Wednesday, May 02, 2007

Keroncong Untuk Ijok

Pada 29 April 2007 yang lalu, TV3 telah membuat satu poll 'peratusan keluar mengundi membuktikan demokrasi di Malaysia subur'. Didapati 70% rakyat menyokong usul ini. Keesokan harinya pembaca berita berkokok lagi. Kali ini mereka bersandarkan kepada keputusan poll tersebut untuk menguatkan hujah betapa cemerlang, gemilang & terbilangnya demokrasi di negara kita ini.

Maka ramailah tokoh-tokoh BN yang diwawancara, semuanya senada menyatakan sistem demokrasi semakin utuh dan subur. Adakah dengan melihat 82% orang Ijok keluar mengundi maka kita sudah berpuas hati dengan amalan demokrasi di Malaysia ini?

Inilah akibatnya jika rakyat gagal berfikir di luar kotak! Inilah silapnya apabila rakyat memperlekeh Glokal sebagai sebuah gagasan pemikiran paling ulung abad ini!

Janganlah kita berfikiran tipikal. Cubalah menerima idealogi Glokal! Episod Ijok telah membuktikan bahawa kerajaan Malaysia tidak ubah seperti rejim komunis di mana pemerintah memilik BNkan segala hasil mahsul dan ufti - ufti yang dibayar oleh rakyat selama ini.

Media - media perdana ditugaskan untuk mencerca, memutar belit fakta dan mencincang pembangkang. Untuk menunggu TV3 dan RTM membuat liputan penuh mengenai manifesto keADILan jika menang di Ijok adalah sama seperti menunggu Khir Toyo membuat pengakuan bersalah kerana melakukan korupsi. Tidak mungkin. 'Nehi' kata Samy Vellu.

Di Ijok, wartawan TV3 Teynmoli Subramaniam barangkali terlupa untuk bercerita tentang sebuah kumpulan yang bernama Sedia Gempur "Hancur PKR!" kelolaan seorang Menteri Pelajaran & seorang lagi adalah graduan Oxfarts. Samseng ini bekerjasama dengan Special Branch melakukan provokasi terhadap keADILan. FRU yang telah dimilik BNkan telah bertugas dengan cemerlang menyekat dan menafikan hak pembangkang untuk mengadakan ceramah. Alasannya ialah tiada permit.

Hanya kerajaan Komunis sahaja yang mewajibkan permit perhimpunan. Amalan demokrasi membenarkan rakyat untuk bebas berhimpun & menyuarakan pendapat. Dengan menafikan hak seseorang individu untuk bebas berhimpun, maka tidak syak lagi inilah komunis moden.

Tidak cukup dengan monopoli media dan Sedia Gempur "Hancur PKR!", maka dibelenggu pula minda rakyat dengan gula - gula pembangunan. Duit ditabur seperti menabur bertih padi kepada ayam - ayam kampong. Tatkala ayam - ayam itu gemuk maka bersorak giranglah UMNO dan Barisan Nasional menyembelih mereka dengan kenaikan harga tol, harga minyak, duit susu anak dan belanja barang dapur. Inilah hadiah pembangunan yang dicari - cari rakyat selama ini.

Maka sampai matilah minda rakyat terperuk di dalam reban usang yang dibina BN. Rakyat diajar untuk bersyukur kerana mereka hidup aman damai walaupun jenayah rogol, ragut, rompakan bersenjata, bunuh dan bakar serta gejala mat rempit semakin menggugat keharmonian negara. Rakyat disuruh mengubah gaya hidup di saat pemimpin - pemimpin BN semakin galak menikam kantung duit negara demi memenuhi tembolok masing - masing. Dan rakyat Ijok majoritinya redha untuk diperkotak katikkan buat kesekian kalinya oleh pemimpin - pemimpin korup ini.

Lalu diungkit lagi betapa suburnya demokrasi di Malaysia kerana 82% rakyat Ijok telah keluar menunaikan hak mereka. Tidak diketahui sama ada kesemua 82% itu adalah manusia atau ada hantu yang dibangkitkan dari liang lahad untuk mengundi, atau mungkin hantu - hantu dari Perlis yang bertuankan Norita… ooops Shahidan Kassim. Kenal tak Shahidan Kassim? Di zaman pemerintahannya Majlis Perbandaran Kangar jatuh bangkrap dan hampir dilelong kepada tauke besi buruk. Untuk rekod Kangar adalah ibu negeri Perlis Darul Sunnah.

Dengan segala helah, manipulasi media dan pihak berkuasa, sikap berat sebelah SPR serta provokasi yang dimainkan Pemuda UMNO - BN, dibantu pula dengan 500 makhluk Special Branch di Ijok, maka ketahuilah politik Malaysia kini sedang beransur - ansur berubah menjadi politik komunis di mana parti pemerintah bertindak nekad menyekat suara pembangkang dari mendedahkan segala kudis sopak penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Najib Razak, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Rafidah Aziz, Samy Vellu, Muhammad Muhd. Taib dan Khir Toyo kepada pengetahuan rakyat marhaen.

Segala pecah amanah, rasuah, amalan nepotisme dan penipuan terhadap rakyat ini akan berterusan selagi mana masyarakat Malaysia tidak peka terhadap pengkhianatan yang telah dilakukan oleh pemimpin - pemimpin tersebut. Sampai bilakah rakyat sanggup menjadi ayam sembelihan BN?

Tinta Tun Adil

No comments: