Oleh Ramosa
Negara dikejutkan dengan peristiwa sedih “Tahanan Wanita Berbogel dan Ketuk Ketampi Dalam Lokap Polis”. Asalnya dikatakan wanita “ Cina “ tetapi rupanya wanita “Melayu” selepas Inkuiri Awam ditubuhkan oleh kerajaan. Semua pihak memberikan pendapat dan pandangan sehingga negara terpaksa menghantar wakil bertaraf menteri untuk menerangkan kepada kerajaan lain akan prosedur yang diguna pakai oleh pasukan polis Malaysia dalam menyiasat tahanan reman. (sepatutnya pergi selepas Inkuiri Awam memberi keputusannya)
Tetapi malangnya sebelum atau selepas Inkuiri Awam ini yang sedang menunggu keputusan atau cadangan sekitar 15 Januari tahun depan (tahun 2006) TIDAK ADA satu kenyataan yang berani dikeluarkan para Alim dan Ulama di Negara ini untuk memberikan pandangan dari sudut agama Islam tentang prosedur oleh jabatan polis ini. Inilah yang amat menyedihkan saya. Perkara ini telah dipolitikkan begitu hebat di Parlimen, Dewan Negara dan di Ceramah Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir yang lalu. Malah disebar meluas melalui Internet yang dapat diakses di seluruh dunia.
Saya menganggap tindakan Perdana Menteri adalah bijak dalam menubuhkan Inkuiri Awam itu tetapi ada kurangnya kerana tidak memasukkan Ahli Inkuiri Awam itu dari anggota Alim Ulama yang dapat memberikan pandangan dan nasihat dalam agama Islam iaitu Agama Rasmi Malaysia dan ke arah Islam Hadhari.
Ini kerana perkara malu atau aib itu amat di murkai ALLAH s.w.t.. Walau apa pun kesalahan mereka mengaibkan seseorang itu berdosa besar dan ada cara dan adabnya untuk melakukan siasatan. Hatta jika nak siasat hingga memerlukan bertelanjang bulat untuk mengeluarkan benda-benda dari alat sulit itu, berilah hak untuk berkemban iaitu ada kain untuk membalut badannya. Hatta Islam menyuruh kita berkemban jika mandi berseorangan dalam bilik mandi. Malah mayat lelaki dan perempuan yang telah meninggal dunia (memang dah tak ada perasaan malu lagi) tetapi Allah meminta kita menjaga aibnya ketika memandikannya dan mengkafankanyan.
Agama Islam amat mengutamakan peradaban baik dalam ibadat, dalam pergaulan, dalam perhimpunan dan dalam segala tempat. Di antara peradaban itu ialah memelihara kesopanan peribadi menurut ertikata tidak mahu menempatkan sesuatu yang memalukan atau yang merendahkan maruah atau mengerjakan perkara yang terlarang atau tidak sesuai dengan kedudukan diri seseorang. Kerana apalah erti hidup seandainya seorang itu tidak menganggap malu itu satu perasaan yang amat pengaruh atas dirinya hingga kerananya ia tidak lagi mempunyai rasa malu kepada ALLAH dan kepada manusia dalam masyarakatnya.
Perkara ini ada dalam hadith diriwayatkan oleh Bukhari dari Abi Mas’ud Uqbah bin Amru al Ansari : Rasullullah s.a.w. bersabda “ Bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi terdahulu ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.”
Jika kita amati bahawa perintah itu merupakan satu peringatan bukannya satu suruhan. Bermakna jika engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa saja yang engkau kehendaki dan Allah s.w.t. akan membalas kamu. Ini bertepatan dengan Firman Allah s.w.t. dalam surah Fussilat ayat 40 “Kerjakanlah apa yang kamu kehendaki, kerana sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan itu”.
Oleh itu saya mencadangkan pada pasukan Inkuiri Awam itu supaya dikeluarkan satu Garis Panduan untuk diguna pakai oleh pihak berkuasa (terutamanya Jabatan Polis) dalam menjalankan tugasnya menurut nilai-nilai murni Islam dan tidak mengikut hawa nafsu dan peraturan lapuk yang tidak dicatatkan sebagai satu peraturan yang bertulis pun. Juga cubalah mengkaji Convention Geneva (Human Rights) pasti ada klausa terhadap tatacara/prosedur siasatan. Jika tiada pun klausa tersebut di dalam Convention Geneva itu ikutilah peradaban Islam yang suci murni itu.
Wallahuallam.
- Ramosa - 23.12.2005
No comments:
Post a Comment