Tuesday, January 25, 2005

Puliharaan Alam Sekitar

Oleh Pak Ngah

Usaha PM atau sesiapa sahaja yang ingin memelihara alam sekitar amat di sokong. Sudah terlalu banyak kerosakan dibuat oleh tangan-tangan Manusia sendiri. Apakah yang telah berlaku kepada kawasan tadahan air kita di Malaysia ini sebagai contohnya, balak ditebang, bukit diratakan, bukit dijadikan kawasan pembangunan dan Pelancongan Perjudian, Laut ditambak untuk pembangunan dan berbagai tindak laku orang yang sentiasa tamak dan ingin mengaut keuntungan duniawi semata-mata.

Jika kita perhalusinya, siapakah yang bertanggungjawab? Apakah rakyat yang bersalah atau Pihak berkuasa tempatan atau Kerajaan yang memerintah. Hakikatnya semua kebenaran dan kelulusan adalah diberikan oleh Pihak Kerajaan Semasa yang memerintah iaitu Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Mereka perlu bertanggungjawab diatas semua kerosakan yang telah berlaku sama ada suka atau tidak.

Jadinya, apakah yang dilaung-laungkan oleh PM di Paris itu satu gesaan kosong atau ianya sama seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul dan ianya satu retorik dan hanya untuk dibentang, diucapkan sahaja. Cakap sahaja tetapi tak serupa bikin ……… Diperlihatkan gesaan PM, namun kita terus menyokong gesaan ini yang selaras dengan keperluan naluri setiap umat;


Pulihara alam sekitar - PM --
Abdullah gesa masyarakat dunia bergabung cegah kemusnahan
Daripada: ZAINI HASSAN
PARIS 24 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menggesa masyarakat antarabangsa supaya bergabung tenaga dalam proses pemuliharaan alam sekitar, sebelum satu-satunya kediaman manusia ini dibinasakan akibat kegelojohan dan ketamakan mereka.


Dengan mengambil contoh tragedi tsunami yang melanda rantau Asia dan mengorbankan ratusan ribu nyawa, Perdana Menteri berkata, Tuhan mencipta manusia dan alam sekitar bergantungan antara satu sama lain.


Beliau menegaskan, pembangunan melibatkan dua unsur ini tidak boleh dibuat atas faedah masing-masing, sebaliknya harus atas dasar kepentingan bersama.

"Kita mungkin tidak boleh melawan kuasa alam, tapi kita boleh mengambil langkah pencegahan bagi meminimumkan kesan daripada kemusnahannya," katanya dalam ucapan bertajuk Biodiversiti untuk faedah generasi sekarang dan masa depan pada Persidangan Antarabangsa Biodiversiti: Sains dan Urus Tadbir, di sini hari ini.

Sebagai contoh jelas bagaimana Kerajaan UMNO bermain sandiwara atau sememangnya mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku ataupun inilah sikap talam dua muka atau gergaji dua mata atau telah dibudayakan hipokrasi sebagai Jalan pilihan mereka. Lihat petikan di bawah dengan memberikan perhatian perkara berikut:

Inilah kata-kata mula mereka seolah-olah sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin:

Ketika kerajaan sedang giat memulihara hutan paya bakau sebagai benteng penahan ombak, ada segelintir pihak di sini lebih gemar membangunkan kawasan tersebut sebagai kolam penternakan udang hingga memusnahkan flora dan fauna bernilai tersebut.

Tetapi sila perhatikan pula ayat ini: Adakah sikap mereka ini umpama 'baling batu sembunyi tangan', sedangkan mereka jugalah sendiri yang memusnahkan flora dan fauna tersebut:

Kegiatan yang dijalankan oleh sebuah syarikat tempatan menerusi projek agensi kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu itu menimbulkan kebimbangan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) bahawa kemungkinan hutan tersebut akan pupus sedikit masa lagi.

Petikan berita tersebut seperti mana di perlihatkan di bawah ini:

Aktiviti ternakan udang musnahkan hutan bakau
Oleh:
ZULKIFLI JALIL
BALIK PULAU 24 Jan. - Ketika kerajaan sedang giat memulihara hutan paya bakau sebagai benteng penahan ombak, ada segelintir pihak di sini lebih gemar membangunkan kawasan tersebut sebagai kolam penternakan udang hingga memusnahkan flora dan fauna bernilai tersebut.

Aktiviti penternakan udang harimau secara besar-besaran yang dijalankan di kawasan Kuala Jalan Bahru hingga Kuala Sungai Pinang, Pulau Betong di sini mengakibatkan kemusnahan sebahagian besar hutan tersebut yang dianggarkan lebih satu kilometer.

Kegiatan yang dijalankan oleh sebuah syarikat tempatan menerusi projek agensi kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu itu menimbulkan kebimbangan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) bahawa kemungkinan hutan tersebut akan pupus sedikit masa lagi.

PIFWA yang membuat tinjauan di situ semalam mendakwa lebih satu kilometer hutan bakau berkenaan telah dimusnahkan sejak beberapa bulan lalu untuk dijadikan kolam ternakan udang serta parit menyalurkan air buangan kolam ke laut berdekatan.

Penasihatnya, P. Balan berkata, lebih dikesalkan lagi ialah tindakan pengusaha terbabit tidak menggunakan sistem saliran terancang sehingga mengakibatkan air buangan kolam yang tercemar dengan sisa kimia mengalir terus ke laut.

"PIFWA amat bimbang dengan aktiviti penternakan udang di Kuala Jalan Bahru hingga Kuala Sungai Pinang di sini yang mengakibatkan kemusnahan teruk hutan bakau berdekatan.


Lagi diperlihatkan sikap mereka yang hipokrit dan sengaja membina imej yang hakikatnya mereka sebenarnya tidak pernah pun berbuat apa-apa sejak 40 tahun lalu seperti mana diberitakan melalui petikan ini:

`Salji hitam': Pesakit lelah meningkat
Oleh: YUSRI SAHAT - KANGAR 24 Jan.
- Jabatan Kesihatan Perlis tidak menolak kemungkinan pembakaran terbuka ladang tebu di Chuping yang menghasilkan `salji hitam' sebagai salah satu punca
meningkatnya jumlah pesakit lelah di negeri ini.

Ini kerana bilangan kemasukan pesakit itu di Hospital Kangar merupakan antara yang tertinggi di negara ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Azmi Hashim berkata, bagaimana pun tidak ada bukti kukuh dan saintifik sama ada peningkatan kes penyakit lelah di Perlis mempunyai kaitan dengan debu-debu hitam yang dilepaskan dari ladang tebu milik Perlis Plantations Berhad (PPB) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang menjalankan kajian mengenai hubungan `salji hitam' tersebut dengan peningkatan penyakit lelah di Perlis.

"Kajian itu masih dijalankan dan kita sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan untuk meneruskan penyelidikan itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas ancaman `salji hitam' yang melanda seluruh Perlis akibat pembakaran terbuka dari ladang tebu di Chuping dekat sini sebagaimana laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Berikutan itu, tiga bahagian UMNO di Perlis iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar menuntut PPB membayar pampasan kepada kerajaan negeri jika syarikat terbabit gagal mengatasi masalah pembakaran terbuka yang menghasilkan `salji hitam' sejak 40 tahun lalu.

Malah, bahagian-bahagian UMNO terbabit mengancam untuk menubuhkan tribunal bagi membolehkan rakyat mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan jika gagal mencari satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah itu.

Azmi memberitahu, kajian tersebut akan menentukan sama ada `salji hitam' yang berlaku di negeri ini menjadi punca utama peningkatan pesakit lelah atau sebaliknya.

Beliau berkata, masalah debu-debu hitam yang berterbangan di seluruh negeri ini akibat pembakaran terbuka itu memang dipantau oleh Jabatan Kesihatan negeri setiap tahun.

Menurut beliau, pihaknya difahamkan bahawa pembakaran pokok tebu di ladang milik PPB itu tidak dapat dielakkan kerana ia adalah proses biasa selepas penuaian.

Kenapa mereka hipokrit berdasarkan fakta berikut:

1. Tiga bahagian UMNO di Perlis iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar menuntut PPB membayar pampasan kepada kerajaan negeri jika syarikat terbabit gagal mengatasi masalah pembakaran terbuka yang menghasilkan `salji hitam' sejak 40 tahun lalu
2. Debu-debu hitam yang berterbangan di seluruh negeri ini akibat pembakaran terbuka itu memang dipantau oleh Jabatan Kesihatan negeri setiap tahun
3. pembakaran pokok tebu di ladang milik PPB itu tidak dapat dielakkan kerana ia adalah proses biasa selepas penuaian.


- Pak Ngah
Suntingan M@RHAEN - 25.01.2005



No comments: