Jika sebuah parti politik diibaratkan sebagai tubuh badan, maka darah yang menghidupkan badan tersebut adalah propaganda. Tanpa penyampaian propaganda yang efektif dan meyakinkan, tubuh akan terkulai layu.
Dunia moden yang berasaskan teknologi tinggi menyaksikan penyampaian maklumat secara hampir serta-merta, melalui wadah televisyen, radio dan internet, di mana keputusan menyokong sesebuah perjuangan kerapkali bergantung kepada emosi yang tercetus daripada propaganda.
Propaganda kerapkali diertikan sebagai sebuah perkara yang buruk. Malangnya, kebanyakan rakyat tidak rasional. Pemilihan pucuk pimpinan kerapkali tercetus daripada kepentingan peribadi, emosi marah atau tradisi yang memang sudah lama menjadi darah daging. Tidak mudah untuk mengubah fe’el pengundi. Oleh itu propaganda menjadi sangat penting.
PKR mungkin menganggap propaganda tidak berapa perlu kerana ikon reformasi, Anwar Ibrahim, sudah cukup untuk menjadi penghambat hati masyarakat. Fanatisme penyokong PKR yang totok Anwar Ibrahim telah terbukti sepanjang enam tahun yang lepas. Walhal, pemimpin Melayu yang segah Anwar Ibrahim, di mana pengikutnya sanggup masuk penjara demi mendepani nasib beliau, adalah suatu kejanggalan dalam sejarah negara, kecuali mungkin Harun Idris dalam tahun 1960an.
Namun, sikap sebegini, gagal diterjemahkan kepada sokongan dalam pilihan raya. Pengundi Melayu memberi simpati kepada Anwar Ibrahim, tetapi undi mereka berpihak kepada Pas. Malah, pilihan raya umum terbaru melihat paksi mereka berpesong kembali kepada Umno.
Akhirnya PKR “syok sendiri”. Pimpinannya mengaum umpama harimau bila ditegur sedangkan mereka hidup dalam dunia angan-angan di mana sokongan rakyat semakin surut dan pengundi naik menyampah melihat gelagat mereka yang angkuh dengan jawatan masing-masing dan enggan menerima sebarang teguran, sungguhpun ikhlas.
Terbaru, para penulis laman ini diberi amaran oleh sekretariat dan pimpinan PKR jika mereka terus menulis untuk Malaysia Today, mereka harus melepaskan jawatan dalam parti. Perangai ini tidak ubah seperti Umno yang suka menyeru ahli supaya menggunakan “saluran yang betul” bila ingin memadamkan kritikan daripada peringkat bawahan.
Barangkali, fenomena merosotnya sokongan rakyat inilah yang cuba ditangani dengan perlantikan Tian Chua, seorang hero reformis jalanan yang berpengetahuan luas sebagai gerilya sepanduk, sebagai Ketua Penerangan PKR.
Sememangnya PKR mengharapkan Tian dapat mengembalikan dokongan rakyat yang membuak-buak dalam tahun-tahun 1998 dan 1999, yang dihampakan dengan sikap mantan penjawat tugas tersebut iaitu Ruslan Kassim yang pandai berpidato, tetapi gagal sebagai seorang strategis propaganda.
Kegagalan Ruslan adalah kerana sifatnya yang tidak merangkum lapisan penyokong PKR yang berpotensi wujud daripada pelbagai golongan, kaum, umur, strata sosial dan fahaman politik. Ruslan pincang bila diidentifikasi sebagai puak Abim, yang mana paling banyak pun hanya 30% daripada ahli-ahli PKR. Ruslam lebih Abim dan Umno daripada PKR.
Pengganti Ruslan, Khalid Jaafar pula seorang seniman yang berjiwa ultra-liberal – malah hedonis - jauh melampaui zamannya. Bila mana rakyat mahukan maklumat mengenai aktiviti parti dan pemikiran Anwar Ibrahim, Khalid lebih senang membicarakan kitab Mahabrata dan Ramayana yang dicetaknya sebagai kartun dalam dada akhbar utama parti tersebut. Imaginasi Khalid yang ganjil (kata hormat untuk gila-gila bahasa) turut mencapekkan usaha PKR meyakinkan rakyat.
Tian bukan sahaja seorang ilmuwan yang setara, malah mungkin lebih cerdik daripada Khalid. Lebih penting, berbeza dengan Khalid, Tian adalah pujaan golongan massa yang turun ke jalan-jalan. Banyak strategi jalanan itu hasil buah fikiran Tian, yang jika hidup di negara China di zaman Mao, tentu sudah menggondol anugerah “Wira Marhaen” buat kesekian kalinya.
Mungkin Tian dilihat akan kurang berkesan kerana kaumnya. Namun, sebagai orang Tionghua, Tian amat penting untuk strategi jangka panjang PKR. Orang Melayu rata-ratanya puitis dan terpukau dengan dayu-dayu Anwar Ibrahim yang merupakan pemidato hebat. Namun, orang Cina masih tidak tersentuh dan jauh daripada perjuangan PKR. Anwar Ibrahim mahu menggunakan Tian untuk mengubah “arus tengah” supaya sedikit sokongan Cina berpihak kepada PKR.
PKR tidak perlukan majoriti sokongan Cina. Hanya 30% sahaja daripada pengundi Cina berubah, PKR sudah mampu memenangi majoriti kerusi parlimen yang ditandinginya (hampir 25 kerusi). Apatah lagi, hampir setiap kali, DAP berjaya mengekalkan 50% atau lebih sokongan bukan Melayu. Dalam keadaan itu, PKR mungkin dapat menarik “ahli goyah” pakatan BN, seperti Gerakan, untuk terjun kapal Abdullah dan masuk tongkang Anwar.
Namun, tugas Tian bukan mudah. Selama enam tahun lepas, pelbagai propaganda mengarut dan bohong muncul daripada perut PKR. Hasilnya, rakyat merasa tertipu. Pelbagai taktik PKR, terutamanya enam kotak rahsia yang dipelopori Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Nor dan pencalonan anugerah Nobel Keamanan untuk Anwar Ibrahim yang didepani oleh Ketua Wanita Fuziah Salleh, sedikit-sebanyak melunturkan kepercayaan massa terhadap PKR. Apa pun alasan mereka, propaganda tersebut akhirnya tidak membuahkan hasil jangka panjang yang membanggakan untuk PKR.
Turut mencacatkan propaganda PKR adalah Naib Presidennya Azmin Ali yang kerapkali lebih sudu daripada kuah. Azmin kerap kali cuba minum air sambil menyelam – jika ada berita utama PKR, Azminlah yang mendapat kredit, walaupun kerapkali terbukti maklumatnya itu digembar-gemburkan.
Contoh terbaru ialah propaganda sasar Azmin mengenai lawatan Anwar Ibrahim ke Oxford. Walaupun Harakah termakan gula-gula Azmin dan menyatakan Anwar Ibrahim adalah pensyarah kehormat atau pensyarah jemputan di universiti tersebut, ternyata Azmin hanya membesar-besarkan cerita.
Sebenarnya Anwar Ibrahim di Oxford hanyalah seorang “ahli bersekutu kanan”. Maksudnya, Anwar Ibrahim mentelaah di Oxford umpama seorang pelajar siswazah dan belum layak digelar ahli penuh universiti seperti graduan yang lain, termasuk naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Hampir 20% isi pusat St Antony tersebut menjawat jawatan sama dengan Anwar Ibrahim iaitu 60 orang setiap tahun daripada jumlah isi sebanyak 330 orang kesemuanya.
Menurut maklumat daripada universiti tersebut, jawatan ini adalah salah satu pangkat yang diberikan kepada orang yang ingin tinggal di universiti tersebut, tetapi membayar yuran seperti seorang pelajar biasa untuk menggunakan kemudahan pusat tersebut Dia juga terpaksa menanggung sendiri ongkos hidup, wang saku, makan minum dan termasuk juga sewa rumahnya, sepanjang di universiti tersebut.
Keasyikan Azmin untuk mewar-warkan Anwar Ibrahim menjadikan tokoh itu gergasi di persada Oxford, sedangkan sehingga waktu kolum ini ditulis (Isnin, 7 Februari 2005), “syarahan khas” yang bakal diberi oleh Anwar Ibrahim mengenai ‘Islam moderate’ masih belum terpapar dalam jadual pengajian Asia dan khas di laman web pusat tersebut (www.sant.ox.ac.uk).
Kesemua karenah ini harus ditangani dengan bijak oleh Tian. Pemimpin PKR yang terpelanting semenjak enam tahun lepas tahu Anwar Ibrahim mempertahankan Azmin umpama harimau beranak sulung yang mempertahankan anaknya.
Namun, untuk PKR berjaya, propaganda melampau yang seakan-akan memperbodohkan rakyat ini harus dipinggir, malah disisihkan. Zaman telah berubah dan PKR tidak lagi mampu untuk memperjudikan nasibnya di tangan ahli propaganda bertaraf amatur.
Selamat berjuang Tian. Semoga usahamu berjaya menghasilkan PKR yang benar-benar layak mendapat sokongan majoriti rakyat.
- dipetik drp Malaysia Today
No comments:
Post a Comment