Monday, January 31, 2005

TAG: Bila Wakil Rakyat Mabukkan Tarian Gelek

Oleh MGG Pillai

Ada segelintir wakil rakyat dan pegawai kerajaan yang membuat pilihan pergi bercuti sambil menghabiskan wang rakyat jelata. Rencana awal mereka ialah bercuti ke Morocco (Maghribi) tetapi akhirnya mereka mengubah destinasi mereka ke Mesir. Daripada sekumpulan tiga belas yang dikira layak, tiga orang telah memilih untuk mengundurkan diri. Untuk mengelak daripada tuduhan mereka pergi berfoya-foya, lawatan itu diwar-warkan sebagai lawatan sambil belajar. Selama lapan hari lawatan yang disytiharkan sebagai kunjungan rasmi itu, mereka dijadualkan melawat Parlimen Mesir dan mengunjungi pelajar Malaysia di Kaherah. Inilah yang disebut sebagai lawatan sambil belajar, sedangkan hakikat sebenar mereka pergi melancong sahaja. Bayangkanlah mereka akan melawat tapak purba zaman silam termasuk menonton tarian gelek kerana ada ura-ura untuk menjadikannya bahan tarikan pelancong di Malaysia pula. Kumpulan itu sudah pun bersiap sedia untuk berlepas sebelum kisah itu terbongkar.

Inilah kisah sebenar terjadi kepada Jawatankuasa Akaun Awam Selangor (PAC), yang ditugaskan untuk menyelia pembaziran wang rakyat di negeri itu. Mereka telah merancang jadual itu secara berahsia dan kerajaan negeri sudah pun meluluskannya. Semua itu dianggap sebagai pampasan dan imbuhan kepada wakil rakyat serta keluarga mereka untuk pergi melancong dengan menggunakan wang rakyat. Satu ketika dahulu kerajaan Melaka pernah menganjurkan rombongan yang seakan-akan sama untuk pergi ke Disney World (Amerika). Ketua Menteri terpaksa bergegas pulang ke Melaka untuk sementara waktu apabila Perdana Menteri datang melawat ke negerinya dan kembali semula ke Amerika untuk meneruskan jadualnya berfoya-foya.

Perkara semacam ini bukanlah benda pelik di Malaysia. Ia juga berlaku di Singapura yang begitu megah dengan ketelusan kerajaannya. Di sana imbuhan semacam itu dianggap sebagai pampasan kerjaya. Cuma perkara semacam ini diputar-putarkan di Malaysia dengan perancangannya dibuat secara berahsia sahaja. Sehinggakan rakyat yang mengundi mereka tidak akan tahu-menahu akan hal itu. Untuk mengelak kebocoran rahsia seperti itu, agenda lawatan hanya dinyatakan pada saat-saat terakhir sahaja, agar orang awam mengetahuinya hanya pada saat terakhir juga.

Sememangnya orang awam dan rakyat jelata mempunyai asas yang kukuh untuk naik mual dengan cara penipuan begitu. Memang kena pada tempatnya kalau rakyat naik marah kerana merekalah yang mengundi wakil rakyat itu untuk menduduki kedudukan yang mereka nikmati sekarang; baik di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri.

Wakil rakyat daripada DAP bukanlah orang baru dalam sepak terajang politik. Beliau sedar segala tekanan yang akan dihadapinya. Keupayaan beliau menentang arus adalah untuk tujuan kepentingan politiknya juga. Beliau sedar apabila ada akhbar perdana yang terhidu akan rencana seperti ini beliau sudah pasti akan diberikan liputan akhbar yang meluas untuk menaikkan imej politiknya. Apabila wakil rakyat MCA dan UMNO sedar mereka akan terlepas habuan yang mengghairahkan itu telah bersepakat untuk menyerang wakil rakyat DAP itu dengan meminta beliau membayar gantirugi kerana lawatan yang dibatalkan, tidak kiralah ada beberapa ahli rombongan lain yang turut mengundurkan diri. Apa pun, setelah terdedah kisah sebenar, mereka telah kehilangan rasa hormat rakyat yang mengundi mereka.

Kerajaan Malaysia dan Selangor yang dipimpin oleh UMNO bagi pihak BN telah diam membisu dan tidak mahu taufan cangkir-kopi menjadi ribut yang besar ala tsunami. Mereka tidak mahu kelihatan terlibat dalam kemelut ini, dan mengambil sikap diam membisu sahaja. Begitulah sikap mereka apabila tersiar kisah syarikat swasta yang memandai-mandai dengan Undang-undang sendiri, keadaan universiti yang sudah bertukar menjadi kilang mengeluarkan ijazah ataupun degree sahaja, keadaan pegawai kerajaan yang mempunyai sikap perkauman, kurang cekap dan semakin cenderung ke arah teokrasi. Begitu juga dengan kisah segala kelemahan pengurusan kerajaan yang sudah mencapai satu fantasi disebabkan sistem pengurusannya yang haprak dan tidak mampu diperbetulkan lagi.

Tidak kiralah apakah isunya sekarang ini: termasuklah kisah pengendali lebuhraya PLUS yang mahu mengenakan denda kepada pengguna jalan raya yang lewat sampai ke destinasi mereka. Tindakan PLUS itu berpunca daripada keupayaan segelintir pengguna lebuhraya untuk meraih keuntungan dengan memanipulasi kemudahan yang ada mengikut sistem yang diamalkan oleh PLUS. Apabila orang ramai membantah, PLUS berdegil dengan menyebut ada klausa yang membenarkan mereka berbuat demikian dalam perjanjian mereka dengan kerajaan. Kabinet telah menegah PLUS agar tidak melaksanakan perkara itu tetapi PLUS tetap berdegil juga. Kemudian muncul kisah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak semacam PLUS juga dalam insiden membabitkan ‘blackout’ yang meliputi bahagian selatan Semenanjung baru-baru ini. TNB telah menuduh banyak pihak kecuali dirinya sendiri kerana berlakunya gangguan bekalan elektrik itu. Demikian juga halnya dalam kisah bank yang menaikan kadar caj kepada ahli dan pelanggannya. Inilah yang menjadi budaya kerja mereka, mahukan orang lain menampung kos kesilapan bank itu sendiri.

Tidak ada satu sudut kehidupan di Malaysia ini yang terjejas oleh kehaprakan semacam ini, sekarang. Sistem pengangkutan awam sudah pun berkecamuk. Satu ketika dahulu sistem pengangkutan memang kelihatan cekap tetapi telah dicemari oleh campurtangan politik yang mahukan orang Melayu menjadi tuan punya sistem itu. Satu sistem baru telah diwujudkan untuk memberi keuntungan besar kepada para kroni, tetapi itulah sistem yang tidak dapat bertahan lama. Setiap kali wujudnya sistem yang cekap, kerakusan politik Melayu tidak akan membiarkannya berjalan seperti itu. Kalau muncul suara membantah, kerajaan akan bertegas bahawa hanya kerajaan sahaja yang pandai mengurus. Orang yang mengeluarkan kata-kata ‘sumbang’ itu akan ditangkap dan dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dasar pengurusan kerajaan dibuat sambil lewa, selalunya diumumkan sebagai agenda tempelan dalam majlis perasmian sesuatu majlis membuka restoran ataupun kedai bunga. Dewan Parlimen dan perundangan negeri hanya merupakan dewan tukang angguk sahaja dan untuk mengatur majlis lawatan luar negara secara berahsia. Kerajaan Barisan Nasional bertugas mengikut satu hukum alam yang amat mudah; yakni jangan mengaku setiap kesalahan. Jangan utarakan pengadilan; Serang untuk melencungkan perhatian. Dan tunjukkan sikap berdalih apabila ditangkap.

Semua inilah yang mengundang pelbagai bencana kerana keangkuhan serta kelalaian adalah amaran awal kepada segala musibah yang akan melanda. Keengganan melayani segala kelemahan itu sejak dahulu lagi untuk membolehkan para kroni hidup senang-lenang memerlukan usaha mencetuskan pelbagai isu lain sebagai pelencung sahaja. Kita tidak perlu merenung jauh ke zaman silam untuk mengetahui segala kelemahan ini. Apabila sesuatu tindakan itu dibuat secara rahsia untuk memudahkan kerakusan seseorang individu, tidak lama kemudian, tindakan itu akan melibas kembali menghenyak individu yang sama. Segala pakatan untuk melindungi kerakusannya tidak dapat bertahan lama kerana lambat-laun akan terdedah juga.

Sistem politik Malaysia sudah lama dilanda krisis sejak 1988 apabila Perdana Menteri ketika itu (Mahathir Kepala Taik) bertindak mendendam dan melepaskan geram. Sebagai Presiden UMNO yang merupakan satu pergerakan massa dia telah bertindak buas menjadikan UMNO sebagai sebuah parti politik. Selama satu dekad UMNO dapat bertahan kerana keupayaan seorang insan (yang menjadi Timbalan Presiden parti itu, dan juga Timbalan Perdana Menteri) bernama Anwar Ibrahim. Sejurus Anwar dipecat, diaib dan dipenjarakan UMNO pun menjadi retak seribu. Jikalau musibah tidak dikenakan terhadap Anwar, UMNO mungkin mampu bertahan untuk satu ketika yang lama lagi. Orang Melayu sanggup berkorban nyawa kepada UMNO yang merupakan pergerakan bangsanya dan bukan kepada UMNO sebagai sebuah parti politik. Apabila UMNO bangkit menentang UMNO sekarang ini jelas menunjukkan betapa parti itu turut dilanda budaya celaru yang semakin menghantui orang Melayu. Semua parti komponen BN yang berteraskan bukan-Melayu turut menjadi keliru dan berpecah-belah sehingga turut membebankan UMNO juga.

UMNO sudah pun kehilangan bisa dalam pentadbiran kuasa seperti yang pernah dinikmatinya. UMNO sudah berpecah menjadi berpuak-puak mengikut pengaruh beberapa panglima perang yang menunjukkan kukunya. Presiden partinya, Abdullah Ahmad Badawi sudah turut terjebak dalam jaringan kepalsuan politik bikinan sendiri sehingga mudah diperkotak-katik oleh panglima perangnya sendiri yang memang sedia dicabar oleh panglima perang dari kem yang lain. Usaha beliau berunding dengan Singapura mengenai beberapa isu yang tertangguh telah terbantut begitu sahaja kerana beliau tidak mendapat kata sepakat pemimpin UMNO yang lain. Beliau berfikiran perkara semacam itu dapat diatasi dengan melengah-lengahkannya. Akan tetapi tindakan berlengah-lengah itu telah menarik minat beberapa pemimpin politik dan tokoh korporat yang berfikiran mereka dapat menangguk di air yang keruh. Pemimpin Melayu di pihak pembangkang sudah faham bagaimana caranya melumpuhkan pemimpin UMNO itu semuanya. Parti-parti Cina dalam BN dan juga pembangkang sudah bersiap sedia untuk memberikan kerjasama mereka. Skandal yang membabitkan PAS Selangor hanyalah percikan bunga api yang akan meledak dalam gelora politik yang akan penuh dengan warna-warninya.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com

Terjemahan MT-SPAR - 31.01.2005

No comments: