Sunday, February 10, 2008

Malaysia Negara Islam?


Malaysia Negara Islam?
(Berdasarkan syarahan Peguam Zulkifli Nordin, Parti Islam Semalaysia PAS)

Pada 21 Ogos 2007 bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz telah membuat kenyataan di simposium pemikiran almarhum Ahmad Ibrahim. Ketua Hakim Negara menyatakan kita masih belum merdeka.

Tidak ada gunanya Malaysia merdeka jika sebenarnya masih dijajah. Kenapa kita masih lagi dijajah?

1.0 Penggunaan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan Menyekat Amalan Islam

Pertama, kita lihat pada Perlembagaan Persekutuan. Kita lihat dari kaca mata Islam, bukan dari kaca mata Melayu.

Seperti contoh, Artikel 4 menyatakan mana - mana undang - undang / peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini batal dan tidak sah.

Merujuk kepada kes seorang penjawat awam Halimatus Saadiah, beliau berkerja dengan memakai purdah dan tudung labuh. Pekeliling JPA menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan telah melarang pemakaian purdah dan tudung labuh.

Halimatus Saadiah tetap memakai purdah sehingga akhirnya dia dibuang kerja. Beliau mengambil keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah. Di Mahkamah Persekutuan, hakim telah menyatakan:

"Walaupun pemakaian purdah dan tudung labuh adalah amalan Islam, tetapi kerana amalan itu bertentangan dengan Pekeliling JPA maka ianya tidak dibenarkan. Maka menggunakan Artikel 4 mana - mana peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan adalah batal dan tidak sah."

Akhirnya, sehingga ke hari penjawat awam tidak boleh memakai purdah dan tudung labuh. Dengan begitu mudahnya Perlembagaan Persekutuan boleh melarang amalan yang dituntut di dalam Islam.

Dalam satu kes lagi, terdapat murid - murid sekolah memakai serban di sekolah. Pemakaian serban adalah sunnah amalan Nabi. Tetapi hakim menyatakan:-

" Tidak semua amalan Nabi Muhammad masih relevan di masa kini. Nabi menaiki unta, Nabi gosok gigi pakai kayu, rumah Nabi dibina menggunakan tanah liat. Berkenaan dengan pemakaian serban, Abu Jahal juga memakai serban." Dengan begitu mudah hakim ini menghina sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Hakim juga turut menyatakan:

" Walaupun pemakaian serban dituntut di dalam agama Islam, tetapi memandangkan amalan ini bertentangan dengan pekeliling sekolah maka ianya tidak dibenarkan. Maka menggunakan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan mana - mana undang - undang / peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah."

Lantas, pemakaian serban di dalam premis sekolah telah diharamkan. Di dalam perhimpunan agung UMNO perkara ini ditimbulkan. Perwakilan UMNO menganggap isu serban ini remeh. Ini kerana pemakaian serban diharamkan di dalam sekolah sahaja. Tiada masalah untuk memakai serban di luar premis sekolah.

Apa yang dipersoalkan di sini bukannya soal pemakaian serban semata - mata. Ini bersangkut paut dengan amalan Islam itu sendiri. Jika hari ini Perlembagaan boleh mengharamkan amalan Islam di sesuatu tempat, bagaimana pula dengan masa hadapan?

Mungkinkah di masa mendatang terdapat lebih banyak lagi amalan Islam yang diharamkan perlaksanaannya atas alasan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan?

2.0 Enakmen Jenayah Syariah Yang Tidak Menepati Syariat

Arak hukumnya haram. Tetapi di bawah pentadbiran Islam Hadhari arak dijual secara terbuka di premis - premis 7 Eleven dan lain - lain. Dan yang menjual arak ini adalah anak - anak gadis Melayu yang bertudung dan berpenampilan Islamik.

Mereka tidak segan silu menjual arak kerana Majlis Tempatan telah mengeluarkan lesen kebenaran meniaga arak. Dengan demikian, arak yang hukumnya haram telah dihalalkan menerusi permit perlesenan yang dikeluarkan oleh Majlis Tempatan.

Kilang arak terbesar di Asia, Carlsberg milik perusahaan Denmark telah dibenarkan bertapak di Negara Islam Hadhari. Begitu juga dengan Kasino terbesar di Asia Tenggara juga terletak di Genting Highland.

Dasar Barisan Nasional yang pro arak dan pro judi ini secara tidak langsung telah menyesatkan doktrin Negara Islam yang sepatutnya mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang mengundi Barisan Nasional bererti dia mengundi untuk mempertahankan penjualan arak secara terbuka dan amalan berjudi, yang mana ia ditentang keras oleh Islam.

Di Malaysia, apabila seseorang melakukan persetubuhan haram, maka hukumnya adalah sebat. Tetapi enakmen jenayah syariah telah menetapkan hukuman berbentuk wang ringgit.

Tidak ada disebut dalam Al - Quran jika seseorang meminum arak dia perlu membayar denda RM 300, tidak ada petikan hadith yang menetapkan hukuman RM 200 bagi kesalahan khalwat. Mengapa mufti - mufti semua mendiamkan diri dalam hal ini?

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, enakmen jenayah syariah ini langsung tidak mencerminkan hukum jenayah Islam yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Secara terang - terangan enakmen jenayah ini merosakkan akidah umat Islam yang percaya dengan membayar sejumlah wang maka dosa mereka terhapus.

Dalam kes pembunuhan pula, seksyen 302 digunapakai dalam sistem kehakiman negara. Jelas, seksyen 302 ini sangat berbeza dari segi perlaksanaannya berbanding dengan hukuman jenayah qisas yang diperuntukkan seperti tertera di dalam Al - Quranul Karim.

Kerajaan Kelantan yang diperintah Parti Islam Semalaysia tidak boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Hudud & Qisas kerana dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan yang sekular. Menurut Artikel 74, kerajaan negeri boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah tetapi tidak boleh melebihi hukuman penjara 3 tahun, denda RM 5000 dan 6 sebatan, atau dikenali sebagai hukuman 3-5-6.

Dengan adanya had 3-5-6 ini apakah kerajaan Kelantan mampu melaksanakan hukuman hudud dan qisas?

3.0 Sistem Perbankan Islam yang tidak menepati syariat

Akta Bank Islam tidak konsisten dengan amalan Islam. Seperti contoh konsep perkongsian untung rugi atau Mudharabah. Peminjam dikenali sebagai rakan kongsi perniagaan kepada Perbankan Islam.

Contoh transaksi Perbankan Islam:

Ahmady Nejad ingin membeli rumah berharga RM 150 000. Bank membeli rumah itu dengan harga RM 150 000 dan menjualnya kepada Ahmady Nejad pada harga RM 400 000 dengan bayaran tertangguh selama 30 tahun.

Jika sekiranya rumah itu runtuh, Ahmady Nejad dikehendaki membayar juga pinjamannya. Sedangkan konsep Mudharabah menyatakan perkongsian untung dan rugi. Sepatutnya apabila rumah itu runtuh maka Bank perlu bersama - sama menanggung rugi.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, perbankan Islam menekan rakan perkongsiannya.
Perbankan Islam juga menggunakan Sistem Actuaries, sama seperti perbankan kafir / konvensional. Justeru itu apa bezanya perbankan Islam dan konvensional? Sama sahaja.

Sistem Actuaries digunapakai untuk menganggar harga sesebuah rumah pada masa hadapan.

Malaysia Masih Dijajah British

Seksyen 5 Akta Sivil menyatakan Mahkamah di Malaysia wajib menerimapakai dan melaksanakan undang - undang seperti di England.

Seksyen 5 juga menyatakan - Dalam apa - apa urusan dan pertikaian berkaitan dengan persyarikatan, perkongsian, perniagaan, perdagangan, kewangan, perbankan dan insurans hendaklah mengikut sebagaimana yang diamalkan di England.

Kesimpulan

Perlembagaan negara kita tidak mengikut acuan Islam yang syumul. Kehidupan kita di dunia ini bukanlah main - main. Setiap amalan dan perbuatan akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak.

Kita selalu menyalahkan pentadbiran Barisan Nasional kerana membenarkan dasar - dasar pro hedonisme yang menggalakkan penyuburan gejala maksiat di kalangan muda mudi. Tetapi kadang - kadang kita lupa bahawa tangan - tangan kita yang memangkah Barisan Nasional adalah puncanya.

Kerajaan Barisan Nasional yang hodoh lagi merosakkan rakyat ini tidak akan terhasil melalui mandat yang kita berikan. Kerajaan Barisan Nasional yang kerjanya menipu rakyat dan menzalimi rakyat tidak akan mampu ditubuhkan tanpa sokongan dan dokongan dari orang Melayu itu sendiri.

Setiap undi yang kita berikan akan ditanya oleh Allah S.W.T. Saya tidak berminat untuk bertanggungjawab di atas kerosakan sosial dan penganiayaan moral yang berlaku angkara dasar pentadbiran keduniaan anjuran Barisan Nasional ini.

Pada saya, sebuah pentadbiran yang menyeimbangkan dunia dan akhirat adalah pilihan undi saya. Anda pula bagaimana?

Penutup

Dato' Ismail Kamus mengatakan "PAS bukan gila kuasa, tetapi kita mau mengambil kuasa dari orang gila."

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju

No comments: