Sunday, December 18, 2005

Kongres Kepentingan Melayu Luluskan 29 Resolusi

Oleh Tun Paduka Tuan.

Kuala Lumpur: Kongres Kepentingan Bangsa yang berakhir hari ini telah mengeluarkan 29 resolusi yang mencakupi ekonomi, pendidikan dan sosial budaya.

Kongres berkenaan diadakan dua hari, 16 dan 17 Disember dianjurkan oleh Gabungan 100 NGO Melayu, telah dihadiri kira-kira 2,000 peserta anggota NGO.

Turut sama menyertai kongres yang julung kali diadakan itu, tokoh korporat, ahli akademik, sasterawan dan budayawan, ahli undang-undang, ahli politik Melayu, Pas dan individu yang komited dengan perjuangan Melayu.

Tujuh perkara resolusi berhubung pendidikan, antara lain mendesak kerajaan untuk menilai semula keutuhan dan keberkesanan sistem pendidikan negara yang belum pernah dibuat sejak merdeka.

Selain dari itu, kerajaan juga didesak mengembalikan semula geran perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) supaya berfungsi seperti asal dan mengembangkan sektor pendidikan aliran agama.

Manakala di antara lapan ketetapan bersabit ekonomi pula, mendesak kerajaan mempertahankan hartanah orang Melayu seperti Tanah Rezab Melayu yang tersepit di seluruh negara pada masa kini.

Syarikat multi nasional negara, Petronas, diharap berperanan sebagai agensi penjana yang bertanggungjaab dalam melahiran usahawan-usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.

Sementara 14 resolusi mengenai sosial budaya telah diputuskan. Di antara resolusi itu ialah, mendesak kerajaan menubuhkan satu pasukan peguam-peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran terhadap peruntukan dan undang-undang menyentuh kepentingan dan hak istimewa Meleyu.

Selain itu kongres juga memutuskan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) dijadikan badan bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen demi memainkan peranan berkesan memerangi gejala rasuah yang meluas dewasa ini.

Sehubungan itu pihak penganjur juga akan mewujudkan sebuah Sekretarit tetap NGO-NGO Melayu yang akan menggerakkan perjuangan dan aspirasi umat melayu. Kongres berkenaan dipelopori oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), sementara Pengerusinya ialah Tengku Razaleigh Hamzah.

Berikut ialah resolusi sepenuhnya:


PENDIDIKAN

1. Menggesa kerajaan untuk menilai semula keseluruhan keutuhan dan keberkesanan sistem pendidikan negara yang belum pernah dibuat sejak merdeka sesuai dengan dasar dan falsafah dan pendidikan negara
2. Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik. Pada masa yang sama mempertingkatkan pengajaran subjek Bahasa Inggeris dengan serius.
3. Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR) supaya boleh berfungsi seperti asal dan mengembangkan sektor pendidikan aliran agama supaya dapat menyumbang kepada pembangunan Negara.
4. Membiayai sepenuhnya pelajar Melayu yang layak masuk dan mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui biasiswa.
5. Menyarankan agar MARA memfokuskan peraanannya dalam pendidikan dan modal insan dan kerajaan memperkasakannya dengan memberikan peruntukan yang secukupnya mulai sekarang.
6. Menggesa kerajaan memberi perhatian kepada beberapa aspek lain pendidikan, iaitu: pendidikan luar bandar, prasekolah, penyerapan nilai-nilai murni, latihan teknikal, biasiswa, latihan guru, perpustakaan luar bandar, pendidikan khas kanak-kanak kurang upaya, pendidikan orang asli, dll.
7. Akta Universiti dan Kolej hendaklah dimansuhkan secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat dan kondusif bagi pertumbuhan kecerdasan minda, kebebasan berfikir dan kreativiti di kalangan para akademik dan mahasiswa.

EKONOMI

1. Mengambil usaha untuk mempertahankan hartanah orang Melayu seperti Tanah Rezab Melayu yang terdapat di seluruh negara. Kerajaan hendaklah mengganti tanah-tanah yang telah di ambil di tempat-tempat strategik.
2. Kualiti pengurusan badan GLC mestilah mencerminkan nilai akhlak yang tinggi dan cemerlang. Sementara pemantauan hendaklah dilakukan oleh kumpulan NGO dan professional yang berkelayakan yang berkaitan dengan urus tadbir.
3. Petronas hendaklah berperanan sebagai satu agensi penjana yang bertanggungjawab dalam melahirkan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.
4. Meneruskan matlamat dan falsafah DEB secara berkekalan supaya pencapaiannya menggambarkan komposisi penduduk Malaysia dalam proses penjanaan kekayaan baru (new wealth creation).
5. Mengadakan gerakan pembudayaan keusahawan di kalangan masyarakat Melayu. Ia adalah sebagai usaha untuk mempertingkatkan martabat ekonomi orang Melayu khususnya dalam sektor peruncitan dan perdagangan kecil.
6. Mendesak kerajaan supaya penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang supaya pelaksanaanya berkesan. Sebagai contohnya, institusi-institusi kerajaan (GLC) seperti Pertonas, Telekom Malaysia, TNB dan lain-lain wajib mengeluarkan zakat. Pentadbiran zakat dilaksanakan secara telus supaya pengagihannya memberi manfaat kepada umat seperti tabung pendidikan, tabung membasmi kemiskinan dan sebagainya.
7. Memperkenalkan Akta Makanan Halal Malaysia supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu dan Islam. Sebuah Perbadanan Industri Makanan Halal hendaklah diwujudkan bagi menjadikan Malaysia sebagai Halal Hub.
8. Menggalakkan semua NGO Melayu menubuhkan koperasi masing-masing untuk mengembelengkan sumber daya orang Melayu bagi menjalankan aktiviti ekonomi yang akan meningkatkan taraf hidup dan sosio-budaya orang Melayu.

SOSIO-BUDAYA

1. Menubuhkan satu pasukan peguam-peguam Melayu untuk mengkaji pelanggaran terhadap peruntukan dan undang-undang yang menyentuh kepentingan dan hak istimewa Melayu serta mencadangkan tindakan yang sewajarnya.
2. Mengembalikan perkhidmatan awam, pegawai keselamatan dan professional ke peranan asal mereka sebagai institusi yang bebas, beramanah dan tidak mengamalkan rasuah.
3. Mendesak kerajaan supaya membudayakan masyarakat melalui amalan demokrasi yang tulen dan telus serta memulih dan memperkukuhkan institusi-institusi urustadbir negara termasuk institusi raja.
4. Mendesak semua pihak agar memberi keutamaan kepada proses membudayakan nilai murni bagi membetulkan kekacauan nilai dalam masyarakat.
5. Mendesak semua pihak memainkan peranan yang berkesan untuk memerangi gejala rasuah dengan:
I. Menjadikan BPR sebagai badan bebas dan bertanggungjawab kepada parlimen.
II. II.Menggerakkan semua NGO Melayu untuk bergabung tenaga mengadakan kempen yang berkesan dalam menangani budaya rasuah di dalam negara ini.
6. Menganjurkan agar semua pihak menjaga dan memelihara integriti kekeluargaan yang semakin rapuh.
7. Menolak fahaman dan amalan gerakan Islam liberal dan mencegah daripada berkembangnya pemikiran Melayu liberal.
8. Badan-badan NGO Melayu hendaklah mempunyai saluran media bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara telus terutama berhubung dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Melayu.
9. Kerajaan melalui semua kementerian, agensi dan jabatan perlu menyerapkan unsur-unsur kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan Kebangsaan dalam dasar dan program.
10. Badan-badan penyiaran dan media massa perlu merancang pewujudan citra kebangsaan dalam programnya.
11. Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu diperundang-undangkan dalam bentuk akta seperti dasar bahasa dan dasar pendidikan.
12. Masalah kebejatan sosial yang melanda masyarakat Melayu perlu ditangani secara serius oleh kerajaan dan semua pihak lain.
13. Budaya berfikir hendaklah dijadikan amalan dalam semua sektor dan semua peringkat sebagai teras tamadun bangsa.
14. Kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam hendaklah disuburkan dan diterapkan dalam pentadbiran, pendidikan dan bidang-bidang lain.

17 Disember 2005.

- Tun Paduka Tuan

No comments: