Oleh Yasmin Mogahed
(Female-Led Prayers: A Step Forward for Women?)
30/3/2005
Pada 18 Mac, 2005 Amina Wadud menjadi wanita Islam yang pertama mengimamkan solat Jumaat. Pada hari yang sama kaum hawa telah membuat langkah besar untuk menjadi setara kaum lelaki. Akan tetapi, apakah kita sebenarnya mencapai kebebasan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita?
Jawapan yang baik telah diberikan secara ikhlasnya oleh Yasmin Mogahed, anggota Sidang Pengarang “Ask About Islam”. Yasmin merupakan seorang wartawan berdarah campuran Mesir-Amerika yang berpangkalan di Wisconsin, Amerika Syarikat. Buat masa ini beliau masih menyambung pengajiannya dalam jurusan kewartawanan bagi ijazah Sarjana.
Salam, Sarah.
Terima kasih kerana soalan yang sungguh mencabar! Sesungguhnya, dalam memberikan jawapan, saya tidak fikir saya bersetuju dengan pendapat anda. Apa yang selalu kita lalai ialah memahami betapa martabat wanita yang dikurniai Allah mengikut nilai Allah Yang Maha Esa dan bukan mengikut ukurannya dengan kaum lelaki. Akan tetapi, pergerakan feminisme tonjolan Barat telah melupuskan kebesaran Allah daripada tanggapan ini sehingga memikirkan bahasanya tidak ada lagi piawaian ataupun standard yang tinggal untuk dicipta kecuali kita mesti menyaingi taraf kaum lelaki. Kesannya kita dapati bagaimana kumpulan feminis Barat terpaksa menggapai nilai harga dirinya mengikut hubu7ngannya dengan kaum lelaki. Lantas, kaum wanita telah terjebak dengan satu tanggapan yang amat salah. Wanita Barat telah memperakui bahawasanya kaum lelaki itu adalah satu piawaian yang past mesti ditandingi seandainya wanita mahu mencapai piawaian yang songsang itu.
Ketika kaum Adam mula memotong rambutnya menjadi pendek, kaum wanita pun mahu ikut fesyen yang sama. Apabila orang lelaki masuk menganggotai pasukan tentera, wanita pun mahu turut sama dan begitulah seterusnya. Wanita mahu melakukan semua itu bukan kerana apa-apa selain daripada mencapai piawaian yang baru diikhtirafnya. Apa yang gagal diperakuinya ialah sikap Allah Subhanahu Wataala memartabatkan kaum lelaki dan wanita mengikut nilainya yang tersendiri dan berbeza, dan tidak kepada kesamaannya. Jadi, pada 16 Mac 2005 wanita Islam telah melakukan kesilapan yang sama.
Selama 1,400 tahun lamanya, sudah sedia ada satu konsensus di kalangan ilmuwan bahawasanya lelaki adalah jenis yang dibenarkan untuk mengimamkan solat. Apakah maknanya perkara ini kepada seseorang wanita Islam? Orang yang mengimamkan solat kita itu tidak bermakna mempunyai satu kelebihan spiritual yang lebih unggul dari segi mana pun. Hanya kerana seseorang lelaki mengimamkan solat bukannya bererti ada keistimewaan yang luar biasa. Malahan sesuatu solat berjemaah itu tidak mencetuskan keistimewaan yang amat ketara hanya kerana seseorang lelaki yang mengimamkannya. Kalaulah besar sangat keistimewaannya ataupun syahdu sangat peranan semacam itu, kenapakah Nabi junjungan kita tidak meminta Aishah, Khadijah ataupun Fatimah yang merupakan tiga wanita unggulan ummah menjadi imam di masa mereka hidup? Ketiga-tiga wanita tersohor ini telah dijanjikan syurga tetapi mereka tidak pernah mengimamkan solat (yang bercampuran antara kaum lelaki dan perempuan – penterjemah).
Kini, secara mendadak pula dan untuk pertama kali selepas 1,400 tahun, kita mempertikaikan peranan lelaki sebagai seorang imam, dengan tanggapan bahawa “Itu satu perkara yang tidak adil.” Demikianlah pemikiran kita walaupun Allah tidak pun memberikan satu keistimewaan yang istimewa kepada orang yang mengimamkan solat itu. Dari penilaian Allah, seseorang Imam bukannya diiktiraf lebih mulia oleh Allah berbanding pengikut yang berdiri solat di belakangnya. Sebaliknya, bukankah hanya kaum Hawa yang boleh menjadi seseorang ibu? Bukankah Allah semesta alam memberikan keistimewaan yang sungguh berprestij itu untuk wanita menjadi ibu? Nabi junjungan telah mengajar kita betapa syurga berada di kaki ibu. Tidak kiralah apa yang dibuat oleh kaum lelaki, dia tidak akan menjadi seorang ibu. Kenapa pula itu tidak dipertikai dan dianggap tidak adil?
Apabila ditanya apakah yang paling istimewa yang perlu kita hormati? Nabi junjungan kita menjawab: “Ibu kamu, ibu kamu dan ibu kamu.” Nabi mengulangi jawapan itu tiga kali sebelum menyebut “ayah mu” hanya sekali sahaja. Bukankah itu boleh dianggap satu pemilihan yang berat sebelah? Sesungguhnya tidak kiralah apa juga yang dilakukan oleh kaum lelaki, di tidak akan berjaya sampai ke satu tahap unggulan seseorang ibu. Alahai, alangkah pelik benda ini? Ketika Allah memberikan kehormatan yang paling tinggi kepada kita yang sungguh unik sekali, kita pula terhegeh-hegeh menyibuk mencari satu status penghormatan dengan merujuk kepada lelaki sebagai tanda aras (kayu-pengukurnya) tanpa menyedari betapa unggulnya penghormatan yang telah dikurniakan kepada kita. Kita telah sengaja menerima kaum lelaki sebagai satu tanda-aras untuk menjadi satu piawaian kita. Sehinggakan apa juga yang ternyata unik sebagai hak kewanitaan, sudah dianggap tidak ada nilainya. Sesungguhnya sikap tidak sensitif dan peka itu adalah sifat yang sungguh memalukan kita sehingga kita anggap sifat semula jadi sebagai seorang ibu itu adalah satu penghinaan. Dalam pertembungan ini kita menerima sifat berperang itu sebagai
sifat kelelakian dan sifat kasih sayang yang tidak berbelah bagi sebagai sifat kewanitaan, sehinggakan kita menganggap betapa inilah rasionalnya.
Apabila kita menerima-pakai hakikat bahawa apa juga yang dilakukan oleh lelaki itu sesuatu yang lebih baik, sekali gus ia mencetuskan ikutan yang mendadak; bahawasanya apa juga yang dimiliki oleh lelaki; kita kaum wanita mesti dapat memilikinya juga. Kalau kaum lelaki boleh mengisi saf depan dalam jemaah kita, kita beranggapan bahawa itu adalah satu keistimewaan dan mahukan hak itu. Kalau ada lelaki yang mengimamkan solat kita, ia mencetuskan tanggapan bahawa si imam tadi adalah lebih dekat di sisi Allah, lantas kita juga mahu menjadi imam semacam itu. Entah bagaimana agaknya, kita telah menciplak satu tanggapan bahawa kedudukan yang menonjolkan kepimpinan semacam itu adalah satu pertanda bahawasanya seseorang itu amat hampir di sisi Allah.
Seseorang wanita Islam tidak perlu merendahkan martabatnya semacam ini. Dia mempunyai Allah sebagai ukuran piawaiannya. Dia mempunyai Allah untuk memberikan penilaianNya. Dia tidak memerlukan kaum lelaki dalam penilaian ini. Malahan dalam jihad kita ini mengikut kaum lelaki, kita sebagai kaum wanita tidak pula berhenti sejenak untuk menilai apakah segala kemungkinannya yang kita miliki itu adalah lebih baik untuk kita. Dalam banyak hal, kita telah melepaskan apa yang lebih unggul semata-mata kita cuba hidup setara semacam lelaki.
Lima puluh tahun yang lalu, kita telah menyaksikan kaum lelaki meninggalkan rumah mereka untuk bekerja di kilang-kilang. Ketika itu kita sibuk dengan peranan sebagai ibu. Akan tetapi secara tiba-tiba kita juga mahu mengikut jejak langkah mereka. Entah macam mana pula, kita tiba-tiba mempunyai tanggapan bahawa kita mesti mengikut arus gelombang kebebasan wanita untuk menolak tepi peranan melahir dan mengasuh anak-anak hanya untuk bertugas mengendalikan jentera. Kita telah menerima hakikat bahawa tugas bekerja di kilang itu adalah lebih mulia dari peranan membesarkan anak-anak, semata-mata kerana kaum lelaki bekerja di kilang. Apabila selesai kerja di kilang itu, kita diharapkan menjadi seorang manusia yang serba boleh, seorang ibu yang sempurna, seorang isteri yang mithali, yang pandai menjaga rumah dan pada waktu yang sama seorang yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila tidak ada sesiapa yang mempertikaikan peranan seseorang wanita yang bekerja itu, kita pun mula sedar apa yang kita korbankan itu hanya satu langkah mengikut secara membabi-buta akan peranan kaum lelaki.
Apabila kita melihat anak-anak sendiri yang bersikap semacam orang asing kepada kita, barulah kita sedari betapa kita tersilap melepaskan segala keistimewaan yang dianugerahkan kepada kita. Hanya sekarang ini, apabila diberikan pilihan, ramai kaum wanita Barat yang memilih untuk berada di rumah untuk membesarkan anak-anak mereka sendiri.. Mengikut bancian United States Department of Agriculture (Jabatan Pertanian Amerika Syarikat) hanya terdapat 31 peratus ibu yang mempunyai anak, dan 18 peratus ibu yang mempunyai antara dua hingga lebih kanak-kanak, yang bekerja sepenuh masa. Mengikut bancian Parenting Magazine pada 2000, di kalangan ibu-ibu yang bertugas begini, seramai 93 peratus menyatakan kesanggupan berada di rumah membesarkan anak-anak sendiri. Namun, mereka terpaksa bekerja kerana tanggungan bebanan kewangan. “Bebanan” ini sebenarnya dipaksakan ke atas mereka gara-gara sikap mahukan kesamaan dari hak jantina di dunia Barat yang serba moden. Inilah juga yang membawa pemisahan di kalangan umat Islam yang lalai akan keistimewaan taraf jantina mengikut pandangan Islam.
Kaum wanita barat telah mengorbankan hampir satu abad dalam membuat eksperimen mereka sebelum menyedari akan keistimewaan yang diberikan kepada wanita Islam kira-kira 1,400 tahun dulu lagi. Apabila mengambil kira keistimewaan saya sebagai seorang wanita Islam, sudah tentu saya akan menghina diri sendiri kalau mencuba menjadi seseorang yang berbeza. Secara ikhlas saya memang tidak mahu menjadi seorang lelaki. Sebagai wanita kita tidak akan mencapai kebebasan sepenuhnya sehinggalah kita berhenti cuba meniru lelaki dan menilai sendiri segala keindahan nilai-nilai perbezaan yang dikurniakan kepada kita oleh Tuhan.
-Terjemahan oleh MT - 08.04.2005
1 comment:
Benarkan suami mu berkahwin dengan penuh taqwa dan kerana kasih mu pada allah mak pintu mencapai darjat kebesaran seorang wanita itu akan terbuka seluas-luas nya.Kalau ini pun belom boleh buat lagi ,dalami lah lagi ilmu agama mu.
Post a Comment