Pilihanraya Umum ke-12 telah membuktikan majoriti pengundi menolak fahaman perkauman dan memangkah calon-calon yang mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Jikalau tidak kerana bas-bas pengundi hantu masuk ke Terengganu dan rakyat Filipina pemilik 'kad pengenalan projek' di Sabah maka sudah pasti Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan baru menggantikan Barisan Nasional yang telah berkuasa selama setengah abad.
Perkembangan politik pasca pilihanraya ini menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi tersentak dari mimpinya. Dalam keadaan jaga, beliau mendapati hulubalang - hulubalang UMNO sedang berpencak silat mempertahankan Agenda Ketuanan Melayu.
Para pahlawan 'hok-hek' UMNO telah mula mengeluarkan keris dan menjerit Ketuanan Melayu sehingga berbuih-buih mulut mereka. Salakan-salakan ganas memprotes projek ternakan babi di Selangor menjadi titik tolak kepada UMNO yang kini sedang belajar 'cara - cara menjadi pembangkang dalam persidangan DUN'.
Apakah UMNO telah mabuk kerana kehilangan kuasa sehingga mereka tergamak melukis gambar 3 ekor babi yang dilabelkan sebagai PAS, PKR dan DAP? Apakah UMNO tidak sedar bahawasanya Tuanku Sultan sendiri yang telah memperkenankan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat yang dibarisi PAS, PKR dan DAP?
Ahli - ahli UMNO barangkali tidak sedar calon-calon UMNO bertanding atas tiket Barisan Nasional. Turut sama bertanding menggunakan logo dacing ialah calon MCA, kaum Cina yang sinonim dengan hidangan Bak Kut Teh.
Atas dasar muafakat politik, MCA dan UMNO bersekongkol menggonggong kuasa pemerintahan negara. Tidakkah UMNO berfikir apakah perasaan MCA ketika isu babi diputarbelitkan?
Rupa-rupanya, MCA dan Gerakan ini hanya berguna ketika mereka menang besar tetapi apabila mereka di'pancung' beramai - ramai dan kalah teruk maka kewujudan mereka tidak lagi dipandang oleh UMNO. Sensitiviti kaum Cina MCA telah ditolak tepi kerana mereka dianggap liabiliti kepada Barisan Nasional.
UMNO Tidak Relevan
Perjuangan kebangsaan UMNO sudah tidak laku di pasaran politik negara. Rakyat pada umumnya telah jelak dan muak dengan sistem politik berasaskan nasionalisme kerana ianya tidak akan membawa apa-apa erti kepada warga negara.
Di dalam falsampah UMNO, kaum Cina dan India diletakkan sebagai warga kelas kedua. Sedangkan umum mengetahui kaum Cina telah menyumbangkan lebih 90% cukai kepada negara ini.
Di dalam falsampah UMNO juga, maruah Ketuanan Melayu telah tergadai. Buktinya tulisan Jawi yang berperanan sebagai medium penyampaian ilmu dan pencerahan minda kini telah bungkus dan dibakulsampahkan. Walaupun terdapat usaha memperkasa tulisan Jawi melalui program J-Qaf, tetapi ianya tidak lebih dari sekadar kosmetik kononnya kerajaan masih lagi memperjuangkan tulisan Jawi.
Tulisan Jawi adalah sebahagian dari jati diri orang Melayu. Pemansuhan tulisan Jawi ini adalah bukti sahih UMNO tidak memperjuangkan kaum Melayu dan agama Islam. Sehingga ke hari ini ramai umat Melayu telah gagal untuk membaca Al-Quran dengan nahu yang betul akibat mereka ini buta huruf Arab.
Strategi pecah dan perintah UMNO telah meminggirkan kaum Melayu. Di saat Hishammuddin Hussein menghunus keris, kaum Melayu Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kedah terus terpinggir dari arus pembangunan. UMNO yang dianggap payung tempat orang Melayu bernaung telah berubah menjadi sarang tempat pemimpin berebut pengaruh kuasa dan wang ringgit.
Di mana Dasar Ekonomi Baru di saat rata-rata orang Melayu masih lagi hidup susah? Mengapa pemimpin - pemimpin UMNO semakin kaya raya, tinggal di rumah mewah ketika mana orang kampung masih ada lagi yang tinggal di pondok buruk?
Sabah Dan Sarawak Wajar Menyertai Pakatan Rakyat
UMNO melaung-laungkan hak istimewa Bumiputera tetapi lihatlah apa yang terjadi di Sabah dan Sarawak. Penduduk terus hidup daif walaupun saban hari hasil bumi mereka dijarah.
Kerajaan Persekutuan Malaysia telah melayan penduduk Sabah dan Sarawak seperti penjajah melayan negeri yang ditawannya. Rakyat di Kepulauan Borneo kini mempunyai dua pilihan. Sama ada mereka membiarkan BN menghakis hak istimewa penduduk peribumi ataupun menyokong perjuangan Pakatan Rakyat yang nekad mahu menjamin masa hadapan mereka.
Atas pertimbangan ini, masanya telah tiba untuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyeberang ke Pakatan Rakyat dan menyertai perjuangan menegakkan ketuanan Rakyat Malaysia.
Masa Untuk Perubahan
Selamat Tinggal UMNO. Selamat Tinggal BN. Mandat 50 tahun yang diberikan telah tamat tempohnya. Janganlah berpura-pura menyesal dan berkata 'perjuangan belum selesai'. Rakyat telah banyak bersabar dengan karenah anda selama ini.
Kini tibalah giliran Pakatan Rakyat pula memerintah Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lima Puluh Tahun gelita akan digantikan dengan gemerlap cahaya fajar baru.
Pelita - pelita pencerahan politik akan dinyalakan sebagai tanda bermulanya era reformasi pentadbiran negara.
Bersama-samalah kita menyokong perjuangan Pakatan Rakyat. Hapuskan kemiskinan. Hapuskan rasuah. Hapuskan ketidakadilan. Hapuskan prasangka perkauman. Hidup Rakyat Malaysia! Hidup Pakatan Rakyat!
Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju
No comments:
Post a Comment