Wednesday, April 13, 2005

Apakah Nilai Keselamatan Negara?

(What price national security?)
MGG Pillai 13.4.05 (Laman M@RHAEN)

Kira-kira 500 meter di pinggir North Port (Pelabuhan Utara) tetapi masih di bawah kawalan Pihak Berkuasa Pelabuhan Kelang, terdapat sebuah kapal misteri yang berlabuh di situ . Kapal tersebut sudah lama berlabuh di situ sejak Julai 2004. Para pegawai pelabuhan dan jurumudi memang amat prihatin dengan apa yang berlaku dalam kapal itu dan terus tertanya-tanya apakah tujuan ia berada di situ. Orang lain tidak pula ambil peduli. Segala usaha untuk mencari jawapan selalu menemui jalan buntu; kerana mulut pihak yang berkuasa selalu terkunci untuk diam membisu. Namun, para pegawai risikan dan jurumudi yang kebanyakannya bekas pegawai Tentera Laut DiRaja amat rungsing akan kesan buruk yang mungkin berbangkit. Senjata canggih termasuk M-16 terdapat di atas kapal. Helikopter, termasuk yang mempunyai tanda “9MW SSW” kerap sangat mendarat di atas kapal. Askar Gurkha yang berpakaian celoreng, dan bersenjatakan M-16 kerap dilihat membuat latihan kawad. Apabila perkara ini dilaporkan kepada pihak berkuasa, tidak ada sebarang usaha untuk melakukan siasatan ke atasnya.

Hanya pada 9 April 2005, Utusan Malaysia telah membuat laporan muka depan terhadap kapal misteri yang bernama “Glenn Braveheart” yang membuatkan pihak berkuasa menjadi gelabah sakan. Ini mencetuskan lebih banyak persoalan lagi. Setiap insan yang berkuasa mula tumpang sekaki Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Najib Tun Razak, pihak berkuasa pelabuhan, polis marin, tuan punya kapal – sibuk mengemukakan penjelasan mereka . Seperti yang kita jangkakan, setiap penjelasan itu tambah mengelirukan. Najib berkata itulah kapal “hydrographic” (hal ehwal hidrografi), sedangkan tuan punya kapal, yakni Glenn Defence Marine Sdn Bhd. Di mana salah seorang pemegang sahamnya ialah mantan Ketua Turus angkatan tentera laut, ia dikatakan sebuah kapal latihan yang menggunakan senjata tiruan. Semua M-16 yang digunakan adalah senjata olok-olok sahaja. Ada kalanya kapal itu disebut sebagai kapal sokongan (perlindungan) untuk 11 angkatan tentera laut dunia. Sehingga hari ini penjelasan yang mana satu yang logik tidak pula dapat ditentukannya. Akan tetapi polis marin menyatakan bahawa kapal berada di situ untuk tujuan penggambaran sahaja.

Seperti biasa, semuanya berakhir dengan kisah kelentungan semata-mata. Di sebalik setiap penjelasan itu sudah semakin jelas kini walaupun kepada pendengar yang jarang mengikutinya, bahawa kerajaan BN (Barisan Nasional) sebenarnya sudah terjebak dengan satu kisah kelentungan juga. Kali ini kelentungan itu membabitkan keselamatan negara? Adakah kerajaan begitu prihatin dengannya? Tidak. Pengarah perisikan tentera, yang bertanggungjawab dengan perkara ini seharusnya dibuang kerja, ataupun setidak-tidaknya dibenarkan bersara sebaik sahaja tamat tempoh perkhidmatan selain dalam beberapa bulan lagi. Sebaliknya besar kemungkinan khidmat beliau itu akan disambung lagi. Kesetiaan kepada Najib dianggap lebih penting dari kecemerlangan dalam khidmat perisikan, sekarang ini. Bukan sahaja Pengarah Perisikan Tentera yang gagal, setiap agensi perisikan, Majlis Keselamatan Negara, Cawangan Khas (SB) Jabatan risikan Jabatan Perdana Menteri, malahan setiap cawangan risikan ketenteraan turut juga gagal menjalankan tugas

Apakah tujuan sebenar Glenn Braveheart berada di Pelabuhan Kelang? Sesungguhnya inilah sebuah kapal tentera laut, yang telah dibeli daripada angkatan tentera laut Singapura. Kini ia digunakan sebagai kapal tentera laut juga. Signal pengenalan automatik kapal, seperti yang digunakan oleh semua kapal persendirian (awam), kecuali kapal tentera, sepatutnya dipasang setiap masa. Tetapi Glenn Braveheart tidak mematuhi syarat itu. Terdapat beberapa teori konspirasi kenapa kapal itu berlabuh di sana. Glenn Defence tidak mampu memberikan penjelasan yang munasabah. Kalau dilihat akan para pemegang saham syarikat kapal yang termasuk beberapa pegawai tinggi pasukan tentera laut di Raja, sudah tentu menggambarkan betapa ia mempunyai agenda lain yang tidak didedahkan. Apakah ia ada kaitan dengan rencana kerajaan Amerika Syarikat dalam pembasmian keganasan secara global? Apakah ia ada peranan dalam peningkatan kadar kerja rompakan dan lanun di Selat Melaka? Apakah ia ada peranan dengan serangan ke atas rakyat Islam Thai di selatan Thailand? Apakah ini sebabnya berlaku kelam-kabut apabila berita kapal itu diberikan liputan muka depan ‘Utusan Malaysia’?

Reaksi pertama Najib ialah agar dilakukan siasatan, supaya kehadiran kapal itu tidak menjejaskan keselamatan negara. Kenapa pula dia mengandaikan demikian? “: Setakat yang saya tahu” kata beliau, kapal itu telah mendapat keizinan pihak berwajib untuk berlabuh di perairan kita, kira-kira 500 meter di Pelabuhan Utara, sejak Julai.” Jika demikian bagaimana pula perisikan tentera tidak tahu menahu, dan kalau pun ia tahu, tidak memberitahu Menteri Pertahanan mengenainya. Yang lebih pelik kenapa tidak dilakukan siasatan masa ini? Beliau menganggap bahawa kapal itu sedang menjalankan kerja-kerja pemetaan kawasan itu. Tetapi, “kita mesti tentukan bahawa keselamatan negara tidak terjejas.” Kapten kapal ialah warga Burma. Anak kapal (awak-awak) itu mengandungi 10 warga Burma, 20 Filipino, seorang warga Brunei dan 25 komando Nepal (Gurkha). Pengurus Besar Glenn Defence ialah Lt. Commander Carmen Edmonds. Beliau bertegas mengatakan bahawa segala senjata di atas kapal adalah jenis olok-olok dan bukannya jenis M-16. Tentu pelik juga memikirkan ini adalah jawapan seorang bekas pegawai tentera laut yang sudah bersara. Apapun, kapal itu adalah satu kapal logistik yang lengkap untuk “sebarang kemungkinan”, kerana itu ia memiliki senjata olok-olok? Lebih-lebih lagi kalau ia mampu mengharungi samudera luas?

Keributan dan apa juga jawapan yang berubah-ubah daripada pihak berwajib memberikan andaian betapa Glenn Braveheart adalah sebuah kapal misteri yang mencetuskan banyak tandatanya. Misi kapal adalah dilaksanakan secara rahsia seperti yang dirancang oleh pihak berkuasa. Yang lebih menakutkan kita ialah apabila pihak kerajaan terbabit ternyata terkejut apabila kapal itu didedahkan dalam akhbar perdana. Sesuatu kapal tentera laut, walaupun sudah berada di bawah kepunyaan orang awam, dan dibenarkan memberi khidmat sokongan kepada tentera laut yang datang melawatnya, sudah tentu memiliki senjata canggih yang betul dan bukan olok-olok. Sudah tentu ia memiliki senjata canggih lain seperti pelancar roket (RPGs), bom dan peledak jenis C-4. Apatah lagi kalau ia ditugaskan memberi khidmat sokongan melindungi tentera laut asing yang datang melawat negara ini dan kalau anda percaya kelentungan mereka, kerja-kerja pemetaan dasar laut.

Andaian ini menjurus kepada satu rumusan yang sungguh menakutkan. Apakah kemungkinan wujudnya kerja-kerja haram oleh pihak perisikan dan agensi lain di Malaysia, yang mempunyai hubung-kait dengan agensi perisikan luar negara? Pegawai tinggi berada di atas kapal untuk memudahkan segala keizinan tanpa mencetuskan syak wasangka? Kerajaan terperangkap dengan penipuan ini kerana terkejut apabila mengetahuinya setelah berita tersiar di dada akhbar? Apakah kemungkinan wujudnya pegawai tinggi tentera dan perisikan yang diupah oleh negara asing sehingga sanggup menggadai harga diri kepada pembayar yang paling tinggi? Apabila kerajaan turut terkejut beruk, makanya ia memberi arahan agar segala berita susulan kes ini mesti dipengapkan?

Perkhidmatan perisikan negara kita bukanlah secanggih dan perkasa seperti dulu lagi. Ia tidak tahu-menahu dengan peristiwa penting yang berlaku di Selatan Thailand, Selatan Mindanao, Aceh - tiga wilayah Islam yang sejak dahulu lagi merupakan pangkalan risikan penting negara ini. Ketua perisikan ‘counter-terrorism’ di salah satu jabatan risikan negara ialah seorang wanita berusia 27 tahun dan memiliki segulung ijazah PhD daripada sebuah universiti Amerika. Tentunya tidak banyak pengalaman praktikal, walaupun mahir dengan pelbagai teori dan andaian daripada bahan rujukan Setiap analisis beliau, walaupun baik sekali, tentu masih boleh diragui. Inilah padahnya apabila ada syarat mutlak bahawa setiap agensi risikan mesti diketuai oleh orang Melayu melemahkan peranan mereka secara keseluruhannya. Perkara menjadi semakin bermasalah disebabkan adanya perbalahan dalaman di antara perkhidmatan yang ada. Di waktu yang sama semua pihak risikan sibuk membincangkan perkara remeh-temeh apakah Amerika Syarikat akan menyerang Iran dan bagaimana caranya.

Kesan haprak ini terus menular ke peringkat akar umbi. Petugas risikan yang sudah bersara diminta membuat peninjauan di kawasan berbahaya seperti Mindanao, Aceh, dan Selatan Thailand. Jaguh risikan yang baru bertindak mengikut rasa dan keperluan semasa, sambil mengetepikan dasar dan rencana zaman lampau. Pernah tercetus kemelut Nor Misuari pemimpin Moro yang pernah saya temui pada 1976 di Libya, kisahnya bermula ketika beliau menggunakan pasport Malaysia untuk lari daripada Mindanao dan mendarat di Sabah pada awal tahun ini. Kerajaan Malaysia telah menyerahkan beliau semula kepada kerajaan Filipina. Kini beliau meringkuk dalam penjara. Yang jelas, beliau merupakan seorang pemimpin pemberontak yang diasuh oleh Malaysia tetapi akhirnya didedahkan oleh kerajaan akan kedudukannya. Kini, dia telah mendedahkan semua nama yang ada hubung-kait dengan beliau kepada kerajaan Filipina. Sekali gus beliau telah membahayakan semua yang terlibat dengan pemberontakan Mindanao. Nyawa mereka dalam bahaya seandainya mereka datang melawat bumi Filipina. Memang tidak patut kerajaan Malaysia menuduh Nur Misuari. Kalau kita anggap beliau sudah tidak berguna, kenapa pula dia mesti menganggap kita berguna padanya lagi?

Apakah lagi kisah benar yang perlu kita ketahui? Kalau kita menjadikan kerja-kerja menderhaka kepada negara sendiri sebagai satu kerjaya baru kita, seperti yang digalakkan oleh dasar pemerintahan kerajaan BN, secara menggubal dasar secara bidan terjun sahaja. Kesannya, kerakusan hawa nafsu yang diliurkan oleh bayangan wang upahan yang besar dan mudah sudah menjadi satu budaya setiap tahap masyarakat Malaysia, masa kini. Setiap institusi kerajaan yang penting-penting sudah terlibat dengan rasuah. Keadilan sudah menjadi bahan untuk dijual beli. Perkhidmatan awam pun mudah dibeli, tentera kita pun mudah dibeli. Kini perkhidmatan perisikan tentera pun sudah menjadi begitu juga. Kerajaan sudah tidak tahu bagaimana bertindak kerana sudah hilang arah. Ramai pegawai tinggi kerajaan sudah terlalu mewah dan mudah menerima rasuah. Kerana itu muncul satu persoalan yang sungguh menakutkan kita: Apakah sebenarnya nilai keselamatan negara?

MGG Pillai - Terjemahan MT-SPAR - 13.04.2005

2 comments:

Anonymous said...

saya rasa... saudara perlu untuk masuk ke www.mesra.net/forum dan cari seorang forumnis di situ yang bernama KernelStackDump .... pada dasarnya dia boleh menjawab persoalan ini dengan mudah ..... sebab dia ni adalah salah seorang elit dalam Majlis Keselamatan Negara.

Anonymous said...

perlu kah dipersoal tugas dan tanggungjawab perisikan anda hanya tahu 1peratus dari 100peratus cerita sebenar.jika anda rasa negara tak aman apa kata anda join unit perisikan yang ada jadi boleh anda berikan keselamatan yang anda rasa tergugat,banyak benda boleh dirasa tapi tidak dapat dipegang.