Kuala Lumpur, 17 April: Dalam kemeriahan meraikan kemenangan besar pada pilihanraya umum lalu, Pakatan Rakyat wajar berterima kasih kepada Barisan Nasional kerana telah menghadiahkan peluru - peluru percuma kepada mereka.
Jika dikaji semula, kita dapati antara faktor - faktor yang menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia adalah:-
Pertama, BN terlalu menumpukan perhatian kepada Kelantan tanpa menyedari jentera mereka goyah di negeri - negeri lain. Ini memudahkan Pakatan Rakyat menggempur Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan berkaitan, asakan bertali arus UMNO menyebabkan rakyat luar Kelantan berbondong-bondong pulang mengundi demi mempertahankan kerajaan bebas rasuah yang diterajui Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kedua, kegopohan BN melancarkan kempen keterlaluan telah menerbitkan rasa simpati pengundi kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya pada 8 Mac 2008, pengundi menterjemahkan perasaan meluat mereka terhadap BN dengan mengundi PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Ketiga, menjelang hari mengundi pihak SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal pada kuku pengundi. Pakatan Rakyat berjaya memanipulasi isu ini sehingga rakyat percaya bahawa BN ingin bermain kotor untuk menang besar dalam pilihanraya. Akhirnya ramai pengundi yang berasa tercabar dengan helah SPR lalu bertindak memangkah calon Pakatan Rakyat.
Keempat, gambar - gambar Abdullah sedang tidur telah menyebabkan rakyat tidak yakin pemimpin ini mampu membawa Malaysia ke hadapan. Janji Abdullah untuk membanteras rasuah telah bertukar menjadi omongan kosong apabila kebanyakan kes-kes rasuah mega tidak dibicarakan di mahkamah. Rakyat terpinga-pinga setelah mendapati zaman pemerintahan Abdullah sama sahaja, bahkan lebih teruk dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kelima, Abdullah yang dikenali dengan jolokan Mr. Clean tidak dapat mengekalkan imej bersihnya ketika menjawat jawatan Perdana Menteri. Ini diterjemahkan menerusi laporan - laporan yang mengaitkan anaknya Kamaluddin mendapat kontrak dari Petronas, di samping menantunya Khairy yang tiba-tiba naik ke persada kuasa.
Keenam, aksi-aksi nakal Abdullah yang tersebar luas di Internet. Sekalipun sesetengah orang menyifatkan isu ini kecil, hakikatnya rakyat tidak boleh menerima pelopor Islam Hadhari yang berpoya-poya. Sikap cakap tak serupa bikin Abdullah telah memberikan peluru percuma kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang BN.
Ketujuh, percaturan politik UMNO yang gagal. Ramai pemimpin berpengaruh peringkat bahagian UMNO telah disingkirkan dari bertanding dan digantikan dengan muka-muka baru. Memandangkan politik UMNO lebih menjurus kepada politik berpuak, maka sudah pasti wujudnya kem-kem tertentu yang tidak berpuas hati apabila nama pemimpin mereka tidak disenaraikan, seterusnya bertindak mensabotaj jentera kempen Barisan Nasional.
Terdapat kes di mana bilik gerakan UMNO ditutup dan bendera UMNO diturunkan sebagai tanda protes ke atas pemilihan calon UMNO yang tidak disokong ahli di peringkat akar umbi.
Kelapan, manifesto Barisan Nasional hanya mengundang rasa geli hati dan bahan lawak rakyat. Slogan Selamat, Aman dan Makmur telah terbukti gagal untuk menyaingi manifesto PAS Negara Berkebajikan dan Harapan Baru Untuk Malaysia, manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika difikirkan semula, slogan BN merupakan jaminan asasi yang wajib ada pada sesebuah negara berdaulat (tidak perlu dipolitik dan dijadikan manifesto). Amat malang jika BN terpaksa menjanjikan keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyat seolah-olah selama ini negara kita berada dalam keadaan huru hara.
Kesembilan, politik perkauman yang diamalkan BN didapati gagal meraih sokongan pengundi. Tindakan BN ke atas penyokong Hindraf memberi kesan yang amat dalam terhadap kaum India, sehinggakan mereka menjadikan pilihanraya lalu sebagai tarikh keramat untuk menguburkan Samy Vellu bersama-sama dengan parti MIC.
MCA dan Gerakan yang dilihat sebagai pak turut kepada UMNO turut dihukum kaum Cina yang bertindak nekad menghumban mereka ke dalam bakul sampah sejarah.
Orang Melayu juga bangkit dari lena yang panjang apabila mereka telah menolak agenda Ketuanan Melayu yang dicanang oleh UMNO. Perubahan ini membuktikan orang Melayu telah sedar selama ini nasib mereka tidak terbela di bawah panji parti keris telanjang itu.
Pada mereka, wadah perjuangan Melayu tidak akan karam sekalipun UMNO ranap dan lenyap dari politik nasional. Mereka yakin parti lain seperti PAS dan keADILan mampu menggalas dan menjamin masa hadapan orang Melayu.
Kesepuluh, keengganan BN untuk menyelesaikan isu-isu ekonomi seperti kenaikan harga barang, harga minyak mentah dan kos sara hidup yang tinggi telah menyebabkan rakyat cenderung untuk melakukan protes senyap ke atas kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Telah lebih sebulan pilihanraya berlalu tetapi UMNO masih lagi menjual dondang sayang Agenda Ketuanan Melayu. Lagu basi Melayu Bersatu diputar semula kononnya bagi memastikan kuasa politik Melayu tidak terhakis. Cukup-cukuplah UMNO, rakyat sudah muak dengan kamu.
Yang nyata, rebahnya UMNO dan Barisan Nasional telah memberikan ruang kepada rakyat untuk membina sebuah harapan baru bersama-sama Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment