Friday, February 22, 2008

Pak Him -- Lagenda Raja Lompat


Pada pilihanraya umum tahun 2004, dipercayai sebuah 'Grand Design' telah dirupa bentuk bagi menumbangkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kelantan. Grand Design ini hampir menjadi kenyataan tetapi takdir Allah telah menyelamatkan PAS dari tersembam dan terperosok dari persada kuasa.

Apakah yang terjadi di Kelantan pada waktu itu? Seorang lelaki yang digelar raja lompat, Dato' Ibrahim Ali atau Pak Him telah membuat satu lompatan berimpak tinggi yang mana lompatan ini telah menyebabkan hati Annuar Musa menjadi sebu dan lidah Mustapha Mohamad berubah kelu.

Pada waktu itu Pak Him telah berjaya memecahkan undi orang UMNO di Pasir Mas sekaligus menghancurkan harapan gedebe - gedebe Melayu yang kempunan untuk memacak bendera Keris di atas kerusi empuk Menteri Besar.

Mengimbau kembali kenangan tersebut, undi yang memihak kepada calon Bebas yakni Pak Him telah berjaya mengurangkan jumlah undi yang sepatutnya diraih calon UMNO sekaligus memberi laluan kepada PAS untuk mencatatkan kemenangan di DUN dan Parlimen Pasir Mas.

Siapa sangka Grand Design menawan Kelantan pada pilihanraya lalu telah dimusnahkan oleh bekas pemimpinnya sendiri? Jika tidak kerana tindakan nekad Pak Him maka sudah pasti sekarang ini Kelantan akan berubah wajah menjadi sebuah negeri yang 'hadari' setanding Terengganu Darul Iman.

Ketika saya sedang memuat naik posting ini di blog m@rhaen, ramai yang masih tertanya - tanya mengapa PAS Kelantan sanggup memberikan laluan kepada Pak Him untuk bertanding di Pasir Mas.

Namun bagi saya, hanya mereka yang fasih dengan politik Kelantan sahaja yang mampu memahami rasional PAS meletakkan Pak Him di situ.



Penulis Tamu


Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju







Thursday, February 21, 2008

Boikot Media Perdana



Nampak gayanya RTM dan TV3 telah memulakan perang saraf mereka dengan pelbagai isu - isu yang sengaja diperbesar - besarkan bertujuan untuk mengelirukan rakyat marhaen.

Dakwah yang sama diulang tayang setiap kali tiba musim pilihanraya. Hanya BN sahaja yang mampu mentadbir negara. Hanya BN sahaja mampu mengurus ekonomi negara ini dengan baik. Hanya BN sahaja yang mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian antara penduduk berbilang bangsa. Hanya BN yang mampu itu dan ini dan seterusnya.

Ucapan mendabik dada dan membakulsampahkan pembangkang adalah makanan ruji pemimpin UMNO - BN. Tidak dapat tidak, kes - kes putar belit dan mengelirukan rakyat karya BN ini adalah salah satu usaha mereka untuk melindungi kegiatan songsang pemimpin - pemimpin mereka, yakni:-

1. Merompak wang rakyat atas nama Umnoputera

2. Menyalahguna kuasa, contoh yang maha nyata adalah penggunaan RTM yang menjadi agen propaganda Barisan Nasional walaupun operasi cencorong ini dibiayai oleh Rakyat Malaysia yang mewakili semua warga tidak kira sama ada mereka ini ahli BN, PAS, Parti Keadilan Rakyat, DAP mahupun mereka yang tidak berpihak.

3. Menekan hak untuk rakyat hidup dalam suasana yang lebih demokratik, dan menyekat kebebasan rakyat yang mahu berhimpun secara aman walaupun ianya dijamin oleh Perlembagaan. Buktinya tanyalah sendiri kepada abang - abang dan juga kakak - kakak FRU yang membalun rakyat sendiri tanpa belas ihsan -- atas arahan Barisan Nasional.

Saya yakin ramai abang - abang Polis yang tidak mempunyai pilihan kerana mereka hanyalah mengikut arahan orang atasan sahaja.

4. Merosakkan keyakinan orang awam terhadap Suruhanjaya Pilihanraya yang fungsinya kini ialah untuk memenangkan Barisan Nasional.


Jadi tolong tutup tv anda dari mengikuti Buletin Utama maupun Berita RTM. Mesej ini ringkas bukan?

Anda tidak perlu membuang masa mengikuti berita - berita media perdana ketika musim pilihanraya sedang menggila. Ini kerana BN dengan sedaya upaya sedang mencuba untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari mempersoalkan ketempangan dasar - dasar pentadbiran mereka yang terang - terangan Menganiaya Rakyat!

Disebabkan itulah sehingga kini pemimpin UMNO sangat takut untuk berdebat dengan pemimpin Barisan Rakyat walaupun telah berkali - kali mereka dicabar.

Mereka takut untuk disoal mengenai

1. Keengganan menurunkan harga minyak walaupun keuntungan Petronas meningkat berbilion ringgit ketika harga minyak dunia naik.

2. Memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dan menghapus kira hutang PTPTN untuk digantikan dengan biasiswa bagi pelajar yang layak.

3. Kadar tol yang dijangka akan naik lagi selepas Pilihanraya. Rakyat semakin miskin tetapi pengusaha tol pula semakin kaya.

4. Kadar jenayah yang semakin meningkat di saat Islam Hadhari dijadikan cahaya pedoman -- penyuluh kepada dasar - dasar kerajaan.

5. Mutu pendidikan yang semakin merudum sehingga disiplin budak - budak sekolah semakin teruk dari hari ke hari. Baru - baru ini di Terengganu beberapa orang gadis pelajar perempuan Melayu telah membelasah seorang wanita.


Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju

Sunday, February 17, 2008

Seruan Buat Penjawat Awam


Wangsa Maju, 16 Feb: Kakitangan awam boleh menggunakan PRU kali ini untuk memprotes keengganan Abdullah Ahmad Badawi membenarkan bayaran sagu hati sebanyak RM 2000 seperti yang dituntut Cuepacs.

Wang elaun RM 2000 itu sangat penting bagi menampung kos kehidupan yang bakal meningkat apabila harga petrol dijangka naik selepas BN memperoleh mandat baru pada 8 Mac ini.

Oleh itu seruan buat penjawat awam, marilah kita bersama memberikan signal yang jelas kepada Abdullah Ahmad Badawi -- "Jangan Perlekeh Kewujudan Kami!."

Undi untuk perubahan. Undi untuk maruah kita sebagai penjawat awam. Hanya pemimpin bermaruah sahaja yang layak menjadi bos kita.
Kerajaan Malaysia memiliki sebuah kabinet yang terdiri dari jemaah menteri. Kabinet ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri.

Para menteri yang menganggotai kabinet bertanggungjawab terhadap pelbagai pihak, antaranya ialah:-

Rakyat (Shareholders)
Rakyat ialah pembayar cukai. Oleh yang demikian negara ini adalah hak milik rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama atau bangsa.

Sekiranya rakyat selaku pemegang saham tidak berpuas hati dengan ketempangan dasar - dasar pro rasuah Barisan Nasional, mereka boleh membakulsampahkan UMNO - BN dan memilih sebuah kerajaan yang lebih baik dan telus.

Undi adalah kuasa rakyat. Undilah untuk perubahan.

Kakitangan Kerajaan (Stakeholders)Selaku pelaksana dasar kerajaan, mereka lebih celik dalam rencah dan ragam Barisan Nasional. Sudah menjadi perkara biasa apabila surat - surat dan faks dari UMNO bersepah - sepah di premis kerajaan.

Lazimnya, UMNO gemar memperkuda kakitangan awam untuk meramaikan majlis - majlis pemimpin bersama rakyat. Najib Razak tidak perlu berlagak poyo dan berdegar - degar syok sendiri ketika berucap kerana kakitangan kerajaan di hadapannya itu dipaksa hadir untuk mendengar ucapannya yang penuh dengan kepura - puraan itu.

Tidak seperti kakitangan swasta, para penjawat awam dikehendaki menghadiri sebuah kursus tenaga batin bertempat di Kem Biro Tatanegara. Mereka diperbodohkan secara fizikal kononnya kerajaan BN gah lagi hadari berbanding negara maju lain. Ini dakyah penipu.

Kakitangan awam merupakan golongan paling dekat dengan para pentadbir UMNO - BN. Ini kerana merekalah yang menyediakan Local Order dan baucar pembayaran kepada kroni - kroni.

Dengan kata lain, mereka mempunyai akses untuk mendedahkan segala transaksi kewangan yang meragukan, seperti contoh -- pembayaran kepada pembekal peralatan Kem PLKN (Projek Lahap Kroni Najib).

Kalau mereka tidak berpuas hati dengan kaedah pentadbiran Barisan Nasional, PRU ke 12 ini adalah medan terbaik untuk memilih calon - calon yang bersih, bermoral dan bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Apabila Pak Lah dan konco - konconya membelot amanah negara, kakitangan awam pun akan turut terpalit sama. Marilah kita bersama - sama mengundi untuk perubahan.

"M@rhaen: Sumber Maklumat Alternatif Pilihan Raya Umum Ke-12"

"Bersekutu Bertambah Mutu"

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju






Monday, February 11, 2008

Negara Kebajikan



Para pemuka dan ahli - ahli totok Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) telah mentertawakan Negara Kebajikan anjuran Parti Islam Semalaysia (PAS). Salah seorang tokoh Pekembar, Dato' Shahrizat Jalil menyatakan pendekatan Negara Kebajikan itu adalah lapuk dan ketinggalan zaman.

Shahrizat ini memiliki kuasa yang besar di dalam kabinet kerajaan Persekutuan Malaysia. Umum mengetahui Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah di bawah kendaliannya, namun apa yang menyedihkan ialah nilai peruntukan bantuan yang diberikan JKM kepada rakyat miskin dan warga kurang upaya.

Berdasarkan kepada pengetahuan am dan laporan - laporan yang disiarkan di media cetak dan elektronik, kebanyakan warga menerima bantuan JKM sekitar RM 100 - RM 400 bagi seisi keluarga. Nilai ini sudah tentu tidak mampu untuk menampung keperluan mereka yang tidak berkeupayaan. Kesudahannya, sehingga ke hari ini kita masih lagi bertemu dengan makcik - makcik yang menjaja tisu di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Wujudnya makcik - makcik ini adalah dakyah sahih untuk membuktikan yang Shahrizat ini sememangnya kurang peka dengan kebajikan rakyat marhaen, sehingga timbulnya pepatah 'gelang dan rantai emas Shahrizat dibeli dengan rintihan air mata rakyat'.

Dalam pembentukan Negara Kebajikan anjuran PAS ini, orang kurang upaya akan diberi jaminan untuk hidup dan bernafas selesa di bumi bertuah ini. Bantuan secukupnya akan disalurkan agar mereka tidak dihimpit kedaifan. Ianya berbeza dengan lagak angkuh Barisan Nasional yang seolah - olah menganggap orang kurang upaya ini sebagai liabiliti atau beban negara. Sebagai bukti, lihatlah bagaimana warga cacat yang masih terpaksa bersusah payah untuk menaiki bas - bas awam di sekitar ibu negara. Di manakah kepedulian kerajaan dalam memastikan keselesaan warga OKU terjamin?

Jika kita di Barisan Rakyat diberi mandat memerintah, dengan izin Tuhan kita akan terus komited mempertahankan hak dan nasib mereka selaku warga negara di Malaysia ini.

Dalam isu berkaitan, seorang anggota Barisan Nasional telah memperlekeh Negara Kebajikan dengan hujah seperti berikut:-

"Di bawah kerajaan Barisan Nasional, kita telah membina jalan raya, sistem rel keretapi, jaringan pengangkutan awam seperti bas RapidKL dan sebagainya. Inilah contoh polisi negara kebajikan yang telah kami sediakan. Jadi apakah yang PAS mahu lakukan lagi?"

Hujah sedemikian sebenarnya tidak lengkap dan dangkal. Benar, Barisan Nasional telah membina lebuh raya. Akan tetapi lebuh raya ini dibina bersama - sama dengan pondok tol. Parti Keadilan Rakyat (keADILan) telah mendedahkan dokumen perjanjian konsesi selama 30 tahun yang mana ia terang - terang berat sebelah dan merugikan kerajaan Persekutuan.

Tanpa sebuah sistem pengiraan yang meyakinkan, harga tol telah ditetapkan awal - awal bagi memastikan syarikat konsesi untung besar. Akhirnya, wang rakyat terpaksa dibazirkan bagi menguntungkan kroni.

Negara Kebajikan Menurunkan Harga Minyak

Sehingga ke hari ini, kita masih belum mendengar usaha - usaha Barisan Nasional untuk mengekang kenaikan harga minyak per barrel.

Hanya negara yang zalim sahaja yang menaikkan harga minyak. Ketika ini BN menggunakan pelbagai helah dan alasan antaranya bagi mengelakkan penyeludupan minyak ke negara jiran. Ini bukanlah isu sebenarnya. Bukankah kita memiliki barisan ketumbukan tentera yang kuat untuk menjaga sempadan negara? Apa yang perlu dibimbangkan sekarang ialah kesan domino akibat kenaikan harga minyak.

Apabila harga minyak dinaikkan, ia tidak akan berhenti setakat itu. Tambang bas, keretapi, kapal terbang, teksi dan feri akan naik. Kos pengangkutan dan elektrik juga akan turut naik. Ini menyebabkan kos barangan meningkat dan sekaligus ia membebankan pengguna.

Bagaimana kita mampu memajukan negara di saat kuasa beli rakyat semakin menurun?

Bagi mereka yang bergaji kecil, sudah pasti kenaikan harga minyak akan menekan kemampuan mereka untuk hidup selesa. Sudah pasti selepas ini semakin ramai rakyat yang tergolong di dalam kelompok miskin seandainya harga minyak dibiarkan terus mencanak naik.

Negara Kebajikan Adalah Agenda Bersama Barisan Rakyat

"Bagaimana PAS mahu melaksanakan Negara Kebajikan jika mereka hanya bertanding 60 Parlimen?" Kata seorang penyokong UMNO.

Untuk pengetahuan para Umnoputera, PAS tidak keseorangan dalam menggenggam dasar pro - rakyat ini. Pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat di dalam Barisan Rakyat telah mewujudkan satu manifesto bersama -- yang mana keADILan juga turut terlibat dalam memperkasakan sebuah agenda pembentukan Negara Kebajikan.

Tidak dikecualikan peranan DAP yang juga tidak mempunyai masalah untuk bersetuju dengan agenda Negara Kebajikan. Apa yang penting ialah PAS selaku pelopor barisan pembangkang telah menyuarakan sesuatu yang sememangnya perlu diberi perhatian khusus. Ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat semakin ramai kelompok rakyat kelas bawahan yang terperosok ke dalam lembah kemiskinan. Mereka semua terpaksa hidup ala kadar di saat pemimpin terus rakus menambah kekayaan sehingga mencapai nilai ratusan juta ringgit. Bukankah ini satu bentuk kezaliman yang nyata?

Parlimen akan dibubar dalam beberapa hari sahaja lagi. Justeru, sampaikan artikel ini sebagai satu bentuk pesanan kepada rakyat marhaen agar bijak memilih kerajaan yang benar - benar berfungsi untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Pilih Barisan Rakyat, harga minyak akan turun dan nasib anda akan dibela. Pilih Barisan Nasional, anda akan menerima kenaikan harga minyak, barangan dan segala - galanya.

Undi anda adalah penentu kuasa pemerintahan negara. Undi anda adalah untuk mempertahankan maruah anda selaku rakyat Malaysia. Undi anda adalah demi kepentingan anda dan juga generasi akan datang. Oleh itu undilah PAS, Parti Keadilan Rakyat dan sekutu - sekutu kami. Anda mampu mengubahnya.

Pesanan: Menentang Barisan Nasional tidak bererti menentang Kerajaan Persekutuan Malaysia. Menentang Barisan Nasional adalah kerana kita amat sayang kepada negara tanah tumpah darah ini.

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju







Sunday, February 10, 2008

Malaysia Negara Islam?


Malaysia Negara Islam?
(Berdasarkan syarahan Peguam Zulkifli Nordin, Parti Islam Semalaysia PAS)

Pada 21 Ogos 2007 bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz telah membuat kenyataan di simposium pemikiran almarhum Ahmad Ibrahim. Ketua Hakim Negara menyatakan kita masih belum merdeka.

Tidak ada gunanya Malaysia merdeka jika sebenarnya masih dijajah. Kenapa kita masih lagi dijajah?

1.0 Penggunaan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan Menyekat Amalan Islam

Pertama, kita lihat pada Perlembagaan Persekutuan. Kita lihat dari kaca mata Islam, bukan dari kaca mata Melayu.

Seperti contoh, Artikel 4 menyatakan mana - mana undang - undang / peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini batal dan tidak sah.

Merujuk kepada kes seorang penjawat awam Halimatus Saadiah, beliau berkerja dengan memakai purdah dan tudung labuh. Pekeliling JPA menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan telah melarang pemakaian purdah dan tudung labuh.

Halimatus Saadiah tetap memakai purdah sehingga akhirnya dia dibuang kerja. Beliau mengambil keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah. Di Mahkamah Persekutuan, hakim telah menyatakan:

"Walaupun pemakaian purdah dan tudung labuh adalah amalan Islam, tetapi kerana amalan itu bertentangan dengan Pekeliling JPA maka ianya tidak dibenarkan. Maka menggunakan Artikel 4 mana - mana peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan adalah batal dan tidak sah."

Akhirnya, sehingga ke hari penjawat awam tidak boleh memakai purdah dan tudung labuh. Dengan begitu mudahnya Perlembagaan Persekutuan boleh melarang amalan yang dituntut di dalam Islam.

Dalam satu kes lagi, terdapat murid - murid sekolah memakai serban di sekolah. Pemakaian serban adalah sunnah amalan Nabi. Tetapi hakim menyatakan:-

" Tidak semua amalan Nabi Muhammad masih relevan di masa kini. Nabi menaiki unta, Nabi gosok gigi pakai kayu, rumah Nabi dibina menggunakan tanah liat. Berkenaan dengan pemakaian serban, Abu Jahal juga memakai serban." Dengan begitu mudah hakim ini menghina sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Hakim juga turut menyatakan:

" Walaupun pemakaian serban dituntut di dalam agama Islam, tetapi memandangkan amalan ini bertentangan dengan pekeliling sekolah maka ianya tidak dibenarkan. Maka menggunakan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan mana - mana undang - undang / peraturan yang tidak selari dengan Perlembagaan ini adalah batal dan tidak sah."

Lantas, pemakaian serban di dalam premis sekolah telah diharamkan. Di dalam perhimpunan agung UMNO perkara ini ditimbulkan. Perwakilan UMNO menganggap isu serban ini remeh. Ini kerana pemakaian serban diharamkan di dalam sekolah sahaja. Tiada masalah untuk memakai serban di luar premis sekolah.

Apa yang dipersoalkan di sini bukannya soal pemakaian serban semata - mata. Ini bersangkut paut dengan amalan Islam itu sendiri. Jika hari ini Perlembagaan boleh mengharamkan amalan Islam di sesuatu tempat, bagaimana pula dengan masa hadapan?

Mungkinkah di masa mendatang terdapat lebih banyak lagi amalan Islam yang diharamkan perlaksanaannya atas alasan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan?

2.0 Enakmen Jenayah Syariah Yang Tidak Menepati Syariat

Arak hukumnya haram. Tetapi di bawah pentadbiran Islam Hadhari arak dijual secara terbuka di premis - premis 7 Eleven dan lain - lain. Dan yang menjual arak ini adalah anak - anak gadis Melayu yang bertudung dan berpenampilan Islamik.

Mereka tidak segan silu menjual arak kerana Majlis Tempatan telah mengeluarkan lesen kebenaran meniaga arak. Dengan demikian, arak yang hukumnya haram telah dihalalkan menerusi permit perlesenan yang dikeluarkan oleh Majlis Tempatan.

Kilang arak terbesar di Asia, Carlsberg milik perusahaan Denmark telah dibenarkan bertapak di Negara Islam Hadhari. Begitu juga dengan Kasino terbesar di Asia Tenggara juga terletak di Genting Highland.

Dasar Barisan Nasional yang pro arak dan pro judi ini secara tidak langsung telah menyesatkan doktrin Negara Islam yang sepatutnya mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang mengundi Barisan Nasional bererti dia mengundi untuk mempertahankan penjualan arak secara terbuka dan amalan berjudi, yang mana ia ditentang keras oleh Islam.

Di Malaysia, apabila seseorang melakukan persetubuhan haram, maka hukumnya adalah sebat. Tetapi enakmen jenayah syariah telah menetapkan hukuman berbentuk wang ringgit.

Tidak ada disebut dalam Al - Quran jika seseorang meminum arak dia perlu membayar denda RM 300, tidak ada petikan hadith yang menetapkan hukuman RM 200 bagi kesalahan khalwat. Mengapa mufti - mufti semua mendiamkan diri dalam hal ini?

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, enakmen jenayah syariah ini langsung tidak mencerminkan hukum jenayah Islam yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Secara terang - terangan enakmen jenayah ini merosakkan akidah umat Islam yang percaya dengan membayar sejumlah wang maka dosa mereka terhapus.

Dalam kes pembunuhan pula, seksyen 302 digunapakai dalam sistem kehakiman negara. Jelas, seksyen 302 ini sangat berbeza dari segi perlaksanaannya berbanding dengan hukuman jenayah qisas yang diperuntukkan seperti tertera di dalam Al - Quranul Karim.

Kerajaan Kelantan yang diperintah Parti Islam Semalaysia tidak boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Hudud & Qisas kerana dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan yang sekular. Menurut Artikel 74, kerajaan negeri boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah tetapi tidak boleh melebihi hukuman penjara 3 tahun, denda RM 5000 dan 6 sebatan, atau dikenali sebagai hukuman 3-5-6.

Dengan adanya had 3-5-6 ini apakah kerajaan Kelantan mampu melaksanakan hukuman hudud dan qisas?

3.0 Sistem Perbankan Islam yang tidak menepati syariat

Akta Bank Islam tidak konsisten dengan amalan Islam. Seperti contoh konsep perkongsian untung rugi atau Mudharabah. Peminjam dikenali sebagai rakan kongsi perniagaan kepada Perbankan Islam.

Contoh transaksi Perbankan Islam:

Ahmady Nejad ingin membeli rumah berharga RM 150 000. Bank membeli rumah itu dengan harga RM 150 000 dan menjualnya kepada Ahmady Nejad pada harga RM 400 000 dengan bayaran tertangguh selama 30 tahun.

Jika sekiranya rumah itu runtuh, Ahmady Nejad dikehendaki membayar juga pinjamannya. Sedangkan konsep Mudharabah menyatakan perkongsian untung dan rugi. Sepatutnya apabila rumah itu runtuh maka Bank perlu bersama - sama menanggung rugi.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, perbankan Islam menekan rakan perkongsiannya.
Perbankan Islam juga menggunakan Sistem Actuaries, sama seperti perbankan kafir / konvensional. Justeru itu apa bezanya perbankan Islam dan konvensional? Sama sahaja.

Sistem Actuaries digunapakai untuk menganggar harga sesebuah rumah pada masa hadapan.

Malaysia Masih Dijajah British

Seksyen 5 Akta Sivil menyatakan Mahkamah di Malaysia wajib menerimapakai dan melaksanakan undang - undang seperti di England.

Seksyen 5 juga menyatakan - Dalam apa - apa urusan dan pertikaian berkaitan dengan persyarikatan, perkongsian, perniagaan, perdagangan, kewangan, perbankan dan insurans hendaklah mengikut sebagaimana yang diamalkan di England.

Kesimpulan

Perlembagaan negara kita tidak mengikut acuan Islam yang syumul. Kehidupan kita di dunia ini bukanlah main - main. Setiap amalan dan perbuatan akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak.

Kita selalu menyalahkan pentadbiran Barisan Nasional kerana membenarkan dasar - dasar pro hedonisme yang menggalakkan penyuburan gejala maksiat di kalangan muda mudi. Tetapi kadang - kadang kita lupa bahawa tangan - tangan kita yang memangkah Barisan Nasional adalah puncanya.

Kerajaan Barisan Nasional yang hodoh lagi merosakkan rakyat ini tidak akan terhasil melalui mandat yang kita berikan. Kerajaan Barisan Nasional yang kerjanya menipu rakyat dan menzalimi rakyat tidak akan mampu ditubuhkan tanpa sokongan dan dokongan dari orang Melayu itu sendiri.

Setiap undi yang kita berikan akan ditanya oleh Allah S.W.T. Saya tidak berminat untuk bertanggungjawab di atas kerosakan sosial dan penganiayaan moral yang berlaku angkara dasar pentadbiran keduniaan anjuran Barisan Nasional ini.

Pada saya, sebuah pentadbiran yang menyeimbangkan dunia dan akhirat adalah pilihan undi saya. Anda pula bagaimana?

Penutup

Dato' Ismail Kamus mengatakan "PAS bukan gila kuasa, tetapi kita mau mengambil kuasa dari orang gila."

Penulis Tamu
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Wangsa Maju