluaskan ke seluruh negara. Bertolak dari projek yang mungkin diketawakan ini nanti tidak mustahil kalau suatu hari kelak Pas akan berjaya membuka ladang sawit, kilang dan sebagainya.

Trend perjuangan Dewan Pemuda yang ‘berhoha’, dengan tunjuk perasaan, serah memorandum rasanya tidak pratikal lagi. Dewan itu harus kaji dan nilai balik sudah berapa banyak memorandum diserahkan kepada kedutaan asing, kepada kerajaan atau berapa banyak tunjuk perasaan diadakan, apakah ia merubah mutu dan juga graf perjuangan Pas?

Mulai sekarang, cubalah mengorah ke arah baru dengan langkah dan pendekatan baru. Method di dalam perjuangan tidak statik dan rigid kepada suatu kaedah sahaja. Alla memberikan kitab al-Quran untuk dibaca dan di dalam Quran itu berbagai kaedah, strategi peperangan ditunjukkan untuk kita teladani. Mengapa Allah menurunkan banyak peperangan di zaman Nabi Muhammad dahulu adalah untuk dikaji dan difikirkan oleh kita semua. – Reformasi.

- Tun Paduka Tuan - 14.12.2005

5 comments:

Anonymous said...

Ikan Jenahak (Harap dapat disiarkan di Laman Marhaen)

Jadikan Kelantan sebagai Kerajaan Pusat dan wujudkan kerajaan negeri milik PAS.

Assalamualaikum wrt wbt

Pada pilihanraya yang lalu saya pernah menulis judul yang sama tentang perancangan strategik ini. Secara peribadi apabila saya membaca semua laman web yang menyokong PAS dan BA (rasmi atau tidak rasmi) yang menjadi bahan utama ialah tentang kebobrokan UMNO dan seluruh juak juak mereka. Namun berita tentang kejayaan-kejayaan PAS dan BA amat sedikit terutamanya dalam hal ehwal ekonomi.

Benar kata Tun Paduka Tuan bahawa PAS tidak dapat membuktikan apa apa setelah 50 tahun bertapak di Malaysia.Hasrat untuk berkuasa tidak dapat dikotakan sejak 50 tahun yang lalu. Secara peribadi hasrat ini juga akan cuma menjadi mimpi untuk beberapa tahun akan datang.Malah yang menjadi kebimbangan saya ialah pada PRU yang akan datang PAS akan kalah dan Kelantan akan kembali ke tangan UMNO.

PAS sudah mempunyai kelebihan iaitu memiliki modal insan yang sangat dinamik tidak seperti UMNO yang memiliki modal insan yang lemah akal fikiran dan mempunyai nilai nilai yang jahat dan kejam.Oleh yang demikian, jika PAS mampu memberikan keseimbangan maka Insya Allah PAS akan berjaya kelak.

PAS belum sepenuhnya menjadi juara rakyat kerana UMNO sehingga kini pun masih gagal membasmi kemiskinan (rujuk rancangan BERSAMAMU). Saya yakin ramai golongan bawahan mendokong PAS dan saya lebih yakin sokongan tersebut akan menjadi lebih kukuh.

Rakyat bawahan pasti tidak teragak agak untuk berjuang bersama PAS kerana PAS lah yang memberi kehidupan kepada mereka sekiranya PAs berjaya dalam membentuk satu komuniti ekonomi yang berjaya.

Sekarang perjuangan bukan lagi secara bersemuka kerana sudah pasti sama ada dengan strategi atau dengan perang saraf yang kuat sekalipun PAS tetap akan kecundang.

Saya yakin sebenarnya PAS mempunyai dana yang banyak untuk memulakan cadangan daripada Putera KB.PAS mampu untuk laksanakan. Mulakanlah langkah ini mulakan dengan membina sebuah klinik di setiap negeri milik PAS.

Kemudian bangunkan satu IKS di setiap negeri.Ambil pekerja-perkerja dikalangan mereka yang daif dan miskin.

Jadikan Kelantan sebagai kerajaan pusat dan negeri lain sebagai kerajaan negeri milik PAS. Setiap negeri menjalankan projek pembangunan setempat dan Kelantan adalah pusat pentadbiran utama. Secara tidak langsung ekonomi negeri Kelantan dapat dibangunkan dengan lebih rancak lagi.

Mulakanlah ! saya berharap agar selepas ini akan banyak peluang peluang ekonomi yang dapat dijana oleh PAS. Saya rasa kuasa ekonomi adalah lebih kuat daripada kuasa politik. Dengan kefahaman bahawa "Pengguna memiliki kuasa beli dan pelanggan sentiasa benar" maka kita boleh terjemahkan kepada "Pengundi memiliki kuasa memilih dan pengundi adalah sentiasa benar"

Siapa yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat maka merekalah juara rakyat yang sebenar.

Kalaulah PAS boleh membangunkan klinik atau hospital sendiri dan apabila orang orang SPR datang berubat maka mereka juga tidak tergamak untuk menyeleweng kerana mereka terhutang budi dengan PAS begitu juga dengan para pengundi hantu. Ini adalah kerana mereka mempunyai keluarga yang berkerja dengan syarikat syarikat milik PAS. Mereka juga tidak tergamak menganiaya orang fakir miskin yang berkerja dengan PAS.Allah juga akan memelihara PAS kerana membantu golongan kurang upaya dan fakir miskin.

Saya akan mendukung penuh blog ini dan akan menjadi pendesak utama untuk melihat perubahan dalam rangka strategik PAS.

Sekian
Ikan jenahak

Anonymous said...

PAS buat Biro Khas untuk bantu graduan cari kerja atau meyediakan ruang pekerjaan dengan mengadakan latihan usahawan.

Anonymous said...

bagi saya yang merupakan ahli seumur hidup PAS, saya tak setuju dengan cadangan pelan strategik untuk PAS...di mana kita nak tinggalkan gagasan BA? adakah BA cuma digunakan masa pilihnaraya saja? jika betul, ini adalah penipuan yang besar kepada pengundi2...pengundi nak tengok gagasan BA betul2 wujud macam BN baru diaorg ada keyakinan beri kepercayaan...

kepada PAS, saya harap pimpinan dapat melibatkan sama PKR dalam kerajaan kelantan...jangan tunjukkan sikap tamak...

saya mohon maaf kerana terpaksa kata begini...

apa2 pun, saya menyokong pelan strategik BA 10 thn ke arah merampas tampuk kepimpinan negara dari diktator BN

Abu Ammar Yasir

Anonymous said...

Seolah tiada kekurangan atau negatifnya cadangan sedemikian.Namun seperti tidak mungkin Jemaah Parti Islam Semalaysia yang mempunyai berbagai latarbelakang kepakaran atau apa yang dikatakan sebagai modal Insan gagal secara total atau banyak keciciran dalam melaksanakan segala agenda perjuangan kearah kebajikan dan keadilan Islam.

Anonymous said...

Segala ruang untuk gerakan kearah keadilan Islam sudah tentu diawasi dengan rapi oleh penentangnya yang memang mengetahui perjalanan sejarah perkembanganya.Namun dari pengamatan tiga perkara tertekan:
1-pendidikan ISLAM awalan anak2
2-akses maklumat setanding lawan
3-kekuatan Jentera yang teramanah demi kekuasaan Islam.