Oleh Tun Paduka Tuan.
Semacam suatu tradisi pula bila setiap kali selesai sesuatu pilihan raya, baik pilihan raya kecil atau umum kalau kebetulan pembangkang kalah, maka akan terdengarlah berbagai komentar mengenai pilihan raya berkenaan. Kritikan kepada perjalanan pilihan raya itu pun terhembur dengan berbagai versi yang lengkap dengan bukti-bukti kejelekannya.
Dua pihak yang selalu kena ‘bambo’ ialah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga parti lawan Barisan Nasional (BN). Tuduhan yang biasa ialah SPR tidak adil, tidak telus dan berpihak kepada parti BN. Sementara kepada BN pula dilemparkan dengan kata-kata kesat; berpolitik secara jahat, melanggar peraturan atau pun menyalahgunakan jentera kerajaaan.
Selain itu dari serangkaian tuduhan itu, BN juga dituduh mengamalkan politik wang, tekan dan ugut pengundi serta menimbulkan suasana tidak selesa bagi pengundi untuk menyertai pilihan raya itu. Kekacauan dan insiden tidak sepatutnya, dicipta dan digelombang untuk menakut-nakutkan pengundi.
Itulah yang selalu berlaku bila setiap kali selesai pilihan raya. Seolah-olah pembangkang tidak pernah tahu sebelum ini, bahawa sudah lama tidak ada ketelusan, kejujuran dan keadilan di dalam sistem plihan raya yang kendalikan SPR itu. Seolah-olah ia baru diketahui!
Padahal secara logiknya sahaja, apabila SPR dibentuk oleh kerajaan parti yang memerintah, maka ia tentu akan berpihak, tidak banyak tentulah sikit kepada parti memerintah. Dan selalunya dalam apa juga bidang, tidak terhad kepada SPR, badan-badan bebas lain juga akan condong kepada parti pemerintah, ini termasuklah pasukan Polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mahkamah dan jabatan-jabatan awam lain. Jarang badan bebas yang dibentuk kerajaan bersimpati kepada pembangkang.
Kemuncak kemarahan pembangkang terutamanya Pas kepada SPR dan juga BN ialah apabila Pas kalah di Terengganu pada piliahan raya umum 2004 lalu yang menyebabkan kerajaan yang dikuasainya selama empat tahun tumbang. Pas tidak mahu mengikhtiraf kemenangan BN itu kerana ia menang dengan cara tipu muslihat yang melampau.
Satu demonstrasi membantah penyelewengan itu dicadangkan secara besar-besaran, tetapi malangnya ia dibatalkan pada saat-saat akhir. Pembatalan demonstrasi ini sempat menjadi isu sesama sendiri di dalam Pas dan juga Barisan Alternatif.
Masalah pengundi hantu – pengundi yang tidak dikenali dan bukan orang tempatan menjadi isu utama. Pas meletakkan kekalahan mereka disebabkan isu berkenaan, di samping menuduh penggunaan wang yang terlalu banyak oleh parti pemerintah (BN).
Mulanya sikap Pas di dalam hal ini tegas dan serius dan ia disokong oleh kumpulan hak asasi khasnya di negara ini. Kalau sudah ada bukti jelas bahawa kemenangan itu (di Terengganu) diperolehi secara tipu, buat apa diikhtiraf. Pas berhak untuk membantah dan menolak kemenangan itu.
Bagaimana pun suara Pas membantah atau enggan mengikhtiraf kemenangan itu lama kelamaan menjadi sejuk. Akhirnya terjawab bahawa bantahan itu tidak dibuat apabila wakil Pas yang menang ikut sama pergi mengangkat sumpah di DUN Terengganu.
Pemergian itu secara tidak langsung membatalkan cadangan dan pendirian asal Pas. Dengan ikut sama mengangkat sumpah, Pas menerima dan mengikhtiraf pilihan raya itu dan pembentukan Dewan Undangan Negeri Terengganu. Nampak di dalam hal ini Pas tidak tegas dan konsisten degan keputusan awalnya. Walhasilnya kerajaan Terengganu diikhtiraf. Semacam ada kepentingan peribadi di kalangan ADUN Pas yang menang di Terengganu di dalam hal ini?
Memerhati perkara ini timbul persoalan apakah Pas main-main dengan kata-katanya. Apakah Pas sekadar mengacah untuk membantah ketidakadilan di dalam pilihan raya? Tidak bersungguh-sungguh. Kalau sekadar hendak mengacah, Pas tidak perlu buat kerana sesiapa pun tidak mudah takut dengan acahan Pas, sebaliknya acahan itu akan dilayan sebagai ‘geletek’ oleh BN yang akan mengasyikkannya sahaja.
Nampaknya perkara yang sama berlaku lagi selepas selesai pilihan raya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember lalu. Dalam ulasan awal, Pas telah meletakkan kekalahan tipisnya itu disebabkan oleh perkara yang sama. Pengundi hantu dan politik wang mendominasi alasan kekalahan itu melebihi daripada sebab-sebab lain.
Pas nampaknya begitu kesal dan sedih di atas apa yang berlaku. Tindakan yang paling hebat setakat ini untuk membela dirinya, ialah cadangan untuk membuat petisyen di atas pilihan raya berkenaan.
Memikirkan hal ini, timbul sedikit pertanyaan kepada kita, apakah Pas serius di dalam melayan hal-hal kepincangan SPR dan kejahatan BN di dalam bermain politik? Atau Pas hanya setakat berkokok seperti mana pahat berdentum-dentam selepas rumah siap.
Pas sepatutnya tegas dan serius di dalam menentang kepincangan ini. Pas tidak boleh setakat menghimpunkan segala kepincangan, mendedahkan kepada umum, tanpa mengambil tindakan serius secara berkesan. Bantahan ke atas plihan raya itu yang kemudian diadilkan oleh mahkamah adalah instrumen biasa dilakukan sejak lama dulu. Itu pun ada bantahan diterima dan ada yang tidak. Petisyen pilihan raya itu pula tidak lebih daripada sekadar tuntutan seperti melepas batuk di tangga.
Pas harus beralih daripada menggunakan instrument itu. Untuk tujuan ini Pas harus memperbetulkan SPR itu terlebih dahulu dan bukannya memperbetulkan perbuatannnya ketika menjalankan urusan pilihan raya. Salah sau cara untuk memberi kesan kepada SPR memperbetulkan dirinya ialah dengan memboikot pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR.
Untuk tujuan ini Pas perlu berkorban selama satu penggal kira-kira lima tahun untuk tidak mengambil bahagian di dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen. Biarkah parti memerintah menang tanpa bertanding di semua kerusi negeri dan Parlimen. Kata-kata berbunyi “kalau kita boikot pilihan raya menyedapkan mereka (BN)” bukan sesuatu yang praktikal!
Sekiranya tindakan ini dibuat, ia memberi kesan psikoligi yang besar kepada SPR serta kerajaan yang mendokong badan bebas itu. Sudah tentu kalau pilihan raya umum negara ini diboikot, ia akan menjadi perhatian dunia. Dunia akan memberi respons yang serius dan mempertikaikan mengenai kredibilit badan berkenaan selama ini. Juga ia memberi kesan secara tidak langsung kepada negara ini.
Intergriti Malaysia juga akan jatuh. Apa lagi dalam saat Malaysia mengakui dirinya sebagai negara yang sedang membangun dan sangat mengambil berat soal hak asasi rakyat akan terkesan dengan tindakan itu kelak.
Apabila dunia memberi perhatian dan menyoal Malaysia, ketika itulah negara akan berbuat sesuatu. Apa yang diharap ialah memperbetulkan mirzan SPR di dalam menguruskan perjalanan pilihan raya. Dalam pada itu parti pembangkang pula boleh memberi janji (cagaran) mereka tidak akan bersedia untuk menyertai pilihan raya, selagi kepincangan, kebobrokan SPR tidak diperbetulkan.
Tindakan ini tidak salah, dan pembangkang boleh lakukan jika mahu dan yakin dengan cadangan ini. Apalah salahnya berkorban untuk lima tahun dengan harapan membaiki sesuatu kepincangan dan kejahatan. Lima tahun tidak lama, tetapi hasil yang bakal diraih darinya tentulah efektif. Ia lebih berkesan daripada cakap-cakap menuduh SPR kotor, BN jahat dan sebagainya. Kita perlu bertindak dengan tindakan yang praktikal dan bukannya sekadar berkata-kata sahaja. Dan ingatlah sekiranya kita sudah tahu tanah tidak rata dan kita bersedia juga untuk bermain, itu adalah kebodohan kita! – Reformasi.
- Tun Paduka Tuan - 18.12.2005
1 comment:
A'ssalamualaikum;
Saya berpendapat apa yang diutarakan oleh Tun Peduka Tuan ada logiknya.Ia memberi kesan untuk jangkapanjang negara kita.Pihak pembangkang seperti Pas,Keadilan mestilah bersatu untuk menjayakan perkara ini.
Post a Comment