Saturday, April 16, 2005

Malaysia Terperangkap Dan Tidur Bermimpi Ketika Glenn Braveheart Cabut Lari

MGG Pillai
(Malaysia caught with pants down as the Glenn Braveheart flies the coop)

Pada akhir 1930-an, Gabenor Singapura ketika itu, Sir Shenton Thomas kerap singgah di kedai gunting yang terletak di Raffles Hotel. Beliau mendapat khidmat seorang penggunting rambut berbangsa Jepun, tuan punya kedai itu. Yang sungguh berbudi bahasa dan berhemah budi pekertinya. Sesiapa yang mengunjung kedai gunting itu kagum dengan lemah lembut tuan punya kedai itu sehinggakan tidak ada sesiapa yang mencurigainya. Setiap bulan kedai itu dikunjungi oleh pegawai-pegawai tinggi yang berbincang bermacam hal tanpa segan-silu dan berahsia lagi. Di Jalan Ibrahim Johor Bahru, pada 1930-an juga, kedai yang bernama ‘The Five Cents Store’ menjalankan perniagaan di mana sekarang ini sudah diganti oleh perniagaan agensi akhbar K. Abdul Wahab. Semasa itu, setiap barangan yang dijual hanya berharga lima sen. Tuan punya kedai The Five Cents Store ialah seorang warga Jepun yang sungguh berbudi bahasa sehingga menarik tumpuan pegawai khidmat awam British, pengurus ladang, golongan atasan (aristokrat) Melayu, para pedagang Cina dan India. Inilah tempat yang menjadi tempat pertemuan unggulan bagi masyarakat ningrat semasa sebelum perang di Johor. Malahan, Sultan Ibrahim kerap juga mencemar duli ke situ sekali-sekala.

Apabila Jepun menyerang Malaya, mereka mulakan di Kota Bahru Kelantan dan tidak di pantai (selatan) Semenanjung seperti yang dijangka oleh British. Dengan pantas Jepun menjajah Malaya dan kebanyakan tuanpunya kedai warga Jepun itu telah menukar pakaian mereka dengan mengenakan pakaian seragam tentera Jepun. Tukang gunting di Rafels Hotel itu sebenarnya seorang pegawi tinggi berpangkat Leftenan Kolonel dalam askar perisikan Jepun. Pekedai di Johor Bahru ialah seorang pegawai berpangkat Major. Si Leftenen Kolonel tadi telah mengiringi Sir Shenton memasukki penjara tawanan perang di Sime Road. Si Major pula telah menjalankan peranan menyoal-siasat ramai bekas pelanggan kedainya di ibupejabat Kempetai. Tapak itu sekarang ini dijadikan depot polis di Jalan Tebrau. Kedua-dua pegawai risikan Jepun itu telah digantung akhirnya sebagai penjenayah perang sejurus sahaja perang berakhir. Namun, kesan peranan yang mereka mainkan telah menghancurkan metos keunggulan jentera penjajah British yang dianggap kebal selama itu. Jepun telah berjaya merobah rencana perang mereka apabila pasukan risikan mereka telah melapurkan rencana Singapura untuk menangkis serangan Jepun daripada laut.

Sinario semacam ini nampaknya telah berlaku di Malaysia pada tahun 2005. Kerajaan Barisna Nasional telah begitu angkuh dengan keperkasaanya untuk mempertahankan Malaysia sedangkan pada waktu yang sama memberikan segala rahsia keselamatan negara di atas dulang emas kepada negara luar, terutama sekali kepada Singapura. Saya tidak akan salahkan Singapura mahupun negara asing yang menjalankan kegiatan risikan di Malaysia. Mereka lakukan semua itu atas kepentingan negara sendiri. Ada pepatah lama Inggeris yang mengatakan, orang yang ‘gentleman’ tidak akan membaca surat orang lain. Pada zaman ini, pepatah ini adalah pepatah lapuk dan basi, seperti menghilangnya burung dodo (burung Madagascar – penterjemah) yang sudah lama pupus dan mati. Adalah menjadi tugas dan kepentingan kita untuk menumpaskan apa juga rencana perisikan asing untuk mendapatkan rahsia negara. Sebaliknya kita telah menjual rahsia negara kepada pengupah yang memberi imbuhan yang paling rendah. Tersebut kisah sebuah syarikat Singapura yang memiliki tongkang dan menguruskannya untuk memandu kapal luar memasuki pelabuhan Kelang. Apabila agensi perisikan kita mempersoalkan, mereka diberitahu bahawa bida yang diberikan oleh syarikat Singapura itu adalah bida yang paling rendah harganya.

Hakikat sebenar, betapa syarikat Singapura itu diurus oleh pegawai tentera Singapura yang sudah bersara tidak pun dipertikaikan oleh sesiapa. Sekarang ini muncul satu lagi syarikat Singapura bernama Glenn Marine Asia Pte Ltd. Pemegang saham syarikat dan pegawai operasinya termasuklah seorang ketua angkatan Laut Singapura yang sudah bersara. Mereka telah membeli sebuah kapal laut yang satu ketika dahulu menjadi milik angkatan laut Britain. Kapal itu bernama RN Sir Lancelot. Pada 2003 angkatan laut Singapura telah membeli kapal itu dan memberikan nama baru RSN Perseverance. Pada tahun berikutnya Singapura telah menjual kapal tersebut kepada Glenn Marine yang mendaftarkan satu nama baru di Panama - “Glenn Braveheart”. Pada waktu yang sama mereka (orang Singapura) telah mendaftarkan satu anak-syarikat di Malaysia dan menamakannya Glenn Marine Malaysia Sdn Bhd. Kapal itu telah berada di Pelabuhan Kelang sejak Julai 2004. Akhbar The Straits Time, Singapore, pernah membuat laporan akan penjualan kapal itu pada tahun lalu. Kapal ‘Glenn Braveheart’ ialah sebuah kapal yang digunakan untuk memberikan perlindungan kepada kapal-kapal laut daripada serangan pengganas. Sebagai sebuah kapal dagang Glenn Braveheart dilengkapkan dengan peralatan pengimbas (X-ray) untuk melakukan pemeriksaan keselamatan. Ia juga berkemampuan melontar penghalang yang terapung untuk menyekat kemaraan kapal-kapal kecil daripada menggugat keselamatan kapal besar. Pelanggan utama kapal semacam ini ialah angkatan tentera laut Amerika Syarikat, walaupun ada kenyataan mengatakan betapa ia juga memberi perlindungan kepada 11 angkatan tentera laut negara lain.

Inilah kelentungan yang telah memukau Menteri Pertahanan kita serta angkatan tentera negara ini, dengan mudah. Kapal tentera laut tidak pernah bergerak sendirian dan keselamatan yang diuruskan selalunya amat ketat sekali. Tidak ada sebarang kapal mudah datang merapati kapal perang mana-mana negara pun. Walaupun para pengawalnya berehat seketika, keselamatan kapal-kapal perang masih utuh berbanding apa juga kawalan keselamatan yang mampu diberikan oleh Glenn Braveheart. Mungkin juga masuk akal kalau Glen Braveheart memberi alasan yang ia memberikan perlindungan keselamatan kepada kapal dagang. Akan tetapi ketika Utusan Malaysia mendedahkan kehadiran Glenn Braveheart di perairan pelaburan Kelang, segala alasan yang diberikan oleh semua pihak, termasuk oleh Glenn Marine adalah alasan haprak yang tidak masuk akal. Apabila semua alasan itu terus bercanggahan, nampak sangat betapa keselamatan negara kita sudah menjadi begitu rapuh.

Menteri pertahanan, Najib Razak mesti memberikan penjelasan yang secukupnya hal ehwal keselamatan negara ini diserahkan kepada satu syarikat negara asing, Pegawai tinggi tentera kita terutama sekali Ketua Turus staf dan pengarah perisikan harus dipecat. Perdana Menteri, Abdullah Badawi mesti bertindak tegas terhadap ketua perisikannya sendiri. Mereka ini adalah semacam tentera kita jua, yang lalai dan selalu sangat bermimpi. Ini buakanlah pertama kali perakara semacam ini terjadi. Beberapa tahun yang lalu, ada seorang pegawai penasihat pertahanan kita di Singapura, berpangkat kolonel, telah dipanggil balik Dia tidak pun dibenarkan memasukki perkarangan Kementerian Pertahanan, kerana sejurus kepulangannya dia telah dipecat daripada jawatan. Majlis Keselamatan Negara, yang mengkordinasikan beberapa agensi perisikan kita telah tertidur lena juga.

Perkara semacam ini memang tidak menghairankan kita, gara-gara kepincangan perjalanan kerajaan BN. Inilah kesannya apabila wang rasuah dibiarkan bermaharajagila sehinggakan keselamatan negara menjadi perkara remeh-temeh sahaja. Kerajaan perlu bertindak, merombak agensi perisikan dan keselamatan, dan menghukum pihak yang tidur lena selama ini. Sebagai permulaan, eloklah hentikan kerja-kerja memantau perbualan telefon rakyat biasa hanya untuk mengetahui apa bualan mereka dalam dunia politik negara. Gunakanlah sumber tenaga pemantauan haprak ini untuk mengembalikan keluhuran keselamatan negara. Beribu-ribu rakyat Malaysia, wartawan, ahli politik dan rakyat marhaen sengaja dipantau untuk membolehkan kerajaan BN terus berkuasa. Saya adalah salah seorang yang dipantau itu. Kerana itu saya tidak hairan kalau pergerakan saya sentiasa diawasi. Begitu juga halnya dengan wartawan lain dan ahli-ahli politik. Kerajaan menganggap orang-orang semacam ini sebagai musuh negara. Namun demikian kerana wang dan rasuah, apa juga yang bersangkutan dengan keselamatan negara mudah pula mereka gadaikan.

Adakah sesiapa menganggap serius kisah perbuatan durjana Glenn Braveheart? Tidak. Kelmarin (14 April 2005) agen tempatan kapal ini telah meminta keizinan Kastam DiRaja Malaysia untuk kebenaran meninggalkan pelabuhan. ‘Harbour master’ pelabuhan telah memberikan keizinan untuk kapal menarik sauhnya. Kapal itu pun beredar pada tengah malam semalam. Sepatutnya apabila kewujudan kapal telah didedahkan, polis Marin Pelabuhan Kelang bertindak menjalankan siasatan kerana itu adalah dalam bidang kuasa undang-undang kita. Tetapi tidak. Kenapakah kapal itu dibenarkan berlabuh dalam lingkungan perairan yang kita kawal?

Yang menakjubkan, tidak ada satu pun laporan polis yang dibuat apabila kehadiran kapal itu menjadi satu perkara yang meragukan. Kenapa? Kenapakah Kementerian Pertahanan, perkhidmatan risikan tentera kita dan pihak lain yang ada sangkut-paut dengan keselamatan negara memerangkap kapal itu untuk siasatan lanjut? Inilah masanya kerajaan mengeluarkan satu kenyataan yang tidak ada kelentungannya. Paklah mesti bertindak memecat sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dengan kehaprakan ini tidak kira siapa dia lagi. Najib Razak mesti memberikan penjelasannya kenapakah Glenn Braveheart mesti dibiarkan terus membuat kerja-kerja pemetaan perairan kita, seperti mana yang diberitahunya dahulu. Apakah perkara ini begitu mencemar keselamatan negara kita sehingga Najib sendiri harus melepaskan jawatannya? Beranikah Paklah memecat Najib kalau beliau enggan meletakkan jawatan? Saya tidak berani bertaruh dalam hal ini. Tetapi saya masih bersedia menunggu berita yang mengejutkan.

MGG Pillai - Terjemahan MT-SPAR 16.04.2005

Wednesday, April 13, 2005

Apakah Nilai Keselamatan Negara?

(What price national security?)
MGG Pillai 13.4.05 (Laman M@RHAEN)

Kira-kira 500 meter di pinggir North Port (Pelabuhan Utara) tetapi masih di bawah kawalan Pihak Berkuasa Pelabuhan Kelang, terdapat sebuah kapal misteri yang berlabuh di situ . Kapal tersebut sudah lama berlabuh di situ sejak Julai 2004. Para pegawai pelabuhan dan jurumudi memang amat prihatin dengan apa yang berlaku dalam kapal itu dan terus tertanya-tanya apakah tujuan ia berada di situ. Orang lain tidak pula ambil peduli. Segala usaha untuk mencari jawapan selalu menemui jalan buntu; kerana mulut pihak yang berkuasa selalu terkunci untuk diam membisu. Namun, para pegawai risikan dan jurumudi yang kebanyakannya bekas pegawai Tentera Laut DiRaja amat rungsing akan kesan buruk yang mungkin berbangkit. Senjata canggih termasuk M-16 terdapat di atas kapal. Helikopter, termasuk yang mempunyai tanda “9MW SSW” kerap sangat mendarat di atas kapal. Askar Gurkha yang berpakaian celoreng, dan bersenjatakan M-16 kerap dilihat membuat latihan kawad. Apabila perkara ini dilaporkan kepada pihak berkuasa, tidak ada sebarang usaha untuk melakukan siasatan ke atasnya.

Hanya pada 9 April 2005, Utusan Malaysia telah membuat laporan muka depan terhadap kapal misteri yang bernama “Glenn Braveheart” yang membuatkan pihak berkuasa menjadi gelabah sakan. Ini mencetuskan lebih banyak persoalan lagi. Setiap insan yang berkuasa mula tumpang sekaki Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Najib Tun Razak, pihak berkuasa pelabuhan, polis marin, tuan punya kapal – sibuk mengemukakan penjelasan mereka . Seperti yang kita jangkakan, setiap penjelasan itu tambah mengelirukan. Najib berkata itulah kapal “hydrographic” (hal ehwal hidrografi), sedangkan tuan punya kapal, yakni Glenn Defence Marine Sdn Bhd. Di mana salah seorang pemegang sahamnya ialah mantan Ketua Turus angkatan tentera laut, ia dikatakan sebuah kapal latihan yang menggunakan senjata tiruan. Semua M-16 yang digunakan adalah senjata olok-olok sahaja. Ada kalanya kapal itu disebut sebagai kapal sokongan (perlindungan) untuk 11 angkatan tentera laut dunia. Sehingga hari ini penjelasan yang mana satu yang logik tidak pula dapat ditentukannya. Akan tetapi polis marin menyatakan bahawa kapal berada di situ untuk tujuan penggambaran sahaja.

Seperti biasa, semuanya berakhir dengan kisah kelentungan semata-mata. Di sebalik setiap penjelasan itu sudah semakin jelas kini walaupun kepada pendengar yang jarang mengikutinya, bahawa kerajaan BN (Barisan Nasional) sebenarnya sudah terjebak dengan satu kisah kelentungan juga. Kali ini kelentungan itu membabitkan keselamatan negara? Adakah kerajaan begitu prihatin dengannya? Tidak. Pengarah perisikan tentera, yang bertanggungjawab dengan perkara ini seharusnya dibuang kerja, ataupun setidak-tidaknya dibenarkan bersara sebaik sahaja tamat tempoh perkhidmatan selain dalam beberapa bulan lagi. Sebaliknya besar kemungkinan khidmat beliau itu akan disambung lagi. Kesetiaan kepada Najib dianggap lebih penting dari kecemerlangan dalam khidmat perisikan, sekarang ini. Bukan sahaja Pengarah Perisikan Tentera yang gagal, setiap agensi perisikan, Majlis Keselamatan Negara, Cawangan Khas (SB) Jabatan risikan Jabatan Perdana Menteri, malahan setiap cawangan risikan ketenteraan turut juga gagal menjalankan tugas

Apakah tujuan sebenar Glenn Braveheart berada di Pelabuhan Kelang? Sesungguhnya inilah sebuah kapal tentera laut, yang telah dibeli daripada angkatan tentera laut Singapura. Kini ia digunakan sebagai kapal tentera laut juga. Signal pengenalan automatik kapal, seperti yang digunakan oleh semua kapal persendirian (awam), kecuali kapal tentera, sepatutnya dipasang setiap masa. Tetapi Glenn Braveheart tidak mematuhi syarat itu. Terdapat beberapa teori konspirasi kenapa kapal itu berlabuh di sana. Glenn Defence tidak mampu memberikan penjelasan yang munasabah. Kalau dilihat akan para pemegang saham syarikat kapal yang termasuk beberapa pegawai tinggi pasukan tentera laut di Raja, sudah tentu menggambarkan betapa ia mempunyai agenda lain yang tidak didedahkan. Apakah ia ada kaitan dengan rencana kerajaan Amerika Syarikat dalam pembasmian keganasan secara global? Apakah ia ada peranan dalam peningkatan kadar kerja rompakan dan lanun di Selat Melaka? Apakah ia ada peranan dengan serangan ke atas rakyat Islam Thai di selatan Thailand? Apakah ini sebabnya berlaku kelam-kabut apabila berita kapal itu diberikan liputan muka depan ‘Utusan Malaysia’?

Reaksi pertama Najib ialah agar dilakukan siasatan, supaya kehadiran kapal itu tidak menjejaskan keselamatan negara. Kenapa pula dia mengandaikan demikian? “: Setakat yang saya tahu” kata beliau, kapal itu telah mendapat keizinan pihak berwajib untuk berlabuh di perairan kita, kira-kira 500 meter di Pelabuhan Utara, sejak Julai.” Jika demikian bagaimana pula perisikan tentera tidak tahu menahu, dan kalau pun ia tahu, tidak memberitahu Menteri Pertahanan mengenainya. Yang lebih pelik kenapa tidak dilakukan siasatan masa ini? Beliau menganggap bahawa kapal itu sedang menjalankan kerja-kerja pemetaan kawasan itu. Tetapi, “kita mesti tentukan bahawa keselamatan negara tidak terjejas.” Kapten kapal ialah warga Burma. Anak kapal (awak-awak) itu mengandungi 10 warga Burma, 20 Filipino, seorang warga Brunei dan 25 komando Nepal (Gurkha). Pengurus Besar Glenn Defence ialah Lt. Commander Carmen Edmonds. Beliau bertegas mengatakan bahawa segala senjata di atas kapal adalah jenis olok-olok dan bukannya jenis M-16. Tentu pelik juga memikirkan ini adalah jawapan seorang bekas pegawai tentera laut yang sudah bersara. Apapun, kapal itu adalah satu kapal logistik yang lengkap untuk “sebarang kemungkinan”, kerana itu ia memiliki senjata olok-olok? Lebih-lebih lagi kalau ia mampu mengharungi samudera luas?

Keributan dan apa juga jawapan yang berubah-ubah daripada pihak berwajib memberikan andaian betapa Glenn Braveheart adalah sebuah kapal misteri yang mencetuskan banyak tandatanya. Misi kapal adalah dilaksanakan secara rahsia seperti yang dirancang oleh pihak berkuasa. Yang lebih menakutkan kita ialah apabila pihak kerajaan terbabit ternyata terkejut apabila kapal itu didedahkan dalam akhbar perdana. Sesuatu kapal tentera laut, walaupun sudah berada di bawah kepunyaan orang awam, dan dibenarkan memberi khidmat sokongan kepada tentera laut yang datang melawatnya, sudah tentu memiliki senjata canggih yang betul dan bukan olok-olok. Sudah tentu ia memiliki senjata canggih lain seperti pelancar roket (RPGs), bom dan peledak jenis C-4. Apatah lagi kalau ia ditugaskan memberi khidmat sokongan melindungi tentera laut asing yang datang melawat negara ini dan kalau anda percaya kelentungan mereka, kerja-kerja pemetaan dasar laut.

Andaian ini menjurus kepada satu rumusan yang sungguh menakutkan. Apakah kemungkinan wujudnya kerja-kerja haram oleh pihak perisikan dan agensi lain di Malaysia, yang mempunyai hubung-kait dengan agensi perisikan luar negara? Pegawai tinggi berada di atas kapal untuk memudahkan segala keizinan tanpa mencetuskan syak wasangka? Kerajaan terperangkap dengan penipuan ini kerana terkejut apabila mengetahuinya setelah berita tersiar di dada akhbar? Apakah kemungkinan wujudnya pegawai tinggi tentera dan perisikan yang diupah oleh negara asing sehingga sanggup menggadai harga diri kepada pembayar yang paling tinggi? Apabila kerajaan turut terkejut beruk, makanya ia memberi arahan agar segala berita susulan kes ini mesti dipengapkan?

Perkhidmatan perisikan negara kita bukanlah secanggih dan perkasa seperti dulu lagi. Ia tidak tahu-menahu dengan peristiwa penting yang berlaku di Selatan Thailand, Selatan Mindanao, Aceh - tiga wilayah Islam yang sejak dahulu lagi merupakan pangkalan risikan penting negara ini. Ketua perisikan ‘counter-terrorism’ di salah satu jabatan risikan negara ialah seorang wanita berusia 27 tahun dan memiliki segulung ijazah PhD daripada sebuah universiti Amerika. Tentunya tidak banyak pengalaman praktikal, walaupun mahir dengan pelbagai teori dan andaian daripada bahan rujukan Setiap analisis beliau, walaupun baik sekali, tentu masih boleh diragui. Inilah padahnya apabila ada syarat mutlak bahawa setiap agensi risikan mesti diketuai oleh orang Melayu melemahkan peranan mereka secara keseluruhannya. Perkara menjadi semakin bermasalah disebabkan adanya perbalahan dalaman di antara perkhidmatan yang ada. Di waktu yang sama semua pihak risikan sibuk membincangkan perkara remeh-temeh apakah Amerika Syarikat akan menyerang Iran dan bagaimana caranya.

Kesan haprak ini terus menular ke peringkat akar umbi. Petugas risikan yang sudah bersara diminta membuat peninjauan di kawasan berbahaya seperti Mindanao, Aceh, dan Selatan Thailand. Jaguh risikan yang baru bertindak mengikut rasa dan keperluan semasa, sambil mengetepikan dasar dan rencana zaman lampau. Pernah tercetus kemelut Nor Misuari pemimpin Moro yang pernah saya temui pada 1976 di Libya, kisahnya bermula ketika beliau menggunakan pasport Malaysia untuk lari daripada Mindanao dan mendarat di Sabah pada awal tahun ini. Kerajaan Malaysia telah menyerahkan beliau semula kepada kerajaan Filipina. Kini beliau meringkuk dalam penjara. Yang jelas, beliau merupakan seorang pemimpin pemberontak yang diasuh oleh Malaysia tetapi akhirnya didedahkan oleh kerajaan akan kedudukannya. Kini, dia telah mendedahkan semua nama yang ada hubung-kait dengan beliau kepada kerajaan Filipina. Sekali gus beliau telah membahayakan semua yang terlibat dengan pemberontakan Mindanao. Nyawa mereka dalam bahaya seandainya mereka datang melawat bumi Filipina. Memang tidak patut kerajaan Malaysia menuduh Nur Misuari. Kalau kita anggap beliau sudah tidak berguna, kenapa pula dia mesti menganggap kita berguna padanya lagi?

Apakah lagi kisah benar yang perlu kita ketahui? Kalau kita menjadikan kerja-kerja menderhaka kepada negara sendiri sebagai satu kerjaya baru kita, seperti yang digalakkan oleh dasar pemerintahan kerajaan BN, secara menggubal dasar secara bidan terjun sahaja. Kesannya, kerakusan hawa nafsu yang diliurkan oleh bayangan wang upahan yang besar dan mudah sudah menjadi satu budaya setiap tahap masyarakat Malaysia, masa kini. Setiap institusi kerajaan yang penting-penting sudah terlibat dengan rasuah. Keadilan sudah menjadi bahan untuk dijual beli. Perkhidmatan awam pun mudah dibeli, tentera kita pun mudah dibeli. Kini perkhidmatan perisikan tentera pun sudah menjadi begitu juga. Kerajaan sudah tidak tahu bagaimana bertindak kerana sudah hilang arah. Ramai pegawai tinggi kerajaan sudah terlalu mewah dan mudah menerima rasuah. Kerana itu muncul satu persoalan yang sungguh menakutkan kita: Apakah sebenarnya nilai keselamatan negara?

MGG Pillai - Terjemahan MT-SPAR - 13.04.2005

Friday, April 08, 2005

Apabila Wanita Mengimamkan Solat – Apakah itu Satu Kemajuan Untuk Wanita?

Oleh Yasmin Mogahed
(Female-Led Prayers: A Step Forward for Women?)

30/3/2005

Pada 18 Mac, 2005 Amina Wadud menjadi wanita Islam yang pertama mengimamkan solat Jumaat. Pada hari yang sama kaum hawa telah membuat langkah besar untuk menjadi setara kaum lelaki. Akan tetapi, apakah kita sebenarnya mencapai kebebasan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita?

Jawapan yang baik telah diberikan secara ikhlasnya oleh Yasmin Mogahed, anggota Sidang Pengarang “Ask About Islam”. Yasmin merupakan seorang wartawan berdarah campuran Mesir-Amerika yang berpangkalan di Wisconsin, Amerika Syarikat. Buat masa ini beliau masih menyambung pengajiannya dalam jurusan kewartawanan bagi ijazah Sarjana.

Salam, Sarah.
Terima kasih kerana soalan yang sungguh mencabar! Sesungguhnya, dalam memberikan jawapan, saya tidak fikir saya bersetuju dengan pendapat anda. Apa yang selalu kita lalai ialah memahami betapa martabat wanita yang dikurniai Allah mengikut nilai Allah Yang Maha Esa dan bukan mengikut ukurannya dengan kaum lelaki. Akan tetapi, pergerakan feminisme tonjolan Barat telah melupuskan kebesaran Allah daripada tanggapan ini sehingga memikirkan bahasanya tidak ada lagi piawaian ataupun standard yang tinggal untuk dicipta kecuali kita mesti menyaingi taraf kaum lelaki. Kesannya kita dapati bagaimana kumpulan feminis Barat terpaksa menggapai nilai harga dirinya mengikut hubu7ngannya dengan kaum lelaki. Lantas, kaum wanita telah terjebak dengan satu tanggapan yang amat salah. Wanita Barat telah memperakui bahawasanya kaum lelaki itu adalah satu piawaian yang past mesti ditandingi seandainya wanita mahu mencapai piawaian yang songsang itu.

Ketika kaum Adam mula memotong rambutnya menjadi pendek, kaum wanita pun mahu ikut fesyen yang sama. Apabila orang lelaki masuk menganggotai pasukan tentera, wanita pun mahu turut sama dan begitulah seterusnya. Wanita mahu melakukan semua itu bukan kerana apa-apa selain daripada mencapai piawaian yang baru diikhtirafnya. Apa yang gagal diperakuinya ialah sikap Allah Subhanahu Wataala memartabatkan kaum lelaki dan wanita mengikut nilainya yang tersendiri dan berbeza, dan tidak kepada kesamaannya. Jadi, pada 16 Mac 2005 wanita Islam telah melakukan kesilapan yang sama.

Selama 1,400 tahun lamanya, sudah sedia ada satu konsensus di kalangan ilmuwan bahawasanya lelaki adalah jenis yang dibenarkan untuk mengimamkan solat. Apakah maknanya perkara ini kepada seseorang wanita Islam? Orang yang mengimamkan solat kita itu tidak bermakna mempunyai satu kelebihan spiritual yang lebih unggul dari segi mana pun. Hanya kerana seseorang lelaki mengimamkan solat bukannya bererti ada keistimewaan yang luar biasa. Malahan sesuatu solat berjemaah itu tidak mencetuskan keistimewaan yang amat ketara hanya kerana seseorang lelaki yang mengimamkannya. Kalaulah besar sangat keistimewaannya ataupun syahdu sangat peranan semacam itu, kenapakah Nabi junjungan kita tidak meminta Aishah, Khadijah ataupun Fatimah yang merupakan tiga wanita unggulan ummah menjadi imam di masa mereka hidup? Ketiga-tiga wanita tersohor ini telah dijanjikan syurga tetapi mereka tidak pernah mengimamkan solat (yang bercampuran antara kaum lelaki dan perempuan – penterjemah).

Kini, secara mendadak pula dan untuk pertama kali selepas 1,400 tahun, kita mempertikaikan peranan lelaki sebagai seorang imam, dengan tanggapan bahawa “Itu satu perkara yang tidak adil.” Demikianlah pemikiran kita walaupun Allah tidak pun memberikan satu keistimewaan yang istimewa kepada orang yang mengimamkan solat itu. Dari penilaian Allah, seseorang Imam bukannya diiktiraf lebih mulia oleh Allah berbanding pengikut yang berdiri solat di belakangnya. Sebaliknya, bukankah hanya kaum Hawa yang boleh menjadi seseorang ibu? Bukankah Allah semesta alam memberikan keistimewaan yang sungguh berprestij itu untuk wanita menjadi ibu? Nabi junjungan telah mengajar kita betapa syurga berada di kaki ibu. Tidak kiralah apa yang dibuat oleh kaum lelaki, dia tidak akan menjadi seorang ibu. Kenapa pula itu tidak dipertikai dan dianggap tidak adil?

Apabila ditanya apakah yang paling istimewa yang perlu kita hormati? Nabi junjungan kita menjawab: “Ibu kamu, ibu kamu dan ibu kamu.” Nabi mengulangi jawapan itu tiga kali sebelum menyebut “ayah mu” hanya sekali sahaja. Bukankah itu boleh dianggap satu pemilihan yang berat sebelah? Sesungguhnya tidak kiralah apa juga yang dilakukan oleh kaum lelaki, di tidak akan berjaya sampai ke satu tahap unggulan seseorang ibu. Alahai, alangkah pelik benda ini? Ketika Allah memberikan kehormatan yang paling tinggi kepada kita yang sungguh unik sekali, kita pula terhegeh-hegeh menyibuk mencari satu status penghormatan dengan merujuk kepada lelaki sebagai tanda aras (kayu-pengukurnya) tanpa menyedari betapa unggulnya penghormatan yang telah dikurniakan kepada kita. Kita telah sengaja menerima kaum lelaki sebagai satu tanda-aras untuk menjadi satu piawaian kita. Sehinggakan apa juga yang ternyata unik sebagai hak kewanitaan, sudah dianggap tidak ada nilainya. Sesungguhnya sikap tidak sensitif dan peka itu adalah sifat yang sungguh memalukan kita sehingga kita anggap sifat semula jadi sebagai seorang ibu itu adalah satu penghinaan. Dalam pertembungan ini kita menerima sifat berperang itu sebagai
sifat kelelakian dan sifat kasih sayang yang tidak berbelah bagi sebagai sifat kewanitaan, sehinggakan kita menganggap betapa inilah rasionalnya.

Apabila kita menerima-pakai hakikat bahawa apa juga yang dilakukan oleh lelaki itu sesuatu yang lebih baik, sekali gus ia mencetuskan ikutan yang mendadak; bahawasanya apa juga yang dimiliki oleh lelaki; kita kaum wanita mesti dapat memilikinya juga. Kalau kaum lelaki boleh mengisi saf depan dalam jemaah kita, kita beranggapan bahawa itu adalah satu keistimewaan dan mahukan hak itu. Kalau ada lelaki yang mengimamkan solat kita, ia mencetuskan tanggapan bahawa si imam tadi adalah lebih dekat di sisi Allah, lantas kita juga mahu menjadi imam semacam itu. Entah bagaimana agaknya, kita telah menciplak satu tanggapan bahawa kedudukan yang menonjolkan kepimpinan semacam itu adalah satu pertanda bahawasanya seseorang itu amat hampir di sisi Allah.

Seseorang wanita Islam tidak perlu merendahkan martabatnya semacam ini. Dia mempunyai Allah sebagai ukuran piawaiannya. Dia mempunyai Allah untuk memberikan penilaianNya. Dia tidak memerlukan kaum lelaki dalam penilaian ini. Malahan dalam jihad kita ini mengikut kaum lelaki, kita sebagai kaum wanita tidak pula berhenti sejenak untuk menilai apakah segala kemungkinannya yang kita miliki itu adalah lebih baik untuk kita. Dalam banyak hal, kita telah melepaskan apa yang lebih unggul semata-mata kita cuba hidup setara semacam lelaki.

Lima puluh tahun yang lalu, kita telah menyaksikan kaum lelaki meninggalkan rumah mereka untuk bekerja di kilang-kilang. Ketika itu kita sibuk dengan peranan sebagai ibu. Akan tetapi secara tiba-tiba kita juga mahu mengikut jejak langkah mereka. Entah macam mana pula, kita tiba-tiba mempunyai tanggapan bahawa kita mesti mengikut arus gelombang kebebasan wanita untuk menolak tepi peranan melahir dan mengasuh anak-anak hanya untuk bertugas mengendalikan jentera. Kita telah menerima hakikat bahawa tugas bekerja di kilang itu adalah lebih mulia dari peranan membesarkan anak-anak, semata-mata kerana kaum lelaki bekerja di kilang. Apabila selesai kerja di kilang itu, kita diharapkan menjadi seorang manusia yang serba boleh, seorang ibu yang sempurna, seorang isteri yang mithali, yang pandai menjaga rumah dan pada waktu yang sama seorang yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila tidak ada sesiapa yang mempertikaikan peranan seseorang wanita yang bekerja itu, kita pun mula sedar apa yang kita korbankan itu hanya satu langkah mengikut secara membabi-buta akan peranan kaum lelaki.

Apabila kita melihat anak-anak sendiri yang bersikap semacam orang asing kepada kita, barulah kita sedari betapa kita tersilap melepaskan segala keistimewaan yang dianugerahkan kepada kita. Hanya sekarang ini, apabila diberikan pilihan, ramai kaum wanita Barat yang memilih untuk berada di rumah untuk membesarkan anak-anak mereka sendiri.. Mengikut bancian United States Department of Agriculture (Jabatan Pertanian Amerika Syarikat) hanya terdapat 31 peratus ibu yang mempunyai anak, dan 18 peratus ibu yang mempunyai antara dua hingga lebih kanak-kanak, yang bekerja sepenuh masa. Mengikut bancian Parenting Magazine pada 2000, di kalangan ibu-ibu yang bertugas begini, seramai 93 peratus menyatakan kesanggupan berada di rumah membesarkan anak-anak sendiri. Namun, mereka terpaksa bekerja kerana tanggungan bebanan kewangan. “Bebanan” ini sebenarnya dipaksakan ke atas mereka gara-gara sikap mahukan kesamaan dari hak jantina di dunia Barat yang serba moden. Inilah juga yang membawa pemisahan di kalangan umat Islam yang lalai akan keistimewaan taraf jantina mengikut pandangan Islam.

Kaum wanita barat telah mengorbankan hampir satu abad dalam membuat eksperimen mereka sebelum menyedari akan keistimewaan yang diberikan kepada wanita Islam kira-kira 1,400 tahun dulu lagi. Apabila mengambil kira keistimewaan saya sebagai seorang wanita Islam, sudah tentu saya akan menghina diri sendiri kalau mencuba menjadi seseorang yang berbeza. Secara ikhlas saya memang tidak mahu menjadi seorang lelaki. Sebagai wanita kita tidak akan mencapai kebebasan sepenuhnya sehinggalah kita berhenti cuba meniru lelaki dan menilai sendiri segala keindahan nilai-nilai perbezaan yang dikurniakan kepada kita oleh Tuhan.

-Terjemahan oleh MT - 08.04.2005

Sunday, April 03, 2005

Memang Melayu Rugi – Dulu, Kini, Selamanya

Oleh Chukovsky

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah, Maha Penyayang
Marhaintua melalui cetusan mindanya Marhaintua: 'Melayu Memang Sudah Lama Rugi' tidak henti-henti mengkritik si mangkuk hayun TKT. Beliau begitu kecewa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang kerana “… tidak mahu buat komen besar-besaran akan pendapat di Kepala Taik ini. Sebahagian besar pemimpin Melayu parti pembangkang masih lena tidur semacam dulu, setiap kali si TKT ini membuka mulutnya.”

Di mana silapnya? Cubalah muhasabah diri, di manakah Marhaintua sebelum Anwar Ibrahim dipecat? Saya percaya seperti Anwar, Marhaintua juga bermanja-manja dengan Umno yang haprak. Apakah selok-belok politik TKT tidak dapat dibaca selepas berpisah dengan Musa Hitam? Bukankah isu komunisnya “Tiga Abdul” dan pengISAan mereka sebagai strategi menghapuskan halangan bagi TKT untuk menguasai Umno? Abdul Samad dan Abdul Majid tidaklah sekuat mana tetapi mereka juga ada pengaruh sebagai veteran Umno. Bagaimana Abdullah Ahmad? Bukankah dia SU Politik Tun Razak, yang begitu berpengaruh ketika itu? Di antara mereka bertiga pengaruh siapakah yang boleh menghalang menyelesakan rancangan TKT? Siapakah yang boleh menjadi penghalang utama? Sebagai SU Politik Tun Razak Abdullah Ahmad sudah tentu mempunyai pengaruh di kalangan orang-orang Tun Razak dan dia, seperti kebiasaan orang politik, mempunyai cita-cita besarnya dalam arena politik tanah air. TKT ketika itu memerlukan Abdullah Ahmad yang sudah tentu mempunyai peranan walaupun kecil untuk mempengaruhi Tun Razak untuk mengumnokan semula TKT. Dia juga mungkin mempunyai peranan untuk melobi TKT ke kerusi TPM!

Isu komunis *Tiga Abdul* timbul diera Hussein Onn dan TKT sebagai TPM. Sudah tentu mustahil untuk sesiapa pun menerima kalau ada sesiapa mengatakan TKTlah dalangnya! Itulah masa terbaik bagi TKT untuk merealisasikan rancangan liciknya. Dia memang seorang “political strategist”. Dia menonjolkan Najib Tun Razak di Pahang kerana memahami pengaruh Tun Razak yang begitu kuat di Pahang. Tindakannya sekali gus mendapat sokongan dari Umno Johor kerana keluarga Najib berpengaruh di Johor! Pertama yang dilakukan mestilah mendapat kepercayaan Umno di dua negeri yang kuat Umno. Dia memilih Musa Hitam sebagai Timbalannya, apalagi berduyun-duyunlah orang Johor menjilat kerajaan 2M ketika itu. Strateginya berjaya membodohkan Umno semua negeri kerana dia dilihat begitu kuat, demi survival politik, masing-masing pemimpin Umno negeri daripada yang tua hingga yang baru bertatith semuanya mencari perlindungan di bawah payung TKT. Kalau raja diibarat sebagai payung rakyat, TKT adalah payung algojo-algojo Umno. Sejarah telah membuktikan bagaimana mereka-mereka yang memberi masalah kepada Umno tidak diambil tindakan sehingga ke hari ini. Kerana taat dan menjilat TKT mereka mendapat immunity dari tindakan TKT yang bukan sahaja merampas kuasa raja malah mempersoalkan kuasa Allah swt. Begitulah dayusnya Umno di era TKT.

Melalui buku “Malay Dilemma”nya, TKT berjaya meng’ultramelayukan’ dirinya – dicipta khusus untuk mencerminkan ‘kemelayuan’nya sehingga menakutkan bukan bumiputera. Dijelmakan buku itu di ketika sentimen perkauman begitu menebal selepas peristiwa 13 Mei 69. Dia berjaya menaikkan imejnya di kalangan orang-orang Melayu khususnya pejuang-pejuang assobiyyah yang Nabi saw tidak mengakui sebagai umatnya. Ramai “hulubalang-hulubalang” Melayu di dalam Umno yang dipersonakannya sehingga berjaya memperkasakan dirinya melalui Umno. Halangan-halangan besar telah berjaya di hapuskan dan diatasinya. Dia tidak berhenti setakat itu. Dia wujudkan Amanah Saham Nasional yang dalam masa 10 tahun telah berjaya “memperkayakan” orang-orang Melayu khususnya golongan pertengahan, dengan imbuhan dividen dan bonus tahunan orang-orang Melayu terus dipersonakan dan kedudukannya semakin kukuh.

Ketikanya juga “Penerapan Nilai-Nilai Islam” ditersohorkan melalui tidak lain tidak bukan Anwar Ibrahim yang dibawa TKT ke dalam Umno tanpa menghiraukan pandangan sahabat-sahabatnya dari ABIM sehingga baru kini di Stadium Sultan Muhammad, Kota Bharu, dia menyatakan penyesalannya kerana tindakannya itu. Anwar juga bercita-cita tinggi dan ini dieksploitasi oleh TKT sehingga dia mencabar Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden.

Ini semua boleh berlaku kerana kelicikan rancangannya.

Saya tidak arif kenapakah Marhaintua begitu bersungguh-sungguh mahukan pembangkang bangkit untuk menentang Mahathir, Apakah Marhaintua juga salah seorang perancang strategi TKT? Menjelang 2004, TKTlah yang menjadi sasaran pihak pembangkang BA. Memahami keadaan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu telah membencinya, dia, sekali lagi, menipu orang Melayu dengan meletakkan jawatannya sebagai PM dan menyerahkan jawatannya kepada penggantinya yang ada sekarang. Kebijaksanaan berpolitik telah berpihak kepada Umno/BN sekali gus kedudukan TKT terus selesa. Kalau tidak silap saya Marhaintua adalah salah seorang dari kalangan mereka membantutkan perjuangan BA dengan memberi sokongan kepada Umno dengan alasan untuk beri peluang kepada Paklah cucu ulama dan Mr Clean. Lupakah? Saya tertarik dengan seorang penulis yang begitu pandangannya bahawa Umno tetap Umno walaupun kepalanya sudah bertukar. Dia ibaratkan Umno/BN sebagai sebuah kapal dalam satu pelayaran bernakhodakan TKT. Justeru pelayaran itu telahpun ditetapkan arah tujuannya. Dengan pengunduran TKT dan diganti dengan Paklah kapal itu tidak akan berubah haluannya. Paklah perlu berjaga-jaga dari terkandas dan untuk itu dia perlu bersama-sama dengan yang lain peninggalan TKT yang sudah pasti turut mencengkamnya agar tidak ubah haluan. Sistem korup, kroni dan keluarga yang telah mendarah daging tidak senang untuk diubah kecuali dengan menolak Umno/BN.

Apakah kisah SCOMI yang melibatkan anak Paklah bukan termasuk di dalam rancangan awal TKT untuk menglembukan Paklah? Yang terlibat orang dari Bangladesh kah apa, satu keturunan dengan TKT. Saya bukan hendak menghina sesiapa tetapi inilah realiti. Golongan Qadiani lahir di benua India. Golongan tariqat juga begitu. Mereka semua tidak peduli dengan jihad tetapi lebih mementingkan dakwah tanpa mempedulikan kuasa kerajaan. Qadiani pula adalah alat golongan kufr untuk menghapuskan jihad. Ucapan dan tindakan TKT seiras mereka. Ia mendapat sokongan jitu dari UMNO. BN tak usah cerita.

Kalau nak diceritakan terlalulah banyak. Terkini, Kabinet telah membuat keputusan sebarang tindakan yang perlu dibuat oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam perlu mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah! Jabatan Agama bertindak kerana pelanggaran hal-hal berkaitan agama Islam. Kabinet tu siapa di dalamnya? Apakah Samy Vellu berhak mengarahkan Jabatan Agama Islam? Ketua Polis Daerah pula belum tentu lagi beragama Islam, dan Jabatan Agama Islam perlu mandapat kebenaran mereka? Inilah gara-gara Melayu yang TKT kata mudah lupa.

Orang Melayu memang baik hati – saya teringat satu artikel tulisan penulis terkenal keluaran DBP. Yang menyedihkan penulis itu kuat keUmnoannya! Orang Melayu tidak ke mana kalau tolak Islam kerana umat Islam sahajalah umat pilihan.

TKT bukanlah lawan kita. Dia tu siapa? Sampai masa dia juga akan pergi menghadap Penciptanya. Yang perlu kita lawan tetap lawan adalah Umno kerana Umnolah yang mengkhianati Islam dan bangsa Melayu. Menjauhkan orang Melayu dari amal Islami adalah mengundang kemurkaan Allah swt. Melayu hanya akan perkasa dengan Islam. “Kita dimuliakan Allah dengan Islam, dan sekiranya kita meninggalkan Islam, Allah akan menghinakan kita.” Kehinaan itu sudah pun berhadapan dengan kita. Segala rancangan tindakan yang mengetepikan Islam tidak akan membuahkan kejayaan dan pertolongan Allah kecuali juta, juta, juta wang rakyat akan dikantungkan.

Melayu tidak akan perkasa dengan menyerang TKT. Melayu juga tidak akan perkasa melalui Umno. Melayu perlu kembali kepada Islam. Hanya Islam akan memperkasakan Melayu!

Wallahu’alam

Chukovsky - 02.04.2005

Melayu Memang Sudah Lama Rugi

Oleh: marhaintua

Bekas Perdana Menteri Tun Kepala Taik Mahathir masih mahu menegakkan benang basah terhadap menguatkuasakan Bahasa Inggeris bagi pengajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah. Yang menariknya beliau diberikan liputan yang meluas oleh akhbar milik UMNO dengan alasan-alasan haprak yang dia anggap mesti diikuti oleh orang Melayu.

Sayangnya dalam hal ini pemimpin parti pembangkang masih diam membisu tidak mahu buat komen besar-besaran akan pendapat di Kepala Taik ini. Sebahagian besar pemimpin Melayu parti pembangkang masih lena tidur semacam dulu, setiap kali si TKT ini membuka mulutnya.

Sesungguhnya hujah beliau memang tidak boleh dipakai kerana semasa menguatkuasakan peraturan baru ini ia hanya dikenakan kepada Sekolah Kebangsaan dan Tamil (?) sahaja. Kenapa pula tidak dikuatkuasakan di sekolah aliran Cina? Sepatutnya sewaktu itu dulu pemimpin Melayu dalam parti pembangkang menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran seluruh Malaysia kerana asas membantah secara massa mempunyai dalil yang cukup.

TKT masih mahu menipu orang Melayu sambil memangsakan bangsa Melayu. Seperti mana dia memangsakan bangsa Melayu yang menabung dalam Tabung Haji apabila dia membeli tanah milik bapa mertua Mirzan di Indonesia dengan belanja dua bilion. Begitu juga dengan cara menggunakan dana rakyat untuk menyelamatkan syarikat anak-anaknya yang muflis.

Selagi soal pengajaran Bahasa Inggeris melalui pengajian Matematik dan Sains tidak diperbetulkan seperti dulu, orang Melayu jangan harap dapat menutup malu bangsanya kerana si TKT ketawa bersama kroninya di belakang mereka.

Alasan bahawa pengajian Bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik akan menjadikan Bangsa Melayu satu bangsa yang kuat memang tidak berasas. Lihat dulu apakah bahasa yang digunakan oleh orang Jerman, Peranchis, Itali, Russia Cina, Korea dan Jepun dan banyak bangsa lagi dalam pengajian Matematik dan Sains? Di Indonesia, mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris untuk mempelajari Matematik dan Sains.

Muslihat sebenar kenapa Bahasa Inggeris dimestikan dalam pengajian Sains dan Matematik terletak kepada tipu helah komersial semata-mata. Cuba lihat siapa yang dapat kontrak mengeluarkan buku-buku teks baru Sains dan Matematik? Siapakah yang membekalkan komputer riba (laptop) serta alat-alat mengajar di seluruh negara dan dibekalkan kepada guru-guru dan sekolah?

Hanya kerana mahu memperkaya ‘Panglima Konspirasi’ Aziz Shamsuddin dan anak pinak TKT, bangsa Melayu telah dimangsakan.

Cuba buat pemeriksaan rambang akan alat-alat elektronik yang dibekalkan di sekolah-sekolah untuk pengajian Sains dan Matematik dan kesan berapa jam yang telah digunakan (user hours) terhadap alat-alat ini. Setahu saya masih ada alat-alat ini yang tidak disentuh langsung kerana guru-guru tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk membuat persiapan mereka. Malahan, ramai guru-guru Matematik dan Sains yang tinggalkan komputer mereka di sekolah sepanjang percutian, kerana tidak berminat menggunakan alat–alat itu.

Muslihat yang paling besar sebalik penguatkuasaan bahasa Inggeris dalam pengajian Matematik dan Sains ialah menyediakan calon-calon untuk memasuki gerbang pengajian tinggi swasta yang dimiliki oleh anak-anak TKT dan para kroninya. Cuba perhatikan siapa yang memiliki Universiti Kuala Lumpur? Bukankah itu milik Mirzan Mahathir. Dan bukankah bangunan itu dulu lama terbengkalai sehinggalah disuntik wang pemulihan Perwaja kepada Kumpulan Maju Holdings? Satu hari nanti sejarah akan membogelkan kisah konspirasi menyuntik dana bagi pemulihan Perwaja Steel dan bagaimana wang itu telah dilencungkan untuk mempercepatkan pembikinan bangunan yang kini menjadi tapak asas Universiti Kuala Lumpur.

Rakyat marhaen tentu ingat akan projek Rakan Muda semasa Ghani Othman menjadi Menteri Belia dan Sukan. Lebih tujuh puluh juta dibelanjakan untuk menaikkan taraf kesukanan golongan belia. Hanya tiga puluh peratus sahaja yang dibelanjakan untuk tujuan itu. Yang lainnya dibelanjakan untuk membantu Mandela dan partinya ANC di Afrika dan menonjolkan ketokohan TKT di benua itu. Semua kerja-kerja propaganda menonjolkan beliau telah diserahkan kepada Lim Kok Wing.

Sekali gus ingatan rakyat marhaen akan terpesong kepada Universiti Lm Kok Wing. Inilah satu-satunya universiti di negara ini yang diluluskan untuk menggunakan nama seseorang. Lim Kok Wing naik mencanak kerana menjilat TKT Mahathir.

Projek “Tak Nak” yang bertujuan menasihati golongan anak muda supaya tidak menghisap rokok dan mendekati dadah telah diserahkan bulat-bulat kepada Lim Kok Wing. Kenapakah projek itu tidak diserahkan kepada institusi pengajian tinggi yang lain di mana sebahagian besar tenaga pengajar dan pelukisnya adalah anak-anak Melayu?

Demikianlah tingkah laku TKT Mahathir dalam mempertahankan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah yang dimonopoli oleh Bangsa Melayu.

Sudah sampai masanya bagi Bangsa Melayu sedar akan penipuan besar-besaran dan licik yang dibuat oleh TKT Mahathir yang sebenarnya bertujuan memperkayakan para kroni. Kalau dia serius mahukan penggunaan Bahasa Inggeris dilaksanakan secara menyeluruh dia tidak akan berlembut dengan masyarakat Cina yang bertegas agar pengajian Matematik dan Sains diteruskan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin.

Soalnya sekarang, orang Melayu seolah-olah terpukau terus dengan hujah TKT Mahathir. Selama ini apa sahaja yang diluahkannya diterima bulat-bulat tanpa ada usaha bantahan yang secara berkesan. Budaya akur secara senyap sudah sebati dengan orang Melayu sehinggakan selama ini disediakan sosej bersalut usus babi pun Bangsa Melayu sanggup berdiam diri. Mana perginya pemimpin Melayu di peringkat pembangkang? Mana perginya ulama Melayu yang cakap berdegar-degar di kuliah agama di surau dan masjid?

Kalau dalam soal makanan babi boleh mereka diamkan begitu sahaja, apa sangatlah masalah pakaian menjolok mata oleh golongan ala Jeslina Hashim?

Saya cadangkan ditubuhkan satu badan mengutip tandatangan ibu bapa menolak pengajaran Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sebelum terlambat.

Jangan peduli cakap orang tua yang nyanyuk yang masih berpendirian bahawa orang Melayu akan rugi kalau anak-anak tidak belajar Bahasa Inggeris melalui mata pelajaran Sains dan Matematik. Dia tidak akan serius dalam hal ini kerana semua cucu-cucunya belajar di luar negara.

Orang Melayu harus sedar bahawa konsep pengajian seperti itu hanyalah satu kesinambungan konsep menjual komputer melalui Order Saja dengan menggunakan wang caruman di KWSP. Bayangkan komputer yang dibeli dulu dengan harga 40000 kini hanya bernilai RM350 sahaja.. Apa jadi dengan simpanan pekerja yang mengeluarkan simpanan mereka? Adakah si tua hangkoi itu memikirkannya?

Sudah lama sangat orang Melayu rugi kerana dimangsakan oleh si Malbari tua itu. Yang anehnya dia mahu memperkayakan anak pinaknya semata-mata untuk memudahkan mereka berbelanja rakus di kasino di merata dunia.

-marhaintua - 01.04.2005