Saturday, February 19, 2005

Khutbah Juma'at di Mesjid Jamek KL

Oleh Pensil Kayu
-------------------------------------

Sewaktu pergi menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandaraya, saya amat terkejut dan bersedih kerana khutbah yang disampaikan oleh khatib berkisar kepada perkara tentang demam denggi, yang mana saban masa dan ketika kita telahpun didedahkan akan perkara tersebut di waktu yang lain, melalui kempen gotong royong di tempat masing-masing, surat khabar serta media massa yang lain. Kelihatan para jemaah berpandang pandangan sesama sendiri. Amat malang sekali.

Walaupun ianya sesuatu yang baik tapi saya tak nampak akan kesusesuainnya tentang demam denggi ini disampaikan dalam khutbah Jumaat yang merupakan satu saat ribuan manusia datang menyerahkan diri untuk diberikan amanat pengabdian kepada Allah s.w.t tapi didedahkan kepada perkara yang sudah tentu tidak memberi bekas terhadap mereka. Mereka-mereka sudah barang tentu telah lebih arif tentang hal ehwal dunia mereka.

Adalah sewajarnya pihak JAWI atau mana-mana Pihak Berkuasa (PB) Agama yang lain bertindak menyediakan satu teks khutbah yang lebih menekankan tentang memperkuatkan dan memperkentalkan aqidah para jemaah, mentauhidkan Allah s.w.t. dengan sebenar benarnya yang tanpanya, segala apa jua amalan, anjuran atau saranan tidak akan mendatangkan kesan dalam jiwa manusia.

Sesungguhnya itulah masa yang sesuai bagi PB Agama kita untuk menanamkan aqidah, iman yang benar dan jitu ke dalam sanubari jemaah yang hadir kerana ada di antara mereka yang hanya datang bersolat seminggu sekali, jadi usaha memperbetuli aqidah akan dapat disampaikan kepada mereka. Di samping itu dapat pula memantapkan aqidah para jemaah yang regular menjaga dan menunaikan solat.

Kalau kita lihat dari sejarah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, di dalam khutbah mereka banyak menekankan tentang betapa pentingnya mempunyai aqidah yang bersih dan murni. Di dalam kebanyakan khutbah dan syarahan mereka, lebih 3/4 isinya menyentuh secara dalam akan bab akidah, iman ini, perkara yang lainnya hanya disampaikan secara sampingan atau di waktu-waktu yang lain seperti di majlis tazkirah atau taklim dan sebagainya.

Sewajarnya method dan pendekatan khutbah terutama hari Jumaat dikembalikan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat serta para tabi'in. Hanya dengan demikian InsyaAllah agama akan dapat difahami dan diamalkan oleh jemaah dengan lebih komited lagi berlandaskan aqidah yang jelas, benar lagi mantap.

Agaknya, inilah sebabnya, apa jua tindakan JAWI, JAIS dan lain-lain, tidak mempunyai roh dan dihormati, kerana fungsi asal mereka untuk memantapkan aqidah serta imam seluruh ummah telah dibelakangkan atau dibakul sampahkan. Jika itulah keadaannya, tidak hairanlah Allah langsung tidak mendatangkan pertolongan serta kegerunan kepada badan-badan yang disebutkan tadi. Bayangkan hanya seorang artis yang tak seglamour mana, berupaya menghina PB Agama, sesuatu yang memalukan.

Tak cukup, tak cukup hanya sekadar kalimah...ittqullah.. marilah kita bertakwa kepada Allah bla bla...itu saja...tak memberi erti kalau tanpa dikupas dan dipasak bersungguh sungguh ke dalam lubuk hati para jemaah akan pengertian dan tuntutannya yang sebenar. Halal haram yang perlu dipatuhi, balasan syurga neraka perlu diulang-ulangkan. Sabda Nabi s.a.w. maksudnya lebih kurang "berilah berita tentang amaran Allah kepada manusia sewaktu sihatnya dan berilah berita kegembiraan tentang balasan syurga dan yang baik-baik tatkala manusia itu menghadapi sakratulmaut".

Saya berharap pihak berkuasa Agama tempatan akan dapat membuat post mortem dan kembali kepada cara dan method yang bersesuaian dengan sunnah dan amar ma'aruf nahi mungkar, dalam membuat teks khutbah di masa akan datang. Hanya dengan aqidah, iman yang benar, bersih serta mantap sahajalah segala ibu, bapa dan anak anak segala kemungkaran akan terhumban jauh dari persada muka bumi dan dari setiap hati-hati manusia.

TIADA HADIAH YANG LEBIH BERHARGA DARIPADA NASIHAT YANG BAIK.

Maaf jika terasa pahit, namun ubat semestinya pahit, baru dikatakan ubat.

Pensil Kayu - 19.02.2005

1 comment:

Anonymous said...

Saya tidak terkejut dengan pengalaman saudara tersebut kerana saya pernah mengalaminya dan merasakan betapa bankrap idea PB agama negara ini terutamanya di KL. Dulu masa wabak selsema burung melanda khutbah Jumaat di Masjid Negara membicarakan isu tersebut. Selang dua minggu saya bersembahyang di Masjid Jamek yang sdra sebutkan. Punyalah malang isu dan teks yang sama dipersembahkan melalui mimbar jumaat. Apakah tidak ada isu relevan dan significant umat Islam dewasa ini sedangkan dalam semua media massa bermacam kebejatan sosial berlaku ke atas umat Islam tetpai amat malang isu ayam yang diperbesarkan. Sewaktu persidangan OIC pula mimbar jumaat mengajak umat Islam menjaga kebersihan bandaraya untuk para delegasi dan pelancung. Apa ni! Betul-betul memalukan. Come onlah Jakim dan Bheis. Lakukan sesuatu yang boleh memertabatkan akidah dan fiqah umat islam yang semakin hari semakin diaibkan oleh bukan saja musuh Islam tetapi umat yang mengaku dirinya Islam.........