Kadang-kadang saya rasa saya ini seperti dilahirkan pada zaman yang salah. Zaman di mana manusia mengejar kertas keronyok bernama wang ringgit. Zaman ketika status keangkuhan diukur menerusi hantu bernama kereta.
Kereta? Ya. Kebanyakan manusia di Malaysia memandu dengan penuh rasa bongkak. Selaku pejalan kaki yang 'oldtai' saya sering menganalisa raut wajah pemandu di atas jalan raya. Kadang - kadang mereka sengaja menekan minyak ketika saya mahu melintas. Seringkali mereka memandang sinis para pejalan kaki yang sedang melangkah menuju ke tempat kerja -- demi mengais sekepal nasi.
Bila hujan kalau saya bernasib baik saya akan dihadiahkan dengan tempias air lopak. Bila dihitungkan kembali saya berpendapat mereka ini seperti tidak beriman dan bersyahadah. Tidak mengapalah. Inilah resmi hidup.
Saya sering berfikir untuk hidup di zaman kesultanan Melayu Melaka. Zaman di mana saya mampu menghirup udara segar tanpa setan bernama kereta.
Hakikatnya setiap pemilik kereta turut berdosa kepada alam sekitar. Soal dosa besar dosa kecil saya tidak tahu. Tanyalah lebai PAS yang memiliki dua buah kereta. Beliau lebih alim dari saya.
Kalau saya hidup di era kesultanan Melaka saya pasti saya akan menjadi lebih pandai dari Pak Lah. Ini kerana saya berpeluang untuk menghirup oksigen yang lebih segar. Oksigen ini akan membantu otak saya untuk bekerja dengan lebih baik.
Ini membolehkan saya memohon kerja dan berada di kasta yang lebih tinggi. Paling tidak saya mampu memegang jawatan Syahbandar atau setaraf dengannya.
Hidup sebagai rakyat marhaen di akhir zaman adalah sesuatu yang cukup memilukan. Kita dipaksa untuk menerima kertas keronyok sebagai instrumen kewangan. Manusia sanggup bertumbuk, bergaduh berperang dan membunuh hanya kerana kertas keronyok.
Di zaman kesultanan Melaka, saya masih berpeluang untuk hidup bahu membahu.
Kawan saya tanam padi. Saya pula membela kerbau dan ayam. Bila tiba musim menuai saya dapat melantak nasi yang segar -- yang baru dipungut dari lapangan sawah.
Kawan saya boleh menikmati ayam segar yang baru disembelih. Ianya satu perhubungan yang maha indah. Pertalian suci ini wujud di dalam lingkaran ekonomi klasik bernama sistem tukar barang a.k.a barter trade.
Gadis? Oh ya... Sudah pasti saya mendambakan kembang perawan pada enam abad yang lalu. Di waktu di mana kebanyakan isteri adalah ibu yang punya masa untuk mendidik anak - anak, menjaga dan menumpahkan kasih sayang sepenuhnya terhadap mereka.
Tuan Puan yang saya hormati,
ekonomi kapitalis berperanan sebagai jarum halus yang mampu memporak perandakan institusi kekeluargaan. Bayangkan lima puluh peratus guna tenaga di negara kita terdiri dari kaum Hawa. Di saat mereka mengejar rutin kerja, di manakah agaknya anak mereka menumpang kasih? Ini satu persoalan yang gagal dijawab oleh kapitalis.
Kapitalis tidak mengiktiraf manusia sebagai manusia. Kapitalis menganggap kita semua hanyalah 'just a number'. Kapitalis tidak peduli kepada kebajikan rakyat. Yang ditekankan adalah untung besar. Kalau untung kecil ianya dikira sebagai rugi.
Ekonomi kapitalis telah menyebabkan kos sara hidup meningkat. Manusia dipaksa menjadi hamba kepada kertas keronyok. Kita tidak boleh membeli beras, ikan, sayur, daging, perabot dan segala macam barang - barang tanpa kertas keronyok.
Ekonomi kapitalis telah menghasilkan manusia yang tamak. keinginan manusia untuk membelanjakan kertas keronyok telah menyebabkan manusia pada hari ini memiliki keinginan tanpa batas.
Saya teringat kepada Teori Maslow. Teori keinginan dan keperluan ini berbentuk piramid. Saya menduga ekonomi kapitalis telah menghuraikan puncak kepada piramid tersebut adalah 'mati'.
Saya berpendapat begitu kerana ketamakan manusia hanya berakhir apabila dia mati.
Saya tidak ingin hidup di zaman ini. Zaman di mana manusia berlagak dan tidak bersyukur. Zaman di mana orang - orang macam saya ini dianggap tidak cool kerana tidak memiliki wang yang banyak dan kereta.
Saya tidak ingin hidup di zaman ini. Jikalau saya diberi pilihan saya mahu hidup di zaman General Khalid Al Walid atau zaman Tun Perak atau zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Saya mahu hidup sebagai manusia yang bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk hidup bernafas di bumi Yang Maha Esa ini.
Penulis Tamu
Puak Marhaen Muda (Young Commoners Clan)
17 Disember 2008 7.53 am.
1 comment:
Saya kalau diberi peluang ingin kembali ke zaman kanak-kanak di awal 70an.Alangkah indahnya zaman kanak-kanak saya.Berbasikal,mandi sungai,sekali-sekala balik kg nenek menolong memetik jagung,berjemur bawah panas menggali kacang tanah.Kesian anak-anak saya,tidak dapat mengecapi apa yg saya lalui waktu itu.Terkurung dalam rumah,nak keluar pun dah tak berani kerana ramai sangat orang jahat di luar sana.Mak ayah zaman dulu pun tak mendesak sangat anak-anak dapat A,tetapi kami berjaya juga dapat pekerjaaan yg bagus.Kami pandai berdikari walaupun zaman tu takde h-phone,internet dan lain-lain perkara yg canggih.
Post a Comment