Oleh Orang Kita
--------------------------------
Dalam sistem kehidupan moden, apakah elemen yang paling penting dalam mengerakkan ekonomi atau sosial masyarakat? Sudah tentunya sistem pengangkutan dan komunikasi. Fungsi sistem pengangkutan dan komunikasi merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Nak ke masjid, pasar, menziarahi sahabat, berperang, berjihad, mencari rezeki dan seumpamanya memerlukan sistem pengangkutan dan komunikasi yang baik. Kerana itulah untuk memajukan sesebuah negara, sistem pengangkutan dan komunikasi mestilah dimajukan dulu. PM terdahulu, Tun Dr Mahathir mengetahui hal ini tetapi sengaja gagal untuk mengetahui bahawa kedua-duanya perlulah diminimumkan kos dan dioptimumkan penggunaannya. Bagi beliau, barangkali value for money tak wujud dan yang ada mungkin value for cronies. Itulah pasal tol sentiasa naik walaupun jalan sentiasa turun, poket kroni semakin tebal sementara poket rakyat makin kempis.
Dalam tubuh badan kita sebenarnya mempunyai sistem pengangkutan dan perhubungan yang sangat canggih. Apa taknya, sistem perhubungan badan mampu memberi isyarat kepada otak secepat cahaya melalui deria-deria pancaindera (panca = lima dan pancaindera maknanya lima deria) ataupun hubungan telepati dalam kapasiti yang tak terhingga jumlah dan banyaknya. Teknik sistem perhubungan ini sedang ditiru oleh manusia bagi mengimplementasikan sistem komunikasi canggih yang dinamai teknologi neuron. Teknologi ini mampu membuat komunikasi melebihi beberapa gigabit sesaat.
Orang Kita bukan sangat nak berbicara tentang teknologi manusia sekarang, tetapi manusia terlalu lemah dan hanya meniru teknologi yang Allah SWT berikan sama ada secara langsung atau tidak.
Sistem Komunikasi Saraf Manusia
Manusia mempunyai dua sistem saraf iaitu Sistem saraf tunjang dan Sistem saraf Autonomik. Dalam sistem saraf tunjang, otak berperanan penting untuk mengawal setiap pergerakan anggota badan seperti berdiam diri, menahan nafas, makan, minum dan seumpamanya. Selain dari itu, terdapat pergerakan yang tidak mampu dikawal oleh sistem saraf tunjang seperti pengepaman jantung, aliran darah, penghadaman makanan, berfikir dan seumpamanya. Semua perkara ini dikendalikan oleh sistem saraf autonomik. Mampukah kita menahan jantung mengepam atau menghentikan aliran darah? Sudah tentu otak tak mampu berbuat demikian. Dalam hal ini, bukan kita yang mengawal diri kita sepenuhnya, tetapi Allah jua yang berkuasa melakukannya. Kita merancang tetapi Allah menentukannya. Ini bersesuaian juga dengan hukum Kada dan kadar Allah. Dalam badan kita ada dua sistem saraf dan dalam urusan manusia dengan Allahpun, ada dua sistem iaitu sistem kada dan sistem kadar Allah SWT. Kita mengawal satu sistem (pun dikawal sebenarnya oleh Allah) Allah mengawal yang lain. Kita mampu menahan nafas, tetapi hanya Allah mampu menahan pergerakan jantung dan aliran darah. Manusia membunuh tetapi Allah jua yang mematikan. Manusia sentiasa memerlukan Allah untuk hidup.
Sistem Pengangkutan Darah
Sekiranya setiap salur darah kita disambung, jaraknya melebihi dari dua kali lilitan bumi di Khatulistiwa. Saluran darah mengalirkan darah ke seluruh badan. Apakah fungsi darah? Darah mempunyai enam fungsi besar iaitu:-
a. Mengangkut oksigen ke seluruh badan yang memerlukannya
b. Mengangkut hormon ke seluruh badan yang memerlukannya
c. Mengawal suhu badan manusia
d. Melawan dan membunuh kuman
e. Mengeluarkan bahan buangan (toksik) dari badan
f. Mengangkut mineral ke seluruh badan yang memerlukannya
Bagi menjalankan fungsi-fungsi itu, sistem aliran darah hendaklah cekap dan darah itu sendiri hendaklah cekap juga. Sistem aliran darah yang cekap bermakna aliran yang tidak tersumbat dan darah mampu mengalir pantas ke destinasinya. Biasanya enapan kolesterol menjadikan saluran darah kita tersumbat. Saluran darah yang tersumbat boleh dibaiki dengan kaedah pintasan saluran darah (seperti pintasan koronari) ataupun secara angioplasty. Itupun untuk menyelamatkan jantung daripada berhenti berfungsi.
Bagaimana menjadikan darah kita cekap dalam melaksanakan fungsinya? Bagaimana melancarkan perjalanan enjin kereta – tukarkan minyak hitam mengikut jangka masa tertentu. Bolehkah kita menukar darah kita yang tidak cekap? Sudah tentu tidak. Darah yang mengalir dalam tubuh kita adalah darah yang sama sejak kita dilahirkan.
Pernahkah kita bandingkan darah kanak-kanak dengan darah orang dewasa atau darah orang sakit. Bagi siapa yang pernah membandingkannya, sudah tentu mereka mendapati bahawa darah kanak-kanak lebih cair sementara darah orang dewasa lebih likat (pekat). Sistem darah mana yang lebih cekap – sudah tentu sistem darah kanak-kanak. Ini menunjukkan darah yang lebih cair lebih cekap dari darah yang likat. Hipotesis ini perlu dibuktikan juga.
Pelbagai Bidang Perubatan
Orang kita suka membaca buku-buku perubatan terutama sekali perubatan moden, perubatan homeopati, perubatan Islam, perubatan alopathi, perubatan Cina tradisional dan perubatan-perubatan lain. Semuanya boleh dipercayai, tetapi siapa yang tahu apakah hubungan di antara cabang-cabang ilmu perubatan itu. Siapa yang mengkaji kesemuanya. Doktor perubatan moden percaya pada bidangnya dan tidak percaya pada cabang yang lain. Kalau habis ikhtiar, doktor moden suruh ikhtiar cara lain seperti cara tradisional. Ramai yang tahu, tapi tak tahu sebabnya.
Dalam perubatan moden, mana yang tersumbat dibaiki, mana yang rosak diganti. Dalam perubatan homeopati, pengubatan asas hendaklah dititikberatkan. Kalau asasnya kuat, penyakit tak hinggap. Perubatan ayur veda pula menggalakkan yoga.
Perubatan Islam mengubat penyakit dengan doa dan ikhtiar seperti menggunakan bijian hitam (habbatus sauda). Banyak penyakit disebabkan oleh gangguan jin juga.
Dalam perubatan Cina tradisional, penyakit boleh diubati dengan mengawal pengaliran tenaga dalam (chi) dalam badan. Kalau nak sihat amalkan latihan taici.
Bukankah semua bidang ini ada kaitan dengan yang lain? Kenapa tak dicari titik-titik pertemuan di antara bidang-bidang ini?
Ada siapa tahu mengapa dalam perubatan homeopati menggalakkan rumah kediaman supaya sentiasa nyaman – jangan gunakan bumbung zink (gunakan genting atau atap rumbia lagi baik), jangan gunakan periuk aluminium atau tembaga (gunakan periuk tanah atau kaca), jangan gunakan penyaman udara (gunakan pancuran air bagi menyejukkan rumah), jangan makan makanan-makanan yang telah ditinkan dan macam-macam lagi.
Ada sesiapa tahu kenapa dipetuakan berubat di hutan belantara atau di kawasan yang mempunyai pemandangan indah lebih baik dari di hutan batu? Pesakit pasca pembedahan pintasan koronari digalakkan berjalan di kawasan belukar pada waktu pagi sebelum mentari menyinar. Kenapa?
Hasil Kajian Orang Kita
Hasil dari kajian Orang Kita, Orang Kita berpendapat bahawa :-
a. Punca setiap penyakit adalah disebabkan oleh darah kita sendiri. Kalau nak tahu tentang penyakit kita, buatlah ujian komprehensif darah di makmal pathologi. Hasilnya tentu menakjubkan, kita akan tahu apa penyakit yang kita hadapi atau bakal kita hadapi. Sistem darah yang cekap dan darah yang cekap mampu menjalankan keenam-enam fungsi sebagaimana yang dinyatakan di atas dan melawan setiap penyakit kecuali penyakit mati.
b. Darah yang cair lebih cekap dari darah yang likat. Darah yang likat disebabkan oleh kandungan ion positif yang tinggi dan toksik yang melampau. Lihat darah orang yang dihinggapi penyakit buah pinggang. Bandingkan darah sebelum dan selepas proses haemodialisis.
c. Ion positif menyebabkan darah menjadi berasid. Asid utama dalam darah adalah asid urik (air kencing dinamai urine). Asid urik adalah toksik dan kebanyakan haiwan mengeluarkan 80 peratus asid ini dari badan sementara babi pula menyimpan 80 peratus asid dalam darah. Barangkali di antara sebab saintifik babi diharamkan adalah kerana kandungan asid uriknya yang tinggi. Islam mengharamkan makan darah kecuali darah ikan dan belalang. Tujuan penyembelihan di leher adalah bagi mengoptimumkan pengeluaran darah iaitu mengoptimumkan pengeluaran asid urik dari badan haiwan sembelihan.
d. Ion negatif menjadikan darah lebih cair dan menjadikan darah berfungsi dengan baik. Ion negatif terdapat banyak di kawasan-kawasan hutan dan pinggir-pinggir terutama sekali pada waktu malam dan pagi. Udara di sana lebih segar dan nyaman. Berubat di sana lebih baik. Lepas hujan juga banyak ion negatif, sebab itu lepas hujan lebih segar. Kalau panas (ion positif banyak), pergilah mandi dan menghirup ion negatif yang dirembeskan oleh air.
e. Ion negatif menyebabkan darah bersifat alkali. Darah yang bersifat alkali lebih cair dan mampu menyerap lebih banyak oksigen. Darah yang cair juga mampu membawa lebih banyak mineral dan hormone ke seluruh badan. Darah yang cair juga mampu mengangkut toksik dan bahan-bahan buangan badan seperti air kencing dan karbon dioksida keluar dari badan.
f. Garam menjadikan darah menjadi likat dan berat. Orang yang ada darah tinggi, elakkan garam yang berlebihan. Garam berlebihan ibarat penumpang tak produktif dalam darah.
g. Penggunaan periuk logam (aluminium dan tembaga contohnya) akan menjadikan kandungan ion positif logam memasuki makanan dan seterusnya memasuki badan kita. Darah akan menyerap ion positif tersebut.
h. Ion positif daripada tin akan meresap ke dalam makanan-makanan yang terkandung dalamnya. Kurangkan pengambilan makanan dalam tin. Selain dari itu bahan-bahan pengawet dan asid borik yang digunakan menggalakkan pengeluaran ion positif oleh tin logam yang digunakan.
i. Ion positif juga dihasilkan oleh bumbung zink atau bumbung logam yang lain. Genting dan atap rumbia tidak mengeluarkan ion positif. Penyaman udara mengeluarkan ion positif sementara pancuran air mengeluarkan ion negatif.
j. Air yang terkandung dalam bekas dan terdedah kepada cahaya matahari mempunyai banyak ion positif. Kita tidak digalakkan meminumnya. Ada yang mengatakan makruh meminumnya.
k. Ion negatif adalah tenaga dalam. Perubatan Cina mengajar bagaimana mengalirkan ion negatif dalam badan ke tempat-tempat yang sakit. Belajarlah taici. Taici pun ada taici pagi dan taici petang. Yoga juga berfungsi dalam mengalirkan ion negatif dalam badan.
l. Perbanyakkan senaman kerana senaman boleh mengimbangkan pengaliran ion negatif dalam badan. Sebenarnya ion negatif inilah yang membolehkan kita bergerak hasil dari tindakan stimuli ke atas otot. Buatlah senaman di kawasan taman atau pinggir kampung atau pinggir hutan kerana ion negatif banyak di sana.
m. Makanan-makanan seperti daging, hasil-hasil daging, makanan laut dan kekacang mempunyai banyak ion positif. Imbangkan pengambilannya. Orang yang ada gout dilarang mengambil makanan-makanan itu. Gout disebabkan oleh kristal hasil asid urik yang terperangkap pada sendi yang akan bergeser apabila digerakkan. Sakit wooooooo
n. Arak mengandungi banyak asid. Haram mengambil arak kerana bukan sahaja merosakkan darah tetapi minda. Lagipun yang haram tetap haram.
o. Imbangkan pengambilan makanan-makanan yang masam. Nabi pesan jangan banyak makan makanan masam kerana asid dalam makanan itu menumpulkan minda kita. Tahukah kita bahawa dalam makanan asam (seperti asam boi) banyak mengandungi bahan pengawet dan asid borik. Bahan-bahan itu adalah toksik kepada badan.
p. Banyakkan makanan yang mempunyai ion negatif seperti sayur-sayuran segar. Awas, racun perosak dalam sayuran menjadi toksik kepada badan kita. Sayur organik ada banyak ion negatif.
q. Jin diperbuat daripada api. Makanan jin adalah hasil dari api seperti asap. Api mempunyai ion positif. Dalam kajian fengsui, kehadiran makhluk halus ini (jin) boleh dikesan dengan kehadiran ion positif yang melampau di tempat-tempat tertentu.
r. Allah jadikan ilmu itu satu dan manusia yang membahagi-bahagikannya. Ada bidang kimia dan bidang biologi dan yang menyambung kedua-duanya adalah bidang biokimia. Bidang kimia fizik menyambungkan bidang kimia dan bidang fizik.
s. Bidang usuludin dan bidang feqah ada hubungannya. Bidang munakahat ada kaitan dengan bidang jinayah Islam. Bidang siasah dan bidang syariah dihubungkan oleh bidang siasah syariah.
t. Bidang utama agama dan bidang sains sudah tentu ada hubungannya. Banyakkan kajian dam penyelidikan. Jangan jadi sekular yang memisahkan kedua-duanya.
u. Kenapa menyusahkan kalau kita boleh memudahkan. Tuhan jadikan setiap perkara berpasang-pasangan, ada ion positif dan ada ion negatif. Imbangkan kedua-duanya.
Orang Kita bukan pakar dalam apa-apa bidang perubatan. Harap boleh dikomen oleh siapa sahaja. Orang Kita perlukan komen-komen itu. Maaf kalau salah eja atau salah tata bahasa sebab Orang Kita tak pandai dalam bidang ini. (Setelah disemak/sunting dan melakukan pembetulan ejaan dan tata bahasa, artikel ini masih boleh diberikan gred 1A! - Penyunting)
Sekian.
Dari Orang Kita - 13.02.2005
1 comment:
Thanks 4 info
btw let me copy this article
thank
Post a Comment