Tuesday, December 23, 2008

Tipu!

PUTRAJAYA 23 Dis. – Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam berkata, cadangan pihaknya untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN) hanyalah sebagai usaha menambah baik perkhidmatan di pusat jantung itu.

Beliau berkata, melalui usaha tersebut, jumlah pakar dan juga peralatan rawatan dapat ditingkatkan berdasarkan keperluan semasa.

``Tetapi nasib golongan pesara dan miskin tetap tidak akan diabaikan, bahkan ia akan diteruskan sebagaimana yang dinikmati masa kini,'' katanya. – Utusan.

TIPU.. TIPU.. TAK NAK PERCAYA! TIPU.. INI BOHONG.. ONCONG.. AUTA... TIPU.. TIPU... TIPU... TIPU!!!!

Sunday, December 21, 2008

IJN - Jangan Tipu Bangsamarhaen!

Bumiputra Commerce Holdings Berhad telah menubuhkan Synergy Drive untuk mengambil alih pengurusan tiga buah syarikat perladangan terbesar di Malaysia iaitu Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope Plantation.

Selepas pergabungan syarikat - syarikat tersebut selesai, Synergy Drive telah menukar namanya kepada sebuah entiti baru bernama Sime Darby.

Hari ini Sime Darby beria - ria benar mahu mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN). Suami Bakal Perdana Menteri pula seperti tidak sabar - sabar untuk meratah IJN atas nama setan pengswastaan.

Soalan: Mengapa pilih IJN sebagai sasaran?
Jawapan: IJN adalah jantung kepada hospital - hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Umpama Teori Domino, kejayaan Sime Darby menguasai IJN merupakan permulaan kepada gerakan penswastaan perkhidmatan kesihatan awam secara besar - besaran.

Soalan: Siapakah di belakang Sime Darby?
Jawapan: Bumiputra Commerce Holdings Berhad a.k.a CIMB

Soalan: Siapakah di sebalik Bumiputra Commerce Holdings Berhad?
Jawapan: Nazir Razak

Soalan: Siapakah Nazir Razak?
Jawapan: Adik Ipar Bakal Perdana Menteri Malaysia.

Soalan: Siapakah Bakal Perdana Menteri Malaysia?
Jawapan: Rosmah Mansor.
Penulis Tamu
Commoners Hall Bangsamarhaen

P36 Kuala Terengganu

Semalam Najib Razak telah mengumumkan Senator Wan Farid terpilih sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Manakala Mat Sabu di sebut - sebut bakal mewakili Pakatan Rakyat sekalipun terdapat cakap - cakap mengatakan pengundi mahukan orang tempatan sebagai wakil rakyat mereka.

Ketika berita itu ditulis, jentera Pakatan Rakyat telah pun bersedia menggempur ketumbukan Barisan Nasional. Secara amnya Pakatan memiliki peluang cerah untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Ini kerana sentimen pengundi bukan Melayu mutakhir ini lebih condong kepada Pakatan. Orang Cina di DUN Bandar mahukan suara wakil rakyat yang mampu membela nasib mereka. Dalam hal ini, PAS dan Pakatan Rakyat dilihat lebih baik dari Barisan Nasional.

Kekuatan PAS di Kuala Terengganu tidak perlu dipersoalkan memandangkan tiga buah DUN di situ berada dalam genggamannya.

Segala - galanya bergantung kepada kekuatan peribadi calon, selain dari isu - isu semasa yang bakal dibangkitkan oleh PAS dan rakan - rakannya.

Dan seperti biasa, kelibat Anwar Ibrahim pasti ditunggu - tunggu oleh rakyat Kuala Terengganu.

P/S: Pengundi Kuala Terengganu dinasihatkan supaya tidak membaling kasut ke arah Najib Razak sewaktu kempen sedang berlangsung.
Penulis Tamu
Commoners Hall Bangsamarhaen

Ir. Nizar Camry

Saya berasa hairan apabila media BN memperbesar - besarkan isu pembelian Camry oleh Kerajaan Perak.

Para pengampu penjilat UMNO - BN menyifatkan pembelian itu sebagai tidak patriotik.

Sedang apa yang mereka tidak fahami adalah makna sebenar 'patriotik' di sebalik konteks pembelian ini.

Apakah membeli kereta berkualiti itu tidak patriotik? Apakah membazirkan wang rakyat dengan menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi itu satu sikap yang patriotik?

Saya menggesa para penyokong UMNO - BN untuk datang melawat ke mana - mana pejabat kerajaan dan saksikan sendiri betapa gahnya penjawat awam menaiki kenderaan jabatan model Toyota Innova, Toyota Hilux, Toyota Hi - Ace, Mitsubishi Pajero, Land Rover, Ford Econovan, Ford Ranger dan sebagainya.

Proton? Inokom? Jenama tempatan ini 'mengabehkan boreh' semata - semata.

Jangan lupa nama asal Proton Saga adalah Mitsubishi Fiore. Projek Kereta Nasional karya kelentong Mahathir Muhamad ini telah menyebabkan rakyat terpaksa membeli kereta pada harga yang mahal.

Hasilnya kapitalis tempatan semakin kaya manakala rakyat bangsamarhaen terbeban dengan hutang keliling pinggang.
Penulis Tamu
Commoners Hall Bangsamarhaen

Thursday, December 18, 2008

Kompeni Terengganu Lingkup!

Beberapa anak syarikat milik kerajaan Terengganu bakal ditutup kerana tidak mencatatkan keuntungan sejak tiga tahun lalu.

Satu lagi kesilapan besar UMNO menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Macam mana boleh rugi? Ini mesti ada 'something wrong somewhere ni.

Negeri kaya tetapi rakyat miskin. Apa sudah jadi?

Rakyat Bangsamarhaen Kuala Terengganu wajib bangkit berjuang mempertahankan hak mereka selaku anak negeri. Mereka mesti menghantar signal amaran kepada Putrajaya. " Jangan perkotak katikkan rakyat Terengganu."

Undi untuk perubahan! Undilah Pakatan!

Runtuhnya Kapitalis

Saya semakin teruja melihat situasi ekonomi mutakhir ini. Umpama kesan domino, ombak keruntuhan kapitalis telah merebak dan menghempas benua Asia.

Hari ini syarikat kereta tersohor, Honda dan Nissan telah memecat pekerja dan mengecilkan operasi di kilang - kilang mereka di Jepun.

Sekarang saya ingin menyaksikan sendiri apakah 'Ketuanan Melayu UMNO' mampu menyelamatkan pekerja - pekerja Melayu yang bakal dipecat sekiranya Perodua dan Proton gulung tikar.

Kasut Untuk Najib

Selepas Bush hampir diaibkan dengan insiden baling kasut, saya tertanya - tanya apakah peristiwa ini akan menjadi trend baru di kalangan aktivis kemanusiaan.

Saya juga cuba menyenaraikan nama - nama politikus tempatan yang berisiko menerima serangan kasut ini.

Pada masa yang sama, saya berpendapat bakal Perdana Menteri mungkin akan menjadi mangsa serangan kasut di negara ini. Cuma saya risau kalau - kalau balingan kasut itu tersasar menyinggah tepat ke muka Rosmah.

Saya berharap Najib sentiasa selamat dari provokasi seperti itu, apatah lagi di saat sentimen politik negara semakin membahang menuju Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

Wednesday, December 17, 2008

Bangsamarhaen

Andai diberi peluang untuk saya memilih bangsa, saya tidak akan sesekali meletakkan diri saya di dalam mana – mana gerombolan bangsa di negara ini. Saya akan mengatakan ‘Tidak’ kepada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Orang Ulu, Murut, Penan, Iban, Bidayuh dan sebagainya.

Pada saya, nama – nama bangsa ini hanya menunjukkan budaya peradaban dan pertuturan manusia. Sepatutnya ia tidak membawa apa – apa erti di dalam hidup ini. Manusia adalah makhluk Yang Maha Esa, yang lahir dari keturunan bahtera Nabi Nuh A.S.

Justeru itu kita dianjurkan untuk mempercayai bahawasanya retorik perjuangan kaum hanyalah sekadar satu usaha untuk membangsatkan pemikiran kita.

Kita adalah manusia yang punya akal untuk berfikir. Sedar tidak sedar kita sebenarnya sentiasa bergantung sesama kita.

Kemiskinan dan kekurangan dikongsi bersama tanpa mengira batasan kaum, idealoji politik dan agama. Kelompok orang susah ini memerlukan bantuan dari pihak berkuasa.

Mereka tidak menantikan retorik sampah politikus negara. Mereka juga tidak mendambakan ucapan berdegar – degar dari sang politikus. Apa yang mereka mahukan adalah perlindungan dan pembelaan. Mereka hanya mahu hidup yang lebih bermakna dan manusiawi. Mereka wujud di mana – mana dan bertebaran di seluruh pelosok Malaysia.

Mereka adalah dari kalangan petani, penoreh getah, peladang kecil, pengusaha kecil, pemilik warong, kerani, gelandangan, orang kurang upaya, buruh dan seangkatan dengannya. Mereka adalah Bangsamarhaen.

www.marhaen.blogspot.com

Gelora Hati Marhaen

Kadang-kadang saya rasa saya ini seperti dilahirkan pada zaman yang salah. Zaman di mana manusia mengejar kertas keronyok bernama wang ringgit. Zaman ketika status keangkuhan diukur menerusi hantu bernama kereta.

Kereta? Ya. Kebanyakan manusia di Malaysia memandu dengan penuh rasa bongkak. Selaku pejalan kaki yang 'oldtai' saya sering menganalisa raut wajah pemandu di atas jalan raya. Kadang - kadang mereka sengaja menekan minyak ketika saya mahu melintas. Seringkali mereka memandang sinis para pejalan kaki yang sedang melangkah menuju ke tempat kerja -- demi mengais sekepal nasi.

Bila hujan kalau saya bernasib baik saya akan dihadiahkan dengan tempias air lopak. Bila dihitungkan kembali saya berpendapat mereka ini seperti tidak beriman dan bersyahadah. Tidak mengapalah. Inilah resmi hidup.

Saya sering berfikir untuk hidup di zaman kesultanan Melayu Melaka. Zaman di mana saya mampu menghirup udara segar tanpa setan bernama kereta.

Hakikatnya setiap pemilik kereta turut berdosa kepada alam sekitar. Soal dosa besar dosa kecil saya tidak tahu. Tanyalah lebai PAS yang memiliki dua buah kereta. Beliau lebih alim dari saya.

Kalau saya hidup di era kesultanan Melaka saya pasti saya akan menjadi lebih pandai dari Pak Lah. Ini kerana saya berpeluang untuk menghirup oksigen yang lebih segar. Oksigen ini akan membantu otak saya untuk bekerja dengan lebih baik.

Ini membolehkan saya memohon kerja dan berada di kasta yang lebih tinggi. Paling tidak saya mampu memegang jawatan Syahbandar atau setaraf dengannya.

Hidup sebagai rakyat marhaen di akhir zaman adalah sesuatu yang cukup memilukan. Kita dipaksa untuk menerima kertas keronyok sebagai instrumen kewangan. Manusia sanggup bertumbuk, bergaduh berperang dan membunuh hanya kerana kertas keronyok.

Di zaman kesultanan Melaka, saya masih berpeluang untuk hidup bahu membahu.

Kawan saya tanam padi. Saya pula membela kerbau dan ayam. Bila tiba musim menuai saya dapat melantak nasi yang segar -- yang baru dipungut dari lapangan sawah.

Kawan saya boleh menikmati ayam segar yang baru disembelih. Ianya satu perhubungan yang maha indah. Pertalian suci ini wujud di dalam lingkaran ekonomi klasik bernama sistem tukar barang a.k.a barter trade.

Gadis? Oh ya... Sudah pasti saya mendambakan kembang perawan pada enam abad yang lalu. Di waktu di mana kebanyakan isteri adalah ibu yang punya masa untuk mendidik anak - anak, menjaga dan menumpahkan kasih sayang sepenuhnya terhadap mereka.

Tuan Puan yang saya hormati,

ekonomi kapitalis berperanan sebagai jarum halus yang mampu memporak perandakan institusi kekeluargaan. Bayangkan lima puluh peratus guna tenaga di negara kita terdiri dari kaum Hawa. Di saat mereka mengejar rutin kerja, di manakah agaknya anak mereka menumpang kasih? Ini satu persoalan yang gagal dijawab oleh kapitalis.

Kapitalis tidak mengiktiraf manusia sebagai manusia. Kapitalis menganggap kita semua hanyalah 'just a number'. Kapitalis tidak peduli kepada kebajikan rakyat. Yang ditekankan adalah untung besar. Kalau untung kecil ianya dikira sebagai rugi.


Ekonomi kapitalis telah menyebabkan kos sara hidup meningkat. Manusia dipaksa menjadi hamba kepada kertas keronyok. Kita tidak boleh membeli beras, ikan, sayur, daging, perabot dan segala macam barang - barang tanpa kertas keronyok.

Ekonomi kapitalis telah menghasilkan manusia yang tamak. keinginan manusia untuk membelanjakan kertas keronyok telah menyebabkan manusia pada hari ini memiliki keinginan tanpa batas.

Saya teringat kepada Teori Maslow. Teori keinginan dan keperluan ini berbentuk piramid. Saya menduga ekonomi kapitalis telah menghuraikan puncak kepada piramid tersebut adalah 'mati'.

Saya berpendapat begitu kerana ketamakan manusia hanya berakhir apabila dia mati.
Saya tidak ingin hidup di zaman ini. Zaman di mana manusia berlagak dan tidak bersyukur. Zaman di mana orang - orang macam saya ini dianggap tidak cool kerana tidak memiliki wang yang banyak dan kereta.

Saya tidak ingin hidup di zaman ini. Jikalau saya diberi pilihan saya mahu hidup di zaman General Khalid Al Walid atau zaman Tun Perak atau zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Saya mahu hidup sebagai manusia yang bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk hidup bernafas di bumi Yang Maha Esa ini.

Penulis Tamu
Puak Marhaen Muda (Young Commoners Clan)
17 Disember 2008 7.53 am.

Sunday, December 14, 2008

PRK Kuala Terengganu

Dengan izin Yang Maha Esa, PAS Pakatan Rakyat akan memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Kali ini, medan tempur di pantai timur akan menguji sejauh mana kemampuan Najib untuk mempertahankan parlimen tersebut.

Kalau di Permatang Pauh, BN diletakkan di posisi menyerang tetapi akhirnya mereka tewas teruk. Sekalipun PKR Pakatan Rakyat bertahan diasak jentera Persekutuan, namun kematangan rakyat Permatang Pauh telah berjaya memberikan kemenangan bergaya kepada Anwar Ibrahim.

Kita amat berharap rakyat Kuala Terengganu juga turut memiliki kematangan yang sama, dan memberikan mesej yang jelas kepada Najib betapa beliau tidak layak untuk memimpin negara kita.

Selamatkan negara kita! Selamatkan rakyat! Reformasi!

Tuesday, July 01, 2008

Kemaraan Yang Cuba Disekat



Kerajaan Sepatutnya Takut Kepada Rakyat, Bukan Rakyat Yang Perlu Takut Pada Kerajaan." V dalam V For Vendetta.

Selepas mencengkam kuasa selama lebih separuh abad, Barisan Nasional masih lagi mengekalkan corak strategi yang sama, iaitu mewujudkan suasana takut yang berpotensi untuk diterjemahkan kepada keadaan anarki yang mampu mengancam kestabilan negara.

Budaya mengugut Barisan Nasional sekali lagi menerjah singgahsana politik di negara kita. Kali ini mereka menggunakan pendekatan yang sama, jalan cerita yang sama, kaedah yang sama, kes yang sama, iaitu sodomi.

Sampai bila BN mahu memperbodohkan pemikiran rakyat? Sampai bila BN mahu menggunakan prinsip 'Matlamat Menghalalkan Cara'? Ini semua satu tuduhan jijik.

Kisahnya begini. Dua orang tokoh tersohor yakni YM Raja Petra dan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menggempur ketumbukan Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Skandal dan konspirasi diulang dedah bagi meranapkan harapan kem Najib untuk mengungguli kuasa.

Selaku pemain catur politik negara, kem Najib ini dipercayai telah merancang untuk 'counter attack' Anwar dan YM Raja Petra. Seorang pemuda hingusan telah dijadikan kambing hitam dalam usaha untuk menyusahkan Anwar. Isu yang timbul sekarang ini bertujuan untuk melengah-lengahkan pergerakan kem Anwar menuju ke Putrajaya.

Saya menamakan ia 'kem Anwar' kerana ia bukan sahaja melibatkan Parti Keadilan Rakyat maupun Pakatan Rakyat. Ia juga turut disertai anggota Barisan Nasional yang sememangnya diketahui mereka ini ialah penyokong Anwar.

Usaha melambat dan mengganggu perancangan Anwar ini perlu dilakukan oleh UMNO bagi membolehkannya memiliki masa yang cukup untuk mempertahankan kuasa. UMNO tahu kes sodomi ini akan hanyut seperti mana isu perternakan babi dan sebagainya. Mereka bukannya mahu kes ini digilang gemilangkan seperti di zaman Tun Dr. Mahathir. Mereka cuma mahu merosakkan perancangan Anwar untuk bertanding pilihanraya kecil dan membawa masuk anggota Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat.

Berdasarkan kepada persepsi semasa, Anwar akan bertanding di salah satu kubu kuat Pakatan Rakyat di kawasan utara tanah air. Jangkaan pengumuman kawasan tersebut sepatutnya dibuat minggu ini tetapi terencat dengan kes sodomi yang tiba-tiba timbul.

Kejayaan pemuda tersebut menyusup masuk ke dalam Parti Keadilan Rakyat tanpa menjadi ahli sewajarnya dihormati. Ini menunjukkan ramai dalang yang sedia wujud di dalam Parti Keadilan Rakyat. Mereka ini diimplankan seolah-olah bom C4 yang bersedia meletup dan merosakkan perancangan parti.

Namun setakat ini para dalang ini tidak mampu menembusi peringkat tertinggi parti. Kebanyakan dari mereka tersangkut di tengah jalan, dan akhirnya terpaksa mengisytihar keluar parti bagi menyelamatkan diri. Ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional, di mana peledak yang dipasang oleh Pakatan Rakyat bukannya peledak sebarangan. Manusia peledak ini memiliki kuasa, pangkat dan pengaruh. Mereka ialah penggubal undang-undang di Parlimen Malaysia.

Strategi Pakatan Rakyat terbukti lebih maju berbanding Barisan Nasional. Ini menyebabkan BN berasa gusar. Mereka sedar mereka tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menghalang kemaraan Pakatan Rakyat.

BN sedar tempoh mereka menguasai tampuk kuasa pemerintahan negara semakin singkat ke penghujungnya. Itulah sebabnya mereka menjadi gila. Khalas.

Situasi politik negara semakin panas dan suhunya semakin membahang. Anwar bakal berdepan dengan liku-liku yang merencat perancangannya. Najib Razak pula selangkah lagi untuk ditabalkan selaku Perdana Menteri Malaysia. Tengku Razaleigh Hamzah pula sedang mengumpul sokongan akar umbi UMNO untuk berhadapan dengan Pak Lah menjelang pemilihan UMNO Disember ini. Pak Lah pula sedang berdepan dengan krisis kehilangan sokongan dari parti komponen Barisan Nasional.

Jangkaan saya amat mudah. Berkemungkinan besar Pakatan Rakyat akan berjaya dalam pergerakan mereka menuju ke Putrajaya, namun selepas itu UMNO bakal memberi tentangan sengit sebaik sahaja hala tuju perjuangannya dipulihkan oleh anak raja dari Kelantan bernama Tengku Razaleigh Hamzah. Menjelang pilihanraya umum ke 13, Pakatan Rakyat bakal mengambil posisi bertahan manakala UMNO di bawah teraju Ku Li akan menyerang balas.

UMNO yang ketika itu bergelar pembangkang akan mengalami proses pembersihan akhlak dan jiwa perjuangan. Kebanyakan anasir - anasir jahat dalam UMNO akan mencuba nasib menyeberang ke dalam Parti Keadilan Rakyat kerana itulah resmi golongan opportunis. Mereka akan menyokong si pemenang.

Persoalannya mampukah parti yang saya dokongi ini, Parti Keadilan Rakyat akan terus kekal menjadi wadah perjuangan rakyat marhaen? Saya mendoakan yang terbaik untuk keADILan dan semoga golongan opportunis itu akan terbenam bersama-sama dengan nafsu serakah mereka mengejar wang dan kuasa. Dengan Izin Tuhan.

Selamat menyambut bulan Julai 2008. Selepas ini adalah waktu mencabar buat kita rakyat Malaysia.

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat






Monday, June 30, 2008

100 Hari Yang Gagal Buat Pak Lah



"Kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat, bukan rakyat yang takut kepada kerajaan." Pesan V dalam filem V For Vendetta.

Situasi politik semasa mutakhir ini amat mengelirukan. Ia berpunca dari kegagalan Abdullah Ahmad Badawi untuk mengotakan janji seperti yang terkandung di dalam manifesto Selamat, Aman dan Makmur.

Kalau kita buka akhbar perdana, saban hari ada sahaja kedengaran kes rogol, pecah rumah, rompakan, pencabulan, masalah disiplin melibatkan pelajar sekolah dan sebagainya. Kita selaku warga tiada pilihan lain selain dari menamatkan punca-punca keruntuhan sosial dan akhlak masyarakat. Semua punca-punca ini jika dihubungkait maka pokok pangkalnya akan ditemui yakni dasar kerajaan yang tidak serius dalam menerapkan nilai - nilai murni ke dalam lubuk sanubari remaja.

Dasar pro hedonisme Barisan Nasional telah menghenyak pemikiran remaja sehingga merosakkan nilai jati diri mereka. Inilah punca utama mengapa keadaan sosial masa kini dilihat sangat meruncing.

Soal keamanan pula dilihat semakin terhakis elemennya di dalam negara kita ini. Kalau dahulu kita boleh bernafas lega sewaktu berjalan-jalan di sekitar kediaman, hari ini ternyata berbeza. Silap hari bulan kita bakal menjadi mangsa ragut oleh manusia yang miskin harta dan miskin moral. Kalau dahulu paip-paip besi tidak dipedulikan, hari ini semuanya tinggal kenangan. Apa sahaja peralatan logam pasti akan disapu bersih oleh pencuri dan penagih dadah.

Ini menandakan keadaan negara kita semakin nazak. Kesan kehaprakan yang dipersembahkan oleh Barisan Nasional selama 50 tahun ini sudah mula menunjukkan kesan negatif yang semakin menghambat rakyat. Dasar pemerintahan yang gagal mengagihkan kekayaan secara adil kepada rakyat telah menyebabkan yang kaya semakin kaya dan si miskin bertambah daif manakala si daif berubah menjadi hina.

Wujudnya kelas bawahan yang ditindas dengan peluang pekerjaan yang semakin menguncup menyebabkan ramai rakyat yang terdesak. Ada yang mengambil jalan mudah dengan melepaskan tekanan melalui pengambilan dadah. Ada yang memilih jalan pintas dengan mencuri barang-barang untuk dijual sebagai besi buruk.

Ada yang terjebak dengan hutang yang amat membebankan. Ada yang terpaksa mengikat perut demi memastikan belanja susu dan lampin anak mencukupi.

Kesimpulannya, rakyat secara umumnya tertekan dengan dasar dan kaedah pentadbiran ekonomi negara kita yang bercelaru dan berterabur.

Kerajaan yang diharap menjadi pelindung kepada rakyat rupanya gagal dalam menangani masalah ekonomi yang kian meruncing. Kerajaan sebaliknya menaikkan harga minyak dan meletakkan beban kenaikan harga tersebut di pundak rakyat. Inikah fungsi sebenar kerajaan? Kalau begitu lebih baik jangan ada kerajaan.

Kita tiada pilihan lain. 100 hari Barisan Nasional memerintah rakyat semakin menderita. Oleh yang demikian bersamalah kita melepaskan geram dan protes kita pada tarikh keramat 6 Julai 2008 di Padang Timur Amcorp Mall. Jumpa anda di sana.

Akhir kata, kini hukumnya adalah wajib untuk UMNO - BN ditongsampahkan dan diganti dengan pimpinan Pakatan Rakyat. Ketumbukan UMNO - BN perlu dilumpuhkan dengan sedaya upaya kita. Reformasi!

Jangan takut untuk turun pada 6 Julai ini. Semarakkan gelombang merah. Tunjukkan kepada kerajaan UMNO - BN yang mereka sepatutnya berasa takut kepada rakyat.


Wednesday, June 25, 2008

Isu Yang Mendesak

Akuan berkanunRaja Petra sewajarnya dipandang serius. Ia melibatkan kes pembunuhan. Ia melibatkan isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Di saat kes ini sudah dijadikan lauk pekasam dan perjalanan kes tidak ubah seperti pelayaran monsun cup -- pi mai pi mai tangtu maka kehadiran Akuan Berkanun Raja Petra ini umpama letusan besar yang mampu meruntuhkan kepercayaan orang ramai terhadap Najib.

Najib Tun Razak seolah-olah sedang terperangkap dengan strategi politik anti Barisan Nasional. Ini yang meluluhkan imej Najib dan Abdullah. Abdullah menafikan beliau ada menerima salinan report dari perisikan tentera tetapi sebelum ini dia juga pernah menafikan pembubaran parlimen dan kenaikan harga minyak.

Episod politik masa hadapan adalah lebih menarik. Sama-sama kita saksikan.

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju

Friday, May 09, 2008

Ketuanan Rakyat III


Berikut adalah petikan ucapan Izham, seorang reformis yang akhirnya keluar dari tahanan di Sungai Buloh setelah dipenjara selama dua tahun kerana didapati bersalah menghina Ketuanan Melayu yang dijaja oleh Hairi Jamaluddin.

"Saudara, saudari yang saya hormati."

"Rejim Abdullah Ahmad Badawi telah tewas dalam pilihanraya umum yang lalu!" Nada tegas Izham telah membuatkan para hadirin tersentak lantas menjerit

"Hidup Rakyat! Hancur UMNO! Hancur BN!"

Izham kembali mengatur bicara. "Ini hakikat yang tidak perlu dinafikan. Anda bayangkan bagaimana ketumbukan lengkap BN meliputi jentera kerajaan, media massa dan wang jutaan ringgit boleh tumbang kepada gagasan rakyat yang hanya berbekalkan wang derma ikhlas yang dikutip semasa ceramah diadakan."

"Kemenangan Pakatan Rakyat di lima buah negeri dan Wilayah Kuala Lumpur telah berjaya menyentak Abdullah dari mimpi indahnya. Rakyat telah menggunakan kuasa undi untuk mengetuk kepala Abdullah agar dia sedar dan tidak mamai lagi." Ujar Izham.

"Di bawah pemerintahan beliau, Abdullah telah mencatat dua buah rekod nasional yang sukar ditandingi oleh mana-mana Perdana Menteri sebelumnya."

"Rekod pertama, Abdullah telah berjaya memperoleh mandat terbesar sepanjang sejarah Barisan Nasional yakni pada Pilihanraya tahun 2004."

"Rekod kedua, di bawah pentadbiran Abdullah juga, BN telah kehilangan 4 buah negeri dan gagal dalam misi menawan Kelantan dari PAS. Ini berlaku 4 tahun selepas beliau selesa dengan mandat 92%."

"Apa yang dapat dibuktikan dalam pilihanraya lalu?" Soal Izham.

"Kuasa Rakyat Kuasa Keramat!" Jerit sekumpulan anak muda.

"Betul." Kata Izham. "Natijahnya rakyat telah berjaya menconteng arang ke muka Pak Lah!" Tegas Izham sambil disambut dengan jeritan "REFORMASI" dari para hadirin.

"Saudara saudari sekalian."

"Setelah kita memberikan pengajaran kepada Abdullah, kita sangkakan beliau akan berubah. Kita jangkakan beliau akan memahami hasrat rakyat yang mahukan satu lonjakan baru dalam pentadbiran negara. Namun segala telahan kita meleset. Abdullah dan rejimnya kekal seperti sebelumnya, masih lagi berkhayal di tampuk kuasa, masih ANGKUH dan SOMBONG kepada kita!"

"Buktinya amat jelas, selepas mimpi ngeri pada 8 Mac 2008, BN telah mula menghukum rakyat di atas keberanian kita untuk berubah."

Secara tiba-tiba BN mahu mewujudkan sebuah lembaga di negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk menerima dana dari kerajaan Persekutuan. Segala wang dari kerajaan Pusat akan terus masuk ke kantung lembaga ini, bukannya melalui kerajaan negeri."

"Ini tidak ADIL!" Jerit Izham. "Hanya kerana perbezaan mazhab politik mereka sanggup menganiaya kerajaan Pakatan Rakyat. Mereka sanggup mewujudkan 'kerajaan dalam kerajaan' sehingga menekan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat."

"BN gagal untuk memahami hak-hak negeri seperti mana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka mempolitikkan peruntukan kewangan yang sememangnya wajib disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri."

"Kerana dendam politik, mereka buta untuk memahami semangat Federalisme! Tindakan gila babi mereka ini menyebabkan kita tiada pilihan lain selain terpaksa membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah naungan Pakatan Rakyat!"

"Dengan izin Tuhan, para Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan bersama-sama dengan kita sedikit masa lagi."

"Hidup Rakyat! Hidup Rakyat! Hancur UMNO! Hancur BN!" Jerit hadirin dengan penuh semangat. Udara sejuk malam itu semakin membahang dengan hujah-hujah Izham.

"Saudara saudari yang saya hormati."

"UMNO berbuih memperkatakan mengenai Permuafakatan Melayu sedangkan apa yang mereka lakukan selama ini ialah menyundal nasib orang Melayu."

"Mari kita imbas kembali, apakah yang terjadi kepada Kelantan selama 18 tahun ini? Wang peruntukan kerajaan negeri telah dinafikan. Pembangunan cuba digagalkan dengan pelbagai sekatan. Siapakah yang menjadi mangsa, orang Cinakah?"

"Namun rakyat Kelantan telah membuktikan yang mereka sememangnya memiliki tahap kesabaran yang sangat tinggi, sehingga kempen Pade Doh 18 tahun pimpinan Khairy Jamaluddin telah ditukar menjadi Pade Doh 50 tahun BN."

" Di Terengganu, apakah yang terjadi apabila PAS berjaya menawan negeri itu pada tahun 1999? Dengan secara tiba-tiba, Tun Dr. Mahathir telah menukar royalti minyak Terengganu kepada Wang Ehsan. Ke manakah wang itu pergi? Dan untuk apa tujuan wang itu dibelanjakan? Apakah rakyat Terengganu mendapat manfaatnya? Atau Patrick Badawi yang membolot duit-duit tersebut demi kepentingan dirinya?"

"Untuk pengetahuan tuan puan, UMNO ini licik. Di saat dia nyawa-nyawa ikan ketika itulah salakan-salakan Ketuanan Melayu kedengaran. Ketika imejnya semakin hancur lebur, UMNO akan menimbulkan isu agar dilihat sebagai wira pembela Kedaulatan Raja-Raja."

"Ramai antara kita yang tidak sedar betapa UMNO telah memijak Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Mereka telah menabalkan seorang Raja di bawah pokok Ketapang. Mereka telah mengecilkan peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu. Mereka juga menjadikan Institusi Raja tidak lebih dari sekadar rubber stamp semata-mata."

"Alih-alih hari ini, mereka mengaku sebagai pelindung Kesultanan Melayu dan menyerang Karpal Singh kerana dikatakan menghina Sultan Perak."

"Isu ini timbul apabila Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin mengambil keputusan untuk memindahkan seorang kakitangan awam kerana enggan berkerja sama dengan kerajaan negeri."

"Sultan Perak, dan Raja Muda Perak adalah cendekiawan dalam bidang undang-undang. Mustahil mereka tidak memahami prinsip pemisahan kuasa di antara Kuasa Eksekutif dan Kuasa Raja. Mustahil Baginda sewenang-wenangnya mencampuri urusan Eksekutif. Persoalannya mengapa isu ini boleh timbul dan diperbesar-besarkan."

"Mari kita imbas kembali apa yang terjadi suatu ketika dahulu. Kes seorang kakitangan Istana Negara bergelar Dato' Pengelola Bijaya Istana yang mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Perhimpunan Bersih pada tahun lepas. Apakah yang dapat dibuktikan di situ? Dato' Pengelola Bijaya Istana adalah orang UMNO cawangan Taman Minang."

"Kita amat risau jika ada kakitangan Istana Perak yang sengaja menimbulkan polemik berkaitan isu ini sehingga ia menimbulkan kekeliruan pihak Istana mengenai hal sebenar. Sudah tentunya kakitangan istana tersebut berkhidmat demi menjaga kepentingan UMNO."

"Apa yang dapat saya simpulkan, setiap kali timbul isu yang sengaja diheboh-hebohkan, akhirnya nanti UMNO sendiri yang rugi. Rakyat telah kenal UMNO sebagai sebuah parti yang gemar memutar belit dan menipu rakyat marhaen. Cakaplah apapun orang tidak akan percaya kepada UMNO, sebuah parti yang telah menyeleweng amanah rakyat!"

"Lihat sahaja isu terbaru di Selangor. Dalam tempoh 58 hari Pakatan Rakyat memerintah, sudah timbul perasaan busuk hati UMNO apabila mendakwa Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji seperti yang terkandung dalam manifesto pilihanraya umum lalu."

"Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid tidak pula berkata kerajaan negeri akan memansuhkan janji yang terdapat pada pilihanraya. Apa yang ditekankan oleh beliau ialah janji itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka waktu yang singkat."

"Apakah UMNO begitu bodoh sehingga mahu melihat semua janji ditunaikan dalam tempoh 60 hari? Bukankah Pakatan Rakyat masih memiliki 4 tahun untuk melunaskan janjinya?"

"Baiklah, saya ingin bertanya kepada Khir Toyo, bagaimana pula dengan manifesto Selamat Aman dan Makmur yang dijaja oleh Barisan Nasional? Apakah perubahan drastik yang telah dilaksanakan oleh Abdullah Ahmad Badawi?"

"Pendatang asing tanpa izin yang tidak memiliki apa-apa dokumen masih lagi dilihat berlenggang di serata pelosok negara kita. Orang awam masih risaukan keselamatan diri mereka. Kes rogol, bunuh, keruntuhan akhlak masih lagi memburu masyarakat kita. Konsert - konsert hiburan yang melalaikan masih lagi dibiarkan tanpa sekatan. Penjenayah yang membunuh adik Sharlinie masih menjadi tanda tanya. Dan Polis pula sibuk untuk menahan pejuang rakyat YM Raja Petra Kamaruddin sedangkan masih banyak lagi kes jenayah yang belum diselesaikan."

"Ekonomi semakin mendesak. Rakyat diajak untuk mengubah gaya hidup di saat Khairy Jamaluddin mampu memiliki sebuah helikopter. Sekali lagi saya bertanya, 60 HARI SUDAH BERLALU TETAPI DI MANA IMPAK PERLAKSANAAN MANIFESTO SELAMAT, AMAN DAN MAKMUR?? DI MANA??"

"BN PENIPU!!!" Jeritan rakyat menggambarkan perasaan marah mereka terhadap BN yang gemar memperbodohkan rakyat Malaysia.

"Ketahuilah, UMNO tidak boleh memerintah Malaysia tanpa sokongan dan dokongan parti-parti komponen BN. Ironinya jika kita lihat pada hari ini, mereka masih leka menjaja racun yang sudah terbukti berjaya membunuh kekebalan BN iaitu Ketuanan Umnoputera."

"Selepas ini, padah kelalaian UMNO itu bakal menjerat Barisan Nasional. Tumbangnya MCA dan MIC dalam pilihanraya umum lalu adalah bukti jelas saat karamnya tongkang Barisan Nasional semakin hampir."

"Mulai malam ini, marilah kita bersama-sama menyeru kepada rakan taulan kita yang berada di dalam tongkang itu supaya bersiap sedia menyelamatkan diri dari lemas dihanyut arus kemusnahan -- tenggelamnya Barisan Nasional." Izham mengakhiri ucapannya dengan laungan keramat REFORMASI sebanyak 3 kali.





Tuesday, April 22, 2008

Rebahnya Ketuanan Melayu UMNO II


22 April 2008
Penulis Tamu Laman Marhaen
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju
Artikel Ini Dipetik Dari www.marhaen.blogspot.com

Sentimen politik UMNO mutakhir ini semakin memihak kepada Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita meneliti senarai kabinet dapur Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam jemaah menteri beliau, buat pertama kalinya kita melihat begitu ramai Senator dan ADUN terpaksa dikitar semula, petanda Abdullah tidak mempunyai ramai askar untuk berdepan ketumbukan Najib.

Anak menantu Abdullah dan para penasihat Tingkat 4 mungkin sedang merancang sesuatu untuk mengekang pengaruh Najib. Siapa tahu mereka memiliki dokumen-dokumen sulit berkaitan Timbalan Perdana Menteri itu? Siapa tahu kalau mereka turut mempunyai segala transaksi kewangan yang berkait rapat dengan Timbalan Presiden UMNO itu?

Persaingan di antara dua orang pemimpin ini tidak dapat dielakkan. Sama ada Abdullah atau Najib yang kekal di persada kuasa. Rebahnya Abdullah bermakna Dr. Mahathir akan muncul semula di arena mainstream politik negara. Rebahnya Najib bermakna Khairy dan Kamal bakal tersenyum lebar.

Di saat rakyat sedang ternanti-nanti janji Abdullah untuk melaksanakan segala manifesto yang terkandung di dalam kerangka Selamat, Aman dan Makmur, beliau dilihat masih lagi sibuk menyusun percaturan untuk memastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO kekal.

Namun demikian, jika ditinjau dari prestasi buruk UMNO yang kehilangan 32 kerusi Parlimen dan tewas di lima buah negeri, kita dapati bahawa jalan keluar semakin terbuka luas untuk Abdullah dan kemnya.

Perang Dingin Abdullah dan Najib telah merebak sehingga ke peringkat akar umbi UMNO. Sudah ada suara-suara mendesak Abdullah merencana dan mempercepatkan 'pelan pengunduran' seterusnya menyerahkan tampuk kuasa kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.

Keadaan politik semasa negara ketika ini masih kabur. Terlalu banyak spekulasi yang terpaksa ditelah dan diteliti sebelum kita menghasilkan persepsi. Apa yang pasti, UMNO bakal berdepan dengan perpecahan teruk selepas ini.

Tidak kira sekuat mana pun UMNO, ia telah menjadi semakin lemah akibat mengalami banyak perpecahan besar.

Pasca merdeka, UMNO telah berpecah sebanyak 2 kali. Bermula pada tahun 1988 ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad berkrisis dengan Tengku Razaleigh Hamzah, seterusnya tahun 1998 ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Tahun 2008, mungkin adalah kali ketiga dan terakhir UMNO dilanda krisis. Selepas ini UMNO akan meledak dengan sendirinya, petanda berakhirnya era Ketuanan Melayu tajaan parti keris itu.

Apabila UMNO runtuh, orang Melayu akan memilih wadah baru yang lebih jujur untuk menegakkan perjuangan agama dan bangsa. Mereka akan berpindah secara beramai-ramai ke organisasi yang kukuh seperti Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (keADILan) untuk meneruskan agenda pembelaan orang Melayu di negara ini.

Perpecahan pada tahun 1988 berbeza dengan perpecahan tahun 2008. Strukur UMNO 1988 berada dalam keadaan kuat dan stabil sehingga ia mampu memulihkan dirinya sendiri (biarpun Kelantan terlepas ke tangan PAS dan Semangat 46). Malangnya perpecahan tahun 2008 berlaku ketika UMNO sedang berada di kedudukan paling lemah sepanjang sejarah 62 tahun penubuhannya.

Kini UMNO terpaksa berperanan sebagai pembangkang di lima buah negeri, satu keadaan yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Masanya sudah tiba untuk kita menyaksikan UMNO mereput dan pupus dari skrin radar politik negara. Selamat Tinggal Politik Perkauman!


Hari Yang Indah Di Ampang


Pada pertengahan Disember lepas, saya sempat menghadiri majlis perasmian Masjid Cahaya Iman di Rawang Selangor. Tuanku Sultan Selangor telah berkenan menghadiri majlis ini.

Ketika itu, wajah pemimpin-pemimpin UMNO memenuhi majlis tersebut. Dato' Seri Khir Toyo, Dr. Rahman dan sebagainya (maaf saya tidak mengenali tokoh UMNO kerana tiada kepentingan kontrak).

Tuanku Sultan langsung tidak bercakap dengan Dr. Khir Toyo sepanjang majlis berlangsung walaupun Tuanku dan Khir duduk bersebelahan.

4 Bulan Kemudian

18 April 2008: Majlis Perasmian Masjid Bukit Indah di Ampang berlangsung dengan meriah. Menteri Besar baru Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim tersenyum sepanjang majlis. YB Azmin berpakaian baju Melayu berwarna Ungu. Turut duduk semeja adalah Dr. Dzulkifly Ahmad Ahli Parlimen Kuala Selangor dari PAS. Ahli Parlimen Ampang dari Parti Keadilan Rakyat, Puan Zuraida bertudung putih. Mata beliau sedikit sembab.

Suasana kali ini berbeza. Baru 4 bulan berlalu segala watak telah berubah. Wajah Khir Toyo, Rahman Ismail dan YB UMNO tiada lagi di meja utama.

Selesai Tuanku Sultan bertitah, Baginda dilihat bersembang seketika dengan Dato' Menteri Besar. Terserlah keakraban di antara Tuanku dan Tan Sri Khalid.

Apabila masuk ke dalam dewan solat untuk menunaikan Solat Jumaat, saya terlihat kelibat Dato' Hasan Ali. Turut berada di sana ialah bekas Tahanan ISA yang kini merupakan ADUN Hulu Kelang, saudara Saari Sungib @ Abu Urwah.

Saya sempat candid foto beliau ketika sedang mendengar khutbah. Sebenarnya saya sedang menunggu kalau-kalau ada YB Pakatan Rakyat yang tertidur ketika khatib berkhutbah. Mujurlah tiada.

Di zaman awal keterlibatan saya di dalam dunia blogging, penulisan Saari Sungib di Malaysia Today menjadi keutamaan saya ketika melayari internet. Siri-siri pengalaman ISA beliau telah berjaya memupuk kesedaran kepada warga negara untuk menentang akta zalim ini.

Penutup

Cepat betul masa berlalu. Benarlah kata pepatah, hidup ini seperti roda, kadang-kadang di bawah, kadang-kadang di atas. Semoga ahli Parlimen Pakatan Rakyat menjadikan kata-kata ini sebagai peringatan dan renungan.

22 April 2008
Penulis Tamu

Tentang Penulis Tamu: Ketika menceburi dunia blogging, penulis menggunakan nama pena Youth Sighyoung di laman blog 'dead' www.streetreformist.blogspot.com sebelum mengubah nama kepada Tinta Tun Adil. Akhirnya, penulis sekadar menggunakan nama Penulis Tamu dan menulis secara sukarela di Laman Marhaen.

Penulis juga merupakan penulis sambilan di Suara Keadilan. Terlibat menyokong kempen bermotor anak muda bersama PAS di Perak pada pilihanraya umum 2004. Tahun 2004, rata-rata anak muda Perak berusia di antara 19 - 21 tahun merupakan kumpulan pemuda yang kuat menyokong PAS tetapi tidak layak mengundi.

Penulis menyertai Parti Keadilan Rakyat tetapi tidak aktif kerana kesuntukan masa.


Sunday, April 20, 2008

Rebahnya Ketuanan UMNO


Pilihanraya Umum ke-12 telah membuktikan majoriti pengundi menolak fahaman perkauman dan memangkah calon-calon yang mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia.


Jikalau tidak kerana bas-bas pengundi hantu masuk ke Terengganu dan rakyat Filipina pemilik 'kad pengenalan projek' di Sabah maka sudah pasti Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan baru menggantikan Barisan Nasional yang telah berkuasa selama setengah abad.


Perkembangan politik pasca pilihanraya ini menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi tersentak dari mimpinya. Dalam keadaan jaga, beliau mendapati hulubalang - hulubalang UMNO sedang berpencak silat mempertahankan Agenda Ketuanan Melayu.


Para pahlawan 'hok-hek' UMNO telah mula mengeluarkan keris dan menjerit Ketuanan Melayu sehingga berbuih-buih mulut mereka. Salakan-salakan ganas memprotes projek ternakan babi di Selangor menjadi titik tolak kepada UMNO yang kini sedang belajar 'cara - cara menjadi pembangkang dalam persidangan DUN'.


Apakah UMNO telah mabuk kerana kehilangan kuasa sehingga mereka tergamak melukis gambar 3 ekor babi yang dilabelkan sebagai PAS, PKR dan DAP? Apakah UMNO tidak sedar bahawasanya Tuanku Sultan sendiri yang telah memperkenankan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat yang dibarisi PAS, PKR dan DAP?


Ahli - ahli UMNO barangkali tidak sedar calon-calon UMNO bertanding atas tiket Barisan Nasional. Turut sama bertanding menggunakan logo dacing ialah calon MCA, kaum Cina yang sinonim dengan hidangan Bak Kut Teh.


Atas dasar muafakat politik, MCA dan UMNO bersekongkol menggonggong kuasa pemerintahan negara. Tidakkah UMNO berfikir apakah perasaan MCA ketika isu babi diputarbelitkan?


Rupa-rupanya, MCA dan Gerakan ini hanya berguna ketika mereka menang besar tetapi apabila mereka di'pancung' beramai - ramai dan kalah teruk maka kewujudan mereka tidak lagi dipandang oleh UMNO. Sensitiviti kaum Cina MCA telah ditolak tepi kerana mereka dianggap liabiliti kepada Barisan Nasional.


UMNO Tidak Relevan


Perjuangan kebangsaan UMNO sudah tidak laku di pasaran politik negara. Rakyat pada umumnya telah jelak dan muak dengan sistem politik berasaskan nasionalisme kerana ianya tidak akan membawa apa-apa erti kepada warga negara.


Di dalam falsampah UMNO, kaum Cina dan India diletakkan sebagai warga kelas kedua. Sedangkan umum mengetahui kaum Cina telah menyumbangkan lebih 90% cukai kepada negara ini.


Di dalam falsampah UMNO juga, maruah Ketuanan Melayu telah tergadai. Buktinya tulisan Jawi yang berperanan sebagai medium penyampaian ilmu dan pencerahan minda kini telah bungkus dan dibakulsampahkan. Walaupun terdapat usaha memperkasa tulisan Jawi melalui program J-Qaf, tetapi ianya tidak lebih dari sekadar kosmetik kononnya kerajaan masih lagi memperjuangkan tulisan Jawi.


Tulisan Jawi adalah sebahagian dari jati diri orang Melayu. Pemansuhan tulisan Jawi ini adalah bukti sahih UMNO tidak memperjuangkan kaum Melayu dan agama Islam. Sehingga ke hari ini ramai umat Melayu telah gagal untuk membaca Al-Quran dengan nahu yang betul akibat mereka ini buta huruf Arab.


Strategi pecah dan perintah UMNO telah meminggirkan kaum Melayu. Di saat Hishammuddin Hussein menghunus keris, kaum Melayu Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kedah terus terpinggir dari arus pembangunan. UMNO yang dianggap payung tempat orang Melayu bernaung telah berubah menjadi sarang tempat pemimpin berebut pengaruh kuasa dan wang ringgit.


Di mana Dasar Ekonomi Baru di saat rata-rata orang Melayu masih lagi hidup susah? Mengapa pemimpin - pemimpin UMNO semakin kaya raya, tinggal di rumah mewah ketika mana orang kampung masih ada lagi yang tinggal di pondok buruk?


Sabah Dan Sarawak Wajar Menyertai Pakatan Rakyat


UMNO melaung-laungkan hak istimewa Bumiputera tetapi lihatlah apa yang terjadi di Sabah dan Sarawak. Penduduk terus hidup daif walaupun saban hari hasil bumi mereka dijarah.


Kerajaan Persekutuan Malaysia telah melayan penduduk Sabah dan Sarawak seperti penjajah melayan negeri yang ditawannya. Rakyat di Kepulauan Borneo kini mempunyai dua pilihan. Sama ada mereka membiarkan BN menghakis hak istimewa penduduk peribumi ataupun menyokong perjuangan Pakatan Rakyat yang nekad mahu menjamin masa hadapan mereka.


Atas pertimbangan ini, masanya telah tiba untuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyeberang ke Pakatan Rakyat dan menyertai perjuangan menegakkan ketuanan Rakyat Malaysia.


Masa Untuk Perubahan


Selamat Tinggal UMNO. Selamat Tinggal BN. Mandat 50 tahun yang diberikan telah tamat tempohnya. Janganlah berpura-pura menyesal dan berkata 'perjuangan belum selesai'. Rakyat telah banyak bersabar dengan karenah anda selama ini.


Kini tibalah giliran Pakatan Rakyat pula memerintah Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lima Puluh Tahun gelita akan digantikan dengan gemerlap cahaya fajar baru.


Pelita - pelita pencerahan politik akan dinyalakan sebagai tanda bermulanya era reformasi pentadbiran negara.


Bersama-samalah kita menyokong perjuangan Pakatan Rakyat. Hapuskan kemiskinan. Hapuskan rasuah. Hapuskan ketidakadilan. Hapuskan prasangka perkauman. Hidup Rakyat Malaysia! Hidup Pakatan Rakyat!


Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju


Post Mortem PRU:- Terima Kasih UMNO-BN

Kuala Lumpur, 17 April: Dalam kemeriahan meraikan kemenangan besar pada pilihanraya umum lalu, Pakatan Rakyat wajar berterima kasih kepada Barisan Nasional kerana telah menghadiahkan peluru - peluru percuma kepada mereka.

Jika dikaji semula, kita dapati antara faktor - faktor yang menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia adalah:-

Pertama, BN terlalu menumpukan perhatian kepada Kelantan tanpa menyedari jentera mereka goyah di negeri - negeri lain. Ini memudahkan Pakatan Rakyat menggempur Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berkaitan, asakan bertali arus UMNO menyebabkan rakyat luar Kelantan berbondong-bondong pulang mengundi demi mempertahankan kerajaan bebas rasuah yang diterajui Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kedua, kegopohan BN melancarkan kempen keterlaluan telah menerbitkan rasa simpati pengundi kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya pada 8 Mac 2008, pengundi menterjemahkan perasaan meluat mereka terhadap BN dengan mengundi PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Ketiga, menjelang hari mengundi pihak SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal pada kuku pengundi. Pakatan Rakyat berjaya memanipulasi isu ini sehingga rakyat percaya bahawa BN ingin bermain kotor untuk menang besar dalam pilihanraya. Akhirnya ramai pengundi yang berasa tercabar dengan helah SPR lalu bertindak memangkah calon Pakatan Rakyat.

Keempat, gambar - gambar Abdullah sedang tidur telah menyebabkan rakyat tidak yakin pemimpin ini mampu membawa Malaysia ke hadapan. Janji Abdullah untuk membanteras rasuah telah bertukar menjadi omongan kosong apabila kebanyakan kes-kes rasuah mega tidak dibicarakan di mahkamah. Rakyat terpinga-pinga setelah mendapati zaman pemerintahan Abdullah sama sahaja, bahkan lebih teruk dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kelima, Abdullah yang dikenali dengan jolokan Mr. Clean tidak dapat mengekalkan imej bersihnya ketika menjawat jawatan Perdana Menteri. Ini diterjemahkan menerusi laporan - laporan yang mengaitkan anaknya Kamaluddin mendapat kontrak dari Petronas, di samping menantunya Khairy yang tiba-tiba naik ke persada kuasa.

Keenam, aksi-aksi nakal Abdullah yang tersebar luas di Internet. Sekalipun sesetengah orang menyifatkan isu ini kecil, hakikatnya rakyat tidak boleh menerima pelopor Islam Hadhari yang berpoya-poya. Sikap cakap tak serupa bikin Abdullah telah memberikan peluru percuma kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang BN.

Ketujuh, percaturan politik UMNO yang gagal. Ramai pemimpin berpengaruh peringkat bahagian UMNO telah disingkirkan dari bertanding dan digantikan dengan muka-muka baru. Memandangkan politik UMNO lebih menjurus kepada politik berpuak, maka sudah pasti wujudnya kem-kem tertentu yang tidak berpuas hati apabila nama pemimpin mereka tidak disenaraikan, seterusnya bertindak mensabotaj jentera kempen Barisan Nasional.

Terdapat kes di mana bilik gerakan UMNO ditutup dan bendera UMNO diturunkan sebagai tanda protes ke atas pemilihan calon UMNO yang tidak disokong ahli di peringkat akar umbi.

Kelapan, manifesto Barisan Nasional hanya mengundang rasa geli hati dan bahan lawak rakyat. Slogan Selamat, Aman dan Makmur telah terbukti gagal untuk menyaingi manifesto PAS Negara Berkebajikan dan Harapan Baru Untuk Malaysia, manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika difikirkan semula, slogan BN merupakan jaminan asasi yang wajib ada pada sesebuah negara berdaulat (tidak perlu dipolitik dan dijadikan manifesto). Amat malang jika BN terpaksa menjanjikan keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyat seolah-olah selama ini negara kita berada dalam keadaan huru hara.

Kesembilan, politik perkauman yang diamalkan BN didapati gagal meraih sokongan pengundi. Tindakan BN ke atas penyokong Hindraf memberi kesan yang amat dalam terhadap kaum India, sehinggakan mereka menjadikan pilihanraya lalu sebagai tarikh keramat untuk menguburkan Samy Vellu bersama-sama dengan parti MIC.

MCA dan Gerakan yang dilihat sebagai pak turut kepada UMNO turut dihukum kaum Cina yang bertindak nekad menghumban mereka ke dalam bakul sampah sejarah.

Orang Melayu juga bangkit dari lena yang panjang apabila mereka telah menolak agenda Ketuanan Melayu yang dicanang oleh UMNO. Perubahan ini membuktikan orang Melayu telah sedar selama ini nasib mereka tidak terbela di bawah panji parti keris telanjang itu.

Pada mereka, wadah perjuangan Melayu tidak akan karam sekalipun UMNO ranap dan lenyap dari politik nasional. Mereka yakin parti lain seperti PAS dan keADILan mampu menggalas dan menjamin masa hadapan orang Melayu.

Kesepuluh, keengganan BN untuk menyelesaikan isu-isu ekonomi seperti kenaikan harga barang, harga minyak mentah dan kos sara hidup yang tinggi telah menyebabkan rakyat cenderung untuk melakukan protes senyap ke atas kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Telah lebih sebulan pilihanraya berlalu tetapi UMNO masih lagi menjual dondang sayang Agenda Ketuanan Melayu. Lagu basi Melayu Bersatu diputar semula kononnya bagi memastikan kuasa politik Melayu tidak terhakis. Cukup-cukuplah UMNO, rakyat sudah muak dengan kamu.

Yang nyata, rebahnya UMNO dan Barisan Nasional telah memberikan ruang kepada rakyat untuk membina sebuah harapan baru bersama-sama Pakatan Rakyat.

Friday, February 22, 2008

Pak Him -- Lagenda Raja Lompat


Pada pilihanraya umum tahun 2004, dipercayai sebuah 'Grand Design' telah dirupa bentuk bagi menumbangkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kelantan. Grand Design ini hampir menjadi kenyataan tetapi takdir Allah telah menyelamatkan PAS dari tersembam dan terperosok dari persada kuasa.

Apakah yang terjadi di Kelantan pada waktu itu? Seorang lelaki yang digelar raja lompat, Dato' Ibrahim Ali atau Pak Him telah membuat satu lompatan berimpak tinggi yang mana lompatan ini telah menyebabkan hati Annuar Musa menjadi sebu dan lidah Mustapha Mohamad berubah kelu.

Pada waktu itu Pak Him telah berjaya memecahkan undi orang UMNO di Pasir Mas sekaligus menghancurkan harapan gedebe - gedebe Melayu yang kempunan untuk memacak bendera Keris di atas kerusi empuk Menteri Besar.

Mengimbau kembali kenangan tersebut, undi yang memihak kepada calon Bebas yakni Pak Him telah berjaya mengurangkan jumlah undi yang sepatutnya diraih calon UMNO sekaligus memberi laluan kepada PAS untuk mencatatkan kemenangan di DUN dan Parlimen Pasir Mas.

Siapa sangka Grand Design menawan Kelantan pada pilihanraya lalu telah dimusnahkan oleh bekas pemimpinnya sendiri? Jika tidak kerana tindakan nekad Pak Him maka sudah pasti sekarang ini Kelantan akan berubah wajah menjadi sebuah negeri yang 'hadari' setanding Terengganu Darul Iman.

Ketika saya sedang memuat naik posting ini di blog m@rhaen, ramai yang masih tertanya - tanya mengapa PAS Kelantan sanggup memberikan laluan kepada Pak Him untuk bertanding di Pasir Mas.

Namun bagi saya, hanya mereka yang fasih dengan politik Kelantan sahaja yang mampu memahami rasional PAS meletakkan Pak Him di situ.



Penulis Tamu


Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju







Thursday, February 21, 2008

Boikot Media Perdana



Nampak gayanya RTM dan TV3 telah memulakan perang saraf mereka dengan pelbagai isu - isu yang sengaja diperbesar - besarkan bertujuan untuk mengelirukan rakyat marhaen.

Dakwah yang sama diulang tayang setiap kali tiba musim pilihanraya. Hanya BN sahaja yang mampu mentadbir negara. Hanya BN sahaja mampu mengurus ekonomi negara ini dengan baik. Hanya BN sahaja yang mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian antara penduduk berbilang bangsa. Hanya BN yang mampu itu dan ini dan seterusnya.

Ucapan mendabik dada dan membakulsampahkan pembangkang adalah makanan ruji pemimpin UMNO - BN. Tidak dapat tidak, kes - kes putar belit dan mengelirukan rakyat karya BN ini adalah salah satu usaha mereka untuk melindungi kegiatan songsang pemimpin - pemimpin mereka, yakni:-

1. Merompak wang rakyat atas nama Umnoputera

2. Menyalahguna kuasa, contoh yang maha nyata adalah penggunaan RTM yang menjadi agen propaganda Barisan Nasional walaupun operasi cencorong ini dibiayai oleh Rakyat Malaysia yang mewakili semua warga tidak kira sama ada mereka ini ahli BN, PAS, Parti Keadilan Rakyat, DAP mahupun mereka yang tidak berpihak.

3. Menekan hak untuk rakyat hidup dalam suasana yang lebih demokratik, dan menyekat kebebasan rakyat yang mahu berhimpun secara aman walaupun ianya dijamin oleh Perlembagaan. Buktinya tanyalah sendiri kepada abang - abang dan juga kakak - kakak FRU yang membalun rakyat sendiri tanpa belas ihsan -- atas arahan Barisan Nasional.

Saya yakin ramai abang - abang Polis yang tidak mempunyai pilihan kerana mereka hanyalah mengikut arahan orang atasan sahaja.

4. Merosakkan keyakinan orang awam terhadap Suruhanjaya Pilihanraya yang fungsinya kini ialah untuk memenangkan Barisan Nasional.


Jadi tolong tutup tv anda dari mengikuti Buletin Utama maupun Berita RTM. Mesej ini ringkas bukan?

Anda tidak perlu membuang masa mengikuti berita - berita media perdana ketika musim pilihanraya sedang menggila. Ini kerana BN dengan sedaya upaya sedang mencuba untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari mempersoalkan ketempangan dasar - dasar pentadbiran mereka yang terang - terangan Menganiaya Rakyat!

Disebabkan itulah sehingga kini pemimpin UMNO sangat takut untuk berdebat dengan pemimpin Barisan Rakyat walaupun telah berkali - kali mereka dicabar.

Mereka takut untuk disoal mengenai

1. Keengganan menurunkan harga minyak walaupun keuntungan Petronas meningkat berbilion ringgit ketika harga minyak dunia naik.

2. Memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dan menghapus kira hutang PTPTN untuk digantikan dengan biasiswa bagi pelajar yang layak.

3. Kadar tol yang dijangka akan naik lagi selepas Pilihanraya. Rakyat semakin miskin tetapi pengusaha tol pula semakin kaya.

4. Kadar jenayah yang semakin meningkat di saat Islam Hadhari dijadikan cahaya pedoman -- penyuluh kepada dasar - dasar kerajaan.

5. Mutu pendidikan yang semakin merudum sehingga disiplin budak - budak sekolah semakin teruk dari hari ke hari. Baru - baru ini di Terengganu beberapa orang gadis pelajar perempuan Melayu telah membelasah seorang wanita.


Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju

Sunday, February 17, 2008

Seruan Buat Penjawat Awam


Wangsa Maju, 16 Feb: Kakitangan awam boleh menggunakan PRU kali ini untuk memprotes keengganan Abdullah Ahmad Badawi membenarkan bayaran sagu hati sebanyak RM 2000 seperti yang dituntut Cuepacs.

Wang elaun RM 2000 itu sangat penting bagi menampung kos kehidupan yang bakal meningkat apabila harga petrol dijangka naik selepas BN memperoleh mandat baru pada 8 Mac ini.

Oleh itu seruan buat penjawat awam, marilah kita bersama memberikan signal yang jelas kepada Abdullah Ahmad Badawi -- "Jangan Perlekeh Kewujudan Kami!."

Undi untuk perubahan. Undi untuk maruah kita sebagai penjawat awam. Hanya pemimpin bermaruah sahaja yang layak menjadi bos kita.
Kerajaan Malaysia memiliki sebuah kabinet yang terdiri dari jemaah menteri. Kabinet ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri.

Para menteri yang menganggotai kabinet bertanggungjawab terhadap pelbagai pihak, antaranya ialah:-

Rakyat (Shareholders)
Rakyat ialah pembayar cukai. Oleh yang demikian negara ini adalah hak milik rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama atau bangsa.

Sekiranya rakyat selaku pemegang saham tidak berpuas hati dengan ketempangan dasar - dasar pro rasuah Barisan Nasional, mereka boleh membakulsampahkan UMNO - BN dan memilih sebuah kerajaan yang lebih baik dan telus.

Undi adalah kuasa rakyat. Undilah untuk perubahan.

Kakitangan Kerajaan (Stakeholders)Selaku pelaksana dasar kerajaan, mereka lebih celik dalam rencah dan ragam Barisan Nasional. Sudah menjadi perkara biasa apabila surat - surat dan faks dari UMNO bersepah - sepah di premis kerajaan.

Lazimnya, UMNO gemar memperkuda kakitangan awam untuk meramaikan majlis - majlis pemimpin bersama rakyat. Najib Razak tidak perlu berlagak poyo dan berdegar - degar syok sendiri ketika berucap kerana kakitangan kerajaan di hadapannya itu dipaksa hadir untuk mendengar ucapannya yang penuh dengan kepura - puraan itu.

Tidak seperti kakitangan swasta, para penjawat awam dikehendaki menghadiri sebuah kursus tenaga batin bertempat di Kem Biro Tatanegara. Mereka diperbodohkan secara fizikal kononnya kerajaan BN gah lagi hadari berbanding negara maju lain. Ini dakyah penipu.

Kakitangan awam merupakan golongan paling dekat dengan para pentadbir UMNO - BN. Ini kerana merekalah yang menyediakan Local Order dan baucar pembayaran kepada kroni - kroni.

Dengan kata lain, mereka mempunyai akses untuk mendedahkan segala transaksi kewangan yang meragukan, seperti contoh -- pembayaran kepada pembekal peralatan Kem PLKN (Projek Lahap Kroni Najib).

Kalau mereka tidak berpuas hati dengan kaedah pentadbiran Barisan Nasional, PRU ke 12 ini adalah medan terbaik untuk memilih calon - calon yang bersih, bermoral dan bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Apabila Pak Lah dan konco - konconya membelot amanah negara, kakitangan awam pun akan turut terpalit sama. Marilah kita bersama - sama mengundi untuk perubahan.

"M@rhaen: Sumber Maklumat Alternatif Pilihan Raya Umum Ke-12"

"Bersekutu Bertambah Mutu"

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju






Monday, February 11, 2008

Negara Kebajikan



Para pemuka dan ahli - ahli totok Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) telah mentertawakan Negara Kebajikan anjuran Parti Islam Semalaysia (PAS). Salah seorang tokoh Pekembar, Dato' Shahrizat Jalil menyatakan pendekatan Negara Kebajikan itu adalah lapuk dan ketinggalan zaman.

Shahrizat ini memiliki kuasa yang besar di dalam kabinet kerajaan Persekutuan Malaysia. Umum mengetahui Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah di bawah kendaliannya, namun apa yang menyedihkan ialah nilai peruntukan bantuan yang diberikan JKM kepada rakyat miskin dan warga kurang upaya.

Berdasarkan kepada pengetahuan am dan laporan - laporan yang disiarkan di media cetak dan elektronik, kebanyakan warga menerima bantuan JKM sekitar RM 100 - RM 400 bagi seisi keluarga. Nilai ini sudah tentu tidak mampu untuk menampung keperluan mereka yang tidak berkeupayaan. Kesudahannya, sehingga ke hari ini kita masih lagi bertemu dengan makcik - makcik yang menjaja tisu di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Wujudnya makcik - makcik ini adalah dakyah sahih untuk membuktikan yang Shahrizat ini sememangnya kurang peka dengan kebajikan rakyat marhaen, sehingga timbulnya pepatah 'gelang dan rantai emas Shahrizat dibeli dengan rintihan air mata rakyat'.

Dalam pembentukan Negara Kebajikan anjuran PAS ini, orang kurang upaya akan diberi jaminan untuk hidup dan bernafas selesa di bumi bertuah ini. Bantuan secukupnya akan disalurkan agar mereka tidak dihimpit kedaifan. Ianya berbeza dengan lagak angkuh Barisan Nasional yang seolah - olah menganggap orang kurang upaya ini sebagai liabiliti atau beban negara. Sebagai bukti, lihatlah bagaimana warga cacat yang masih terpaksa bersusah payah untuk menaiki bas - bas awam di sekitar ibu negara. Di manakah kepedulian kerajaan dalam memastikan keselesaan warga OKU terjamin?

Jika kita di Barisan Rakyat diberi mandat memerintah, dengan izin Tuhan kita akan terus komited mempertahankan hak dan nasib mereka selaku warga negara di Malaysia ini.

Dalam isu berkaitan, seorang anggota Barisan Nasional telah memperlekeh Negara Kebajikan dengan hujah seperti berikut:-

"Di bawah kerajaan Barisan Nasional, kita telah membina jalan raya, sistem rel keretapi, jaringan pengangkutan awam seperti bas RapidKL dan sebagainya. Inilah contoh polisi negara kebajikan yang telah kami sediakan. Jadi apakah yang PAS mahu lakukan lagi?"

Hujah sedemikian sebenarnya tidak lengkap dan dangkal. Benar, Barisan Nasional telah membina lebuh raya. Akan tetapi lebuh raya ini dibina bersama - sama dengan pondok tol. Parti Keadilan Rakyat (keADILan) telah mendedahkan dokumen perjanjian konsesi selama 30 tahun yang mana ia terang - terang berat sebelah dan merugikan kerajaan Persekutuan.

Tanpa sebuah sistem pengiraan yang meyakinkan, harga tol telah ditetapkan awal - awal bagi memastikan syarikat konsesi untung besar. Akhirnya, wang rakyat terpaksa dibazirkan bagi menguntungkan kroni.

Negara Kebajikan Menurunkan Harga Minyak

Sehingga ke hari ini, kita masih belum mendengar usaha - usaha Barisan Nasional untuk mengekang kenaikan harga minyak per barrel.

Hanya negara yang zalim sahaja yang menaikkan harga minyak. Ketika ini BN menggunakan pelbagai helah dan alasan antaranya bagi mengelakkan penyeludupan minyak ke negara jiran. Ini bukanlah isu sebenarnya. Bukankah kita memiliki barisan ketumbukan tentera yang kuat untuk menjaga sempadan negara? Apa yang perlu dibimbangkan sekarang ialah kesan domino akibat kenaikan harga minyak.

Apabila harga minyak dinaikkan, ia tidak akan berhenti setakat itu. Tambang bas, keretapi, kapal terbang, teksi dan feri akan naik. Kos pengangkutan dan elektrik juga akan turut naik. Ini menyebabkan kos barangan meningkat dan sekaligus ia membebankan pengguna.

Bagaimana kita mampu memajukan negara di saat kuasa beli rakyat semakin menurun?

Bagi mereka yang bergaji kecil, sudah pasti kenaikan harga minyak akan menekan kemampuan mereka untuk hidup selesa. Sudah pasti selepas ini semakin ramai rakyat yang tergolong di dalam kelompok miskin seandainya harga minyak dibiarkan terus mencanak naik.

Negara Kebajikan Adalah Agenda Bersama Barisan Rakyat

"Bagaimana PAS mahu melaksanakan Negara Kebajikan jika mereka hanya bertanding 60 Parlimen?" Kata seorang penyokong UMNO.

Untuk pengetahuan para Umnoputera, PAS tidak keseorangan dalam menggenggam dasar pro - rakyat ini. Pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat di dalam Barisan Rakyat telah mewujudkan satu manifesto bersama -- yang mana keADILan juga turut terlibat dalam memperkasakan sebuah agenda pembentukan Negara Kebajikan.

Tidak dikecualikan peranan DAP yang juga tidak mempunyai masalah untuk bersetuju dengan agenda Negara Kebajikan. Apa yang penting ialah PAS selaku pelopor barisan pembangkang telah menyuarakan sesuatu yang sememangnya perlu diberi perhatian khusus. Ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat semakin ramai kelompok rakyat kelas bawahan yang terperosok ke dalam lembah kemiskinan. Mereka semua terpaksa hidup ala kadar di saat pemimpin terus rakus menambah kekayaan sehingga mencapai nilai ratusan juta ringgit. Bukankah ini satu bentuk kezaliman yang nyata?

Parlimen akan dibubar dalam beberapa hari sahaja lagi. Justeru, sampaikan artikel ini sebagai satu bentuk pesanan kepada rakyat marhaen agar bijak memilih kerajaan yang benar - benar berfungsi untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Pilih Barisan Rakyat, harga minyak akan turun dan nasib anda akan dibela. Pilih Barisan Nasional, anda akan menerima kenaikan harga minyak, barangan dan segala - galanya.

Undi anda adalah penentu kuasa pemerintahan negara. Undi anda adalah untuk mempertahankan maruah anda selaku rakyat Malaysia. Undi anda adalah demi kepentingan anda dan juga generasi akan datang. Oleh itu undilah PAS, Parti Keadilan Rakyat dan sekutu - sekutu kami. Anda mampu mengubahnya.

Pesanan: Menentang Barisan Nasional tidak bererti menentang Kerajaan Persekutuan Malaysia. Menentang Barisan Nasional adalah kerana kita amat sayang kepada negara tanah tumpah darah ini.

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju







Sunday, February 10, 2008

Malaysia Negara Islam?


Malaysia Negara Islam?
(Berdasarkan syarahan Peguam Zulkifli Nordin, Parti Islam Semalaysia PAS)

Pada 21 Ogos 2007 bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz telah membuat kenyataan di simposium pemikiran almarhum Ahmad Ibrahim. Ketua Hakim Negara menyatakan kita masih belum merdeka.

Tidak ada gunanya Malaysia merdeka jika sebenarnya masih dijajah. Kenapa kita masih lagi dijajah?

1.0 Penggunaan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan Menyekat Amalan Islam

Pertama, kita lihat pada Perlembagaan Persekutuan. Kita lihat dari kaca mata Islam, bukan dari kaca mata Melayu.

Seperti contoh, Artikel 4 menyatakan mana - mana undang - undang / peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini batal dan tidak sah.

Merujuk kepada kes seorang penjawat awam Halimatus Saadiah, beliau berkerja dengan memakai purdah dan tudung labuh. Pekeliling JPA menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan telah melarang pemakaian purdah dan tudung labuh.

Halimatus Saadiah tetap memakai purdah sehingga akhirnya dia dibuang kerja. Beliau mengambil keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah. Di Mahkamah Persekutuan, hakim telah menyatakan:

"Walaupun pemakaian purdah dan tudung labuh adalah amalan Islam, tetapi kerana amalan itu bertentangan dengan Pekeliling JPA maka ianya tidak dibenarkan. Maka menggunakan Artikel 4 mana - mana peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan adalah batal dan tidak sah."

Akhirnya, sehingga ke hari penjawat awam tidak boleh memakai purdah dan tudung labuh. Dengan begitu mudahnya Perlembagaan Persekutuan boleh melarang amalan yang dituntut di dalam Islam.

Dalam satu kes lagi, terdapat murid - murid sekolah memakai serban di sekolah. Pemakaian serban adalah sunnah amalan Nabi. Tetapi hakim menyatakan:-

" Tidak semua amalan Nabi Muhammad masih relevan di masa kini. Nabi menaiki unta, Nabi gosok gigi pakai kayu, rumah Nabi dibina menggunakan tanah liat. Berkenaan dengan pemakaian serban, Abu Jahal juga memakai serban." Dengan begitu mudah hakim ini menghina sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Hakim juga turut menyatakan:

" Walaupun pemakaian serban dituntut di dalam agama Islam, tetapi memandangkan amalan ini bertentangan dengan pekeliling sekolah maka ianya tidak dibenarkan. Maka menggunakan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan mana - mana undang - undang / peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah."

Lantas, pemakaian serban di dalam premis sekolah telah diharamkan. Di dalam perhimpunan agung UMNO perkara ini ditimbulkan. Perwakilan UMNO menganggap isu serban ini remeh. Ini kerana pemakaian serban diharamkan di dalam sekolah sahaja. Tiada masalah untuk memakai serban di luar premis sekolah.

Apa yang dipersoalkan di sini bukannya soal pemakaian serban semata - mata. Ini bersangkut paut dengan amalan Islam itu sendiri. Jika hari ini Perlembagaan boleh mengharamkan amalan Islam di sesuatu tempat, bagaimana pula dengan masa hadapan?

Mungkinkah di masa mendatang terdapat lebih banyak lagi amalan Islam yang diharamkan perlaksanaannya atas alasan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan?

2.0 Enakmen Jenayah Syariah Yang Tidak Menepati Syariat

Arak hukumnya haram. Tetapi di bawah pentadbiran Islam Hadhari arak dijual secara terbuka di premis - premis 7 Eleven dan lain - lain. Dan yang menjual arak ini adalah anak - anak gadis Melayu yang bertudung dan berpenampilan Islamik.

Mereka tidak segan silu menjual arak kerana Majlis Tempatan telah mengeluarkan lesen kebenaran meniaga arak. Dengan demikian, arak yang hukumnya haram telah dihalalkan menerusi permit perlesenan yang dikeluarkan oleh Majlis Tempatan.

Kilang arak terbesar di Asia, Carlsberg milik perusahaan Denmark telah dibenarkan bertapak di Negara Islam Hadhari. Begitu juga dengan Kasino terbesar di Asia Tenggara juga terletak di Genting Highland.

Dasar Barisan Nasional yang pro arak dan pro judi ini secara tidak langsung telah menyesatkan doktrin Negara Islam yang sepatutnya mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang mengundi Barisan Nasional bererti dia mengundi untuk mempertahankan penjualan arak secara terbuka dan amalan berjudi, yang mana ia ditentang keras oleh Islam.

Di Malaysia, apabila seseorang melakukan persetubuhan haram, maka hukumnya adalah sebat. Tetapi enakmen jenayah syariah telah menetapkan hukuman berbentuk wang ringgit.

Tidak ada disebut dalam Al - Quran jika seseorang meminum arak dia perlu membayar denda RM 300, tidak ada petikan hadith yang menetapkan hukuman RM 200 bagi kesalahan khalwat. Mengapa mufti - mufti semua mendiamkan diri dalam hal ini?

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, enakmen jenayah syariah ini langsung tidak mencerminkan hukum jenayah Islam yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Secara terang - terangan enakmen jenayah ini merosakkan akidah umat Islam yang percaya dengan membayar sejumlah wang maka dosa mereka terhapus.

Dalam kes pembunuhan pula, seksyen 302 digunapakai dalam sistem kehakiman negara. Jelas, seksyen 302 ini sangat berbeza dari segi perlaksanaannya berbanding dengan hukuman jenayah qisas yang diperuntukkan seperti tertera di dalam Al - Quranul Karim.

Kerajaan Kelantan yang diperintah Parti Islam Semalaysia tidak boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Hudud & Qisas kerana dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan yang sekular. Menurut Artikel 74, kerajaan negeri boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah tetapi tidak boleh melebihi hukuman penjara 3 tahun, denda RM 5000 dan 6 sebatan, atau dikenali sebagai hukuman 3-5-6.

Dengan adanya had 3-5-6 ini apakah kerajaan Kelantan mampu melaksanakan hukuman hudud dan qisas?

3.0 Sistem Perbankan Islam yang tidak menepati syariat

Akta Bank Islam tidak konsisten dengan amalan Islam. Seperti contoh konsep perkongsian untung rugi atau Mudharabah. Peminjam dikenali sebagai rakan kongsi perniagaan kepada Perbankan Islam.

Contoh transaksi Perbankan Islam:

Ahmady Nejad ingin membeli rumah berharga RM 150 000. Bank membeli rumah itu dengan harga RM 150 000 dan menjualnya kepada Ahmady Nejad pada harga RM 400 000 dengan bayaran tertangguh selama 30 tahun.

Jika sekiranya rumah itu runtuh, Ahmady Nejad dikehendaki membayar juga pinjamannya. Sedangkan konsep Mudharabah menyatakan perkongsian untung dan rugi. Sepatutnya apabila rumah itu runtuh maka Bank perlu bersama - sama menanggung rugi.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, perbankan Islam menekan rakan perkongsiannya.
Perbankan Islam juga menggunakan Sistem Actuaries, sama seperti perbankan kafir / konvensional. Justeru itu apa bezanya perbankan Islam dan konvensional? Sama sahaja.

Sistem Actuaries digunapakai untuk menganggar harga sesebuah rumah pada masa hadapan.

Malaysia Masih Dijajah British

Seksyen 5 Akta Sivil menyatakan Mahkamah di Malaysia wajib menerimapakai dan melaksanakan undang - undang seperti di England.

Seksyen 5 juga menyatakan - Dalam apa - apa urusan dan pertikaian berkaitan dengan persyarikatan, perkongsian, perniagaan, perdagangan, kewangan, perbankan dan insurans hendaklah mengikut sebagaimana yang diamalkan di England.

Kesimpulan

Perlembagaan negara kita tidak mengikut acuan Islam yang syumul. Kehidupan kita di dunia ini bukanlah main - main. Setiap amalan dan perbuatan akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak.

Kita selalu menyalahkan pentadbiran Barisan Nasional kerana membenarkan dasar - dasar pro hedonisme yang menggalakkan penyuburan gejala maksiat di kalangan muda mudi. Tetapi kadang - kadang kita lupa bahawa tangan - tangan kita yang memangkah Barisan Nasional adalah puncanya.

Kerajaan Barisan Nasional yang hodoh lagi merosakkan rakyat ini tidak akan terhasil melalui mandat yang kita berikan. Kerajaan Barisan Nasional yang kerjanya menipu rakyat dan menzalimi rakyat tidak akan mampu ditubuhkan tanpa sokongan dan dokongan dari orang Melayu itu sendiri.

Setiap undi yang kita berikan akan ditanya oleh Allah S.W.T. Saya tidak berminat untuk bertanggungjawab di atas kerosakan sosial dan penganiayaan moral yang berlaku angkara dasar pentadbiran keduniaan anjuran Barisan Nasional ini.

Pada saya, sebuah pentadbiran yang menyeimbangkan dunia dan akhirat adalah pilihan undi saya. Anda pula bagaimana?

Penutup

Dato' Ismail Kamus mengatakan "PAS bukan gila kuasa, tetapi kita mau mengambil kuasa dari orang gila."

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju