Akhirnya berlaku juga apa yang lama sudah dijangka, Dato’ Zaid Ibrahim (ZI) berundur juga daripada menganggotai Parti Keadilan Rakyat dan berkemungkinan menubuhkan sebuah parti baru.
Beliau bertindak keras selepas mempunyai bukti betapa jumlah undi yang diterima dahulu jauh melebihi undi yang diterima oleh Azmin Ali (AA), tiba-tiba telah merosot kerana pembabitan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang mengecutkan jumlah undi itu dengan alasan tidak sah. Tindakan yang sama mereka lakukan ke atas undi yang diterima oleh Mustafa Kamil Ayub (MKA)
Sementara itu perjuangan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR tetap diteruskan antara Azmin Ali dengan Mustafa Kamil Ayub.
Setakat ini majoriti undi banyak memihak kepada Azmin Ali. Kalau diambil kira perolehan mereka setakat ini Azmin Ali sudah memperolehi lebih 12,000 undi sedangkan Mustaffa Kamil Ayub masih mencungap dengan sekitar 2,000 undi sahaja.
Apa kesudahannya nanti?
Secara lahiriah, Azmin Ali sudah pasti menang.. Beliau boleh mendabik dada bahawa dialah ‘defacto leader’ (pemimpin dalam penantian parti Keadilan Rakyat (PKR). Memang tidak salah beliau mendabik dada. Secara teknikal MKA hanya dapat undi setakat ini bertaraf cukup makan untuk tidak “hilang deposit”.
Secara lahiriah juga AA dijangka akan menggondol banyak undi lagi kerana undi yang banyak datang daripada cabang Selangor dan Johor yang masih belum bersidang. Sebagai contoh, di Selangor terdapat 26 cabang PKR yang belum mempunyai jumlah keahlian yang tinggi. Kalau semua ahli cabang di Selangor keluar mengundi, jumlah undi setiap cabang boleh melebihi jumlah undi di sesuatu negeri lain di luar negeri Selangor.
Masih ada 18 cabang di Selangor yang belum bersidang.
Dengan ini andaian boleh dibuat, walaupun MKA jauh mencorot di belakang AA, kalau semua 18 cabang di Selangor bersidang untuk mengundi MKA, bererti AA boleh kalah.
Tetapi ini adalah andaian Mat Jenin, yang mustahil akan terjadi. Lagi pun AA adalah anak Selangor. Beliau sudah lama memasak (pasak) pengaruh di Selangor sehingga ada akar umbi parti yang ghairah mahukan Azmin menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI).
Memang AA ternyata berpengaruh besar dalam PKR. Suatu ketika dahulu pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden itu telah melibatkan juga TSKI dan anak perempuan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Nurul Izzah. Sebelum tarikh pengundian bermula, TSKI dan Nurul Izzah telah menarik diri, menjadikan pertandingan itu berbentuk tiga penjuru. Pada tahap awal pengundian, DZI telah mendahului AA, sehinggalah JPP bertindak mengecutkan undi perolehannya dan juga yang diperolehi oleh MKA. Yang anehnya, semua undi yang dipotong itu telah dilonggokkan ke atas jumlah undi yang diperolehi AA.
Dengan kata lain, punca ZI menarik diri daripada terus bertanding dan akhir-akhir ini beliau keluar terus daripada parti ialah dakwaan berlakunya kecurangan dalam proses mengira undi.
Terdapat lebih seratus aduan mengenai salahlaku semasa pemilihan pucuk kepimpinan parti. Perkara ini perlu ditulis dalam halaman lain. Cukuplah kita imbas sahaja beberapa perkara buruk yang sepatutnya tidak berlaku. Satu, jumlah yang hadir di sesuatu cabang adalah lebih jauh daripada jumlah kertas undi yang dikira. Bermakna wujudnya ‘pengundi hantu.’ Kedua, kenapa kertas undi penentang AA sahaja yang didapati tidak sah. Ini bermakna JPP adalah orang-orang yang ditugaskan untuk mempastikan AA menang.
Walaupun banyak lagi rintihan ZA dan MKA mengenai proses perkiraan undi dan proses mesyuarat cabang-cabang yang dianggap tidak demokratik, aduan dan rintihan yang tersiar di dada akhbar tidak mendapat layanan pihak berwajib dalam pucuk kepimpinan PKR. Malahan, Ketua Umum PKR DSAI sendiri kerap masuk campur dan bersuara lantang menyebelahi AA. Begitu juga dengan Setiausaha Agung Saifudin Nasution yang kerap menafikan kebenaran.
Pembabitan DSAI dan Saifudin Nasution adalah tindakan yang tidak kena pada tempatnya. Mereka sepatutnya bertindak ‘neutral’ berkecuali. Apabila sudah diwujudkan sebuah Jawatankuasa khas memantau mesyuarat cabang-cabang dan proses pengiraan undi kenapa mesti dua orang pemimpin ini bersuara lantang memihak kepada AA. Kenapakah DSAI sendiri sanggup dan tergamak menggunakan perkataan dan istilah ‘Trojan Horse’ (Pembelot Rahsia) terhadap individu yang bersuara lantang mengkritik pucuk kepimpinan parti?
Sesungguhnya tindak-tanduk Anwar Ibrahim yang selalu sahaja menyebelahi Azmin Ali dan gelagat Saifudin Nasution yang selalu sangat berlagak semacam burung tiung peliharaan Anwar Ibrahim membuatkan ramai pengikut Anwar sendiri secara khasnya dan akar umbi parti secara umumnya menjadi kecewa dengan kepimpinan PKR masakini.
Keresahan akar umbi inilah menjadi pendorong kepada ZI menarik diri daripada bertanding dan terus bertindak keluar parti setelah beliau naik kecewa dan ‘fed-up’ dengan gelagat pucuk kepimpinan yang tidak pedulikan segala aduan dan nasihat beliau.
Di tengah-tengah kemelut inilah PKR terus bernafas di mana terdapat 18 cabang lagi di Selangor dan beberapa cabang lain di merata negeri lain akan menyudahkan proses pengundian mereka dan membuat penentuan apakah mereka mahu terus mengundi Azmin Ali ataupun beralih selera mengundi MKA pula. Kalau mereka ramai-ramai mengundi MKA, pertandingan akan menjadi sengit dan peranan JPP akan lebih diperlukan oleh Azmin Ali untuk menang.
Mungkin Azmin Ali perlu mendesak Anwar Ibrahim bersuara lantang lagi berkempen untuk menentukan dia akan tetap menang.
Apakah percaturan begini tidak dapat dibaca oleh akar umbi PKR yang masih belum membuat pilihan mereka? Apakah mereka tidak dapat meneka kenapakah Anwar Ibrahim lantang menyokong bermati-matian si Azmin Ali?
Kalau betullah Anwar Ibrahim mahukan Azmin Ali menjadi seorang pemimpin yang matang menerajui PKR kenapa beliau tidak biarkan sahaja Azmin Ali menangani segala isu yang dihadapinya secara bersendirian tanpa masuk campur sehingga sanggup menabur cerca ke atas sesiapa sahaja yang cuba mencabar Azmin Ali?
Apakah penting sangat Azmin Ali kepada Anwar Ibrahim sehingga beliau sanggup bersikap pekak kepada segala suara hati akar umbi yang ramai?
Apakah rahsia itu sebenarnya?
- marhaintua 17.11.2010
No comments:
Post a Comment