Thursday, November 18, 2010

Apakah Azmin Ali Tidak Pernah Buat Silap?

Rakyat Malaysia tidak kira apakah mereka menjadi anggota PKR atau tidak, kerap tertanya-tanya apakah Azmin Ali tidak pernah buat silap sehinggakan DSAI sentiasa menyebelahi beliau dalam setiap episod yang membabitkan AA dengan individu lain dalam parti. Dengan kata lain, orang kerap tertanya-tanya kenapakah DSAI selalu sangat mempertahankan AA apabila ada dakwaan insan lain menuduh AA bersikap curang dalam menjalankan tanggungjawabnya?

Kalaulah orang yang menyanggah AA itu adalah ‘orang kecil’ tentu kita boleh berandaian bahawa orang itu sengaja mahu mencetuskan kontroversi. Tentunya suara lantang DSAI dapat kita fahami. Akan tetapi apabila kecaman terhadap AA dibuat oleh orang besar seperti Zaid Ibrahim (ZI) ataupun YB Gobalakrishnan, dan DSAI cepat bingkas menepis dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan tidak berasas, tentu orang lain terus bertanya dan mencari jawapannya.

Kenapakah DSAI bermati-matian mempertahankan AA?

Sesungguhnya saya dapat merasakan tindakan Anwar Ibrahim kerap mempertahankan AA ini adalah satu pertanda besar akan lunturnya wibawa tiga orang individu dalam pucuk kepimpinan PKR sekarang: Anwar Ibrahim sendiri, Azmin Ali dan Saifudin Nasution. Malahan, silap-silap langkah PKR akan mula bernafas laksana rumput di tepi jalan – hidup segan mati tak mahu.

Mungkin kerana menyedari fenomena ini akan berlaku membuatkan dua individu yang bertanding menentang Azmin Ali bersuara lantang. Ketika Zaid Ibrahim melepaskan jawatannya dan menarik diri daripada bertanding, beliau ada bersuara agar Anwar Ibrahim dan Azmin Ali berundur daripada jawatan mereka. Zaid Ibrahim mendakwa bahawa Anwar Ibrahim dan Azmin Ali adalah punca segala masalah dalam parti.

Mustaffa Kamil Ayub pula telah mengemukakan memorandum agar ditangguhkan pemilihan pucuk kepimpinan untuk memberi masa kepada JPP mengkaji setiap aduan mengenai salahlaku yang terjadi dalam mesyuarat cabang-cabang parti.

Setakat ini JPP telah menerima lebih kurang 300 aduan dan bantahan daripada seluruh Negara. Kebanyakan bantahan dan aduan itu membabitkan Azmin Ali dan orang-orangnya. Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah berkata JPP telah berlaku adil dan tidak timbul kes JPP mengambil ringan terhadap aduan yang dikemukakan.

Soal pokok sekarang, bagaimanakah undi perolehan Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Ayub boleh dikira tidak sah dan dilonggokkan pada jumlah undi Azmin Ali. Begitu juga dengan kisah kertas undi yang berganda banyaknya daripada jumlah ahli yang datang mengundi?

Dua perkara ini sudah cukup kuat untuk JPP mengemukakan nasihat dan pandangan agar digantung proses pengundian. Dua perkara ini juga sudah cukup bukti untuk Ketua Umum Parti dan Setiausaha Agung mengadakan mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas menyiasat aduan ini sambil menggantung fungsi JPP yang ada.

Akar umbi nampak dengan jelas peranan yang dibuat oleh Mustafa Kamil Ayub adalah mahu menyelamatkan parti. Akar umbi juga sudah nampak kenapa Zaid Ibrahim mahu Azmin Ali dan berundur kerana mereka adalah punca segala masalah

Ingin dirakamkan di sini bahawa DSAI adalah satu ikon besar dalam politik tanah air. Tidak kiralah, segala tuduhan yang mengatakan beliau pernah meliwat ramai orang, kerana saya tidak percaya dengan segala tuduhan itu.

Suatu ketika dahulu, Anwar Ibrahim telah meringkok dalam penjara gara-gara episod liwat-meliwat yang membabitkan ramai individu daripada tiga buah Negara – Azizan Abu Bakar daripada Melaka yang ketika itu menjadi drebar isteri beliau (DSWA). Daripada Indonesia seorang pereka fesyen bernama Kassumatmaja, dan daripada Pakistan ialah Dr. Munawar Anees yang ketika itu merupakan penulis ucapan Anwar. Dr. Anees kini menetap di Amerika.

Ada seorang lagi yang pernah membuat perakuan betapa dia pernah diliwat oleh Anwar. Insan itu bernama Azmin Ali dan ketika itu bertugas sebagai Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim. Akan tetapi entah apa sebabnya pengakuan AA itu tidak melekat kerana beliau telah menarik balik affidavit yang mengatakan beliau pernah diliwat.

Sehingga kini, ada beberapa pihak yang bertanya kenapakah AA menarik balik affidavit yang mengatakan beliau pernah diliwat? Apakah affidavit itu ditarik balik kerana desakan Anwar Iibrahim? Ataupun apakah kerana penarikan affidavit itulah yang membuatkan Anwar Ibrahim kali ini kerap melenting mempertahankan kepentingan AA dalam parti?

Kita harus ingat selepas memfailkan aduan dia kena liwat; Azmin Ali tidak pun menjalani pemeriksaan doktor, seperti yang dilalui oleh orang lain dan juga seperti yang dilalui oleh Saiful Bahari Azlan, pengadu kes liwat Anwar kedua.

Apakah ada unsur ugutan daripada Azmin Ali supaya Anwar Ibrahim terus mempertahankan kepentingannya? Jika tidak, Azmin mahu dedahkan sesuatu berita panas yang masih dirahsiakannya, yang boleh mencemar dan mengaibkan Anwar Ibrahim?

Semasa kes liwat sibuk dibicarakan, nama Azmin Ali tidak menonjol sangat kerana ketika itu mahkamah banyak menghabiskan masa dengan Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Wan Azizah, isteri Anwar Ibrahim, yang kini menjadi Presiden PKR.

Apabila kita imbau kisah Azizan Abu Bakar tentu kita masih ingat nama seorang wanita bernama Umi Hafilda binti Ali. Beliau adalah adik Azmin Ali. Beliaulah yang menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri ketika itu yang bernama Dr Mahathir Mohamed. Inilah insan yang memecat Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Ternyata, Azmin Ali yang merupakan Setiausaha Sulit kepada Anwar Ibrahim tidak mampu mendesak adiknya sendiri daripada berbuat onar sehingga menjatuhkan bosnya. Sekali gus dia turut kehilangan jawatannya yang lumayan ketika itu.

Apapun, itulah jawatan yang menjadikan Azmin Ali kaya-raya masakini dengan aset peribadi ditaksirkan dalam lingkungan seratus juta Ringgit Malaysia. Sebagai perbandingan aset Zaid Ibrahim dianggarkan dua ratus juta Ringgit Malaysia hasil kesungguhan mewujudkan sebuah firma guaman yang terbesar di Negara ini.

Azmin Ali telah menjadi kaya dalam tempoh singkat menjadi Setiausaha Sulit kepada Anwar Ibrahim semasa Anwar Ibrahim berada dalam penjara. Azmin Ali (dan beberapa orang kanan Anwar ketika itu) dikatakan pernah menerima wang sumbangan bagi pihak Anwar Ibrahim. Kalau betul cerita yang kita dengar apakah wang proksi itu masih berada di tangan Azmin Ali dan belum dipindahkan pada DSAI seperti yang sepatutnya? Apakah kerana itu juga sebabnya Anwar Ibrahim sanggup jadi hulubalang setia kepada Azmin Ali?

Bersambung…

Sumber: http://www.marhaen.info/v2/mar_a_marhaintua66.html

- marhaintua - 18.11.2010 11 Zulhijjah 1431

Wednesday, November 17, 2010

Berlaku Juga Akhirnya

Akhirnya berlaku juga apa yang lama sudah dijangka, Dato’ Zaid Ibrahim (ZI) berundur juga daripada menganggotai Parti Keadilan Rakyat dan berkemungkinan menubuhkan sebuah parti baru.

Beliau bertindak keras selepas mempunyai bukti betapa jumlah undi yang diterima dahulu jauh melebihi undi yang diterima oleh Azmin Ali (AA), tiba-tiba telah merosot kerana pembabitan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang mengecutkan jumlah undi itu dengan alasan tidak sah. Tindakan yang sama mereka lakukan ke atas undi yang diterima oleh Mustafa Kamil Ayub (MKA)

Sementara itu perjuangan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR tetap diteruskan antara Azmin Ali dengan Mustafa Kamil Ayub.

Setakat ini majoriti undi banyak memihak kepada Azmin Ali. Kalau diambil kira perolehan mereka setakat ini Azmin Ali sudah memperolehi lebih 12,000 undi sedangkan Mustaffa Kamil Ayub masih mencungap dengan sekitar 2,000 undi sahaja.

Apa kesudahannya nanti?

Secara lahiriah, Azmin Ali sudah pasti menang.. Beliau boleh mendabik dada bahawa dialah ‘defacto leader’ (pemimpin dalam penantian parti Keadilan Rakyat (PKR). Memang tidak salah beliau mendabik dada. Secara teknikal MKA hanya dapat undi setakat ini bertaraf cukup makan untuk tidak “hilang deposit”.

Secara lahiriah juga AA dijangka akan menggondol banyak undi lagi kerana undi yang banyak datang daripada cabang Selangor dan Johor yang masih belum bersidang. Sebagai contoh, di Selangor terdapat 26 cabang PKR yang belum mempunyai jumlah keahlian yang tinggi. Kalau semua ahli cabang di Selangor keluar mengundi, jumlah undi setiap cabang boleh melebihi jumlah undi di sesuatu negeri lain di luar negeri Selangor.

Masih ada 18 cabang di Selangor yang belum bersidang.

Dengan ini andaian boleh dibuat, walaupun MKA jauh mencorot di belakang AA, kalau semua 18 cabang di Selangor bersidang untuk mengundi MKA, bererti AA boleh kalah.

Tetapi ini adalah andaian Mat Jenin, yang mustahil akan terjadi. Lagi pun AA adalah anak Selangor. Beliau sudah lama memasak (pasak) pengaruh di Selangor sehingga ada akar umbi parti yang ghairah mahukan Azmin menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI).

Memang AA ternyata berpengaruh besar dalam PKR. Suatu ketika dahulu pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden itu telah melibatkan juga TSKI dan anak perempuan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Nurul Izzah. Sebelum tarikh pengundian bermula, TSKI dan Nurul Izzah telah menarik diri, menjadikan pertandingan itu berbentuk tiga penjuru. Pada tahap awal pengundian, DZI telah mendahului AA, sehinggalah JPP bertindak mengecutkan undi perolehannya dan juga yang diperolehi oleh MKA. Yang anehnya, semua undi yang dipotong itu telah dilonggokkan ke atas jumlah undi yang diperolehi AA.

Dengan kata lain, punca ZI menarik diri daripada terus bertanding dan akhir-akhir ini beliau keluar terus daripada parti ialah dakwaan berlakunya kecurangan dalam proses mengira undi.

Terdapat lebih seratus aduan mengenai salahlaku semasa pemilihan pucuk kepimpinan parti. Perkara ini perlu ditulis dalam halaman lain. Cukuplah kita imbas sahaja beberapa perkara buruk yang sepatutnya tidak berlaku. Satu, jumlah yang hadir di sesuatu cabang adalah lebih jauh daripada jumlah kertas undi yang dikira. Bermakna wujudnya ‘pengundi hantu.’ Kedua, kenapa kertas undi penentang AA sahaja yang didapati tidak sah. Ini bermakna JPP adalah orang-orang yang ditugaskan untuk mempastikan AA menang.

Walaupun banyak lagi rintihan ZA dan MKA mengenai proses perkiraan undi dan proses mesyuarat cabang-cabang yang dianggap tidak demokratik, aduan dan rintihan yang tersiar di dada akhbar tidak mendapat layanan pihak berwajib dalam pucuk kepimpinan PKR. Malahan, Ketua Umum PKR DSAI sendiri kerap masuk campur dan bersuara lantang menyebelahi AA. Begitu juga dengan Setiausaha Agung Saifudin Nasution yang kerap menafikan kebenaran.

Pembabitan DSAI dan Saifudin Nasution adalah tindakan yang tidak kena pada tempatnya. Mereka sepatutnya bertindak ‘neutral’ berkecuali. Apabila sudah diwujudkan sebuah Jawatankuasa khas memantau mesyuarat cabang-cabang dan proses pengiraan undi kenapa mesti dua orang pemimpin ini bersuara lantang memihak kepada AA. Kenapakah DSAI sendiri sanggup dan tergamak menggunakan perkataan dan istilah ‘Trojan Horse’ (Pembelot Rahsia) terhadap individu yang bersuara lantang mengkritik pucuk kepimpinan parti?

Sesungguhnya tindak-tanduk Anwar Ibrahim yang selalu sahaja menyebelahi Azmin Ali dan gelagat Saifudin Nasution yang selalu sangat berlagak semacam burung tiung peliharaan Anwar Ibrahim membuatkan ramai pengikut Anwar sendiri secara khasnya dan akar umbi parti secara umumnya menjadi kecewa dengan kepimpinan PKR masakini.

Keresahan akar umbi inilah menjadi pendorong kepada ZI menarik diri daripada bertanding dan terus bertindak keluar parti setelah beliau naik kecewa dan ‘fed-up’ dengan gelagat pucuk kepimpinan yang tidak pedulikan segala aduan dan nasihat beliau.

Di tengah-tengah kemelut inilah PKR terus bernafas di mana terdapat 18 cabang lagi di Selangor dan beberapa cabang lain di merata negeri lain akan menyudahkan proses pengundian mereka dan membuat penentuan apakah mereka mahu terus mengundi Azmin Ali ataupun beralih selera mengundi MKA pula. Kalau mereka ramai-ramai mengundi MKA, pertandingan akan menjadi sengit dan peranan JPP akan lebih diperlukan oleh Azmin Ali untuk menang.

Mungkin Azmin Ali perlu mendesak Anwar Ibrahim bersuara lantang lagi berkempen untuk menentukan dia akan tetap menang.

Apakah percaturan begini tidak dapat dibaca oleh akar umbi PKR yang masih belum membuat pilihan mereka? Apakah mereka tidak dapat meneka kenapakah Anwar Ibrahim lantang menyokong bermati-matian si Azmin Ali?

Kalau betullah Anwar Ibrahim mahukan Azmin Ali menjadi seorang pemimpin yang matang menerajui PKR kenapa beliau tidak biarkan sahaja Azmin Ali menangani segala isu yang dihadapinya secara bersendirian tanpa masuk campur sehingga sanggup menabur cerca ke atas sesiapa sahaja yang cuba mencabar Azmin Ali?

Apakah penting sangat Azmin Ali kepada Anwar Ibrahim sehingga beliau sanggup bersikap pekak kepada segala suara hati akar umbi yang ramai?

Apakah rahsia itu sebenarnya?


- marhaintua 17.11.2010