Monday, January 31, 2005

Banteras Penjenayah: Abdullah Jangan Pentingkan Ahli Umno Sahaja

Oleh Tun Paduka Tuan

Setiap saat kejadian jenayah; bunuh, rogol, ragut, rompak dan sebagainya berlaku dalam negara kita nan tercinta ini. Fenomena ini sudah menjadikan lingkungan kita tidak lagi selamat. Jenayah bukan lagi berlaku di belakang, tetapi ada kalanya di hadapan mata.

Malangnya tidak semua kes itu mendapat liputan dan menjadi perhatian umum. Ada kes berlalu begitu sahaja tanpa mendapat apa-apa kepedulian daripada mana-mana pihak. Ia dilihat sebagai satu perkara biasa sahaja yang harus ditanggung sendiri oleh mereka yang mengalaminya serta saudara mereka tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.

Bagaimana pun ada kes-kes yang istimewa mendapat perhatian dan menjadi sorotan begitu meluas di dalam media massa. Ada kalanya berhari-hari malahan berminggu-minggu kes itu diwar-warkan. Ini berlaku apabila kes-kes berkenaan mendapat perhatian menteri dan juga Perdana Menteri.

Selalunya bila sesuatu kes itu ke pengetahuan menteri atau Perdana Menteri, apa lagi PM akan mengomennya ia diperbesar-besarkan dan didedahkan secara umum. Kesan daripada itu, kes itu akan diselesaikan dengan seberapa segera. Pihak polis yang diamanahkan menjaga keselamatan jadi tidak kena hendak tidur, berusaha menyelesaikannya. Pelakunya akan diburu hingga ke lubang cacing.

Sementara itu mangsa atau keluarga mangsa pula akan mendapat manfaat daripada itu, mereka mendapat perhatian dan simpati. Ramailah pula yang akan menghulur bantuan dan luahan simpati. Pendeknya, mangsa dalam kes-kes special seumpama itu mendapat perhatian dan beban mereka akan ringan.

Sebaliknya kes yang terlepas dari perhatian PM atau menteri akan melayani derita mereka sendiri. Keluarga mereka juga akan merintih hiba bersendirian tanpa ada sesiapa yang mengambil hirau nasib mereka.

Kes-kes yang mendapat perhatian istimewa biasanya berlaku kepada ahli parti berkulat, UMNO. Kalau ahli UMNO ditimpa kemalangan atau terlibat dengan jenayah maka ia akan mendapat perhatian khusus.

Ahli UMNO dalam hal ini nampaknya mendapat prioriti daripada kerajaan. Bukan sahaja menteri turun menemui mereka tetapi Perdana Menteri juga akan turut memberi perhatian.

Banyak kes sebegini. Sekurang-kurangnya ada tiga kes contoh. Pertama kes di mana anak kepada Ketua Cawangan UMNO di Johor yang kena rogol di pondok pengawal TNB dua tahun lepas. Kedua kes Puteri UMNO dipagut ular di Pekan, dan ketiga kes ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cheras dibelasah di jalan raya. Kes ini paling baru.

Semua kes itu melibatkan kematian.

Ketiga kes ini mendapat liputan dan perhatian luar biasa. Perdana Menteri Abdullah Badawi al-Hadhari sendiri misalnya membuat komen mengenai kes anak Ketua Cawangan UMNO di rogol ketika masih berada di luar negeri.

Betapa beliau marah dengan pelaku kes itu. Hasil daripada itu kes itu mendapat liputan meluas dan pelakunya ditangkap dan telah pun dijatuhi hukum bunuh. Kes ini adalah di antara kes yang diselesaikan dalam masa yang begitu cepat.

Begitu juga dengan kes melibatkan Puteri UMNO yang kena pagut ular. Puteri itu mati kerana lambat mendapat penawar untuk menawarkan racun ular berkenaan. Akibatnya Timbalan Perdana Menteri anak Razak Hussein mengarah agar semua hospital di Pahang dilengkapi ubat pelali racun ular.

Dalam kes terbaru pula, kematian ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO cawangan Cheras, menyebabkan Abdullah Badawi al-Hadhari turut sama bercakap mengenainya. Apa lagi media massa jadi tidak cukup ruang untuk menyiarkan berita itu.

Kesannya orang ramai berpusu-pusu mendatangi rumah si mangsa dan menziarahi keluarga mangsa dan menghulur derma. (Mungkin derma untuk tsunami juga diberikan kepada mangsa berkenaan? Kalau tak betul, maaf!)

Persoalannya apakah apabila sesuatu kejadian itu berlaku ke atas orang UMNO baru ia dipandang berat? Diambil tindakan segera dan pelakunya diburu sebegitu rupa? Sebaliknya kalau ia bukan berlaku ke atas ahli UNMO ia dibiarkan atau tindakan lambat dijalankan?

Selain kes itu ada banyak kes seumpama itu berlaku di seluruh negara. Tetapi perhatiannya tidak sebegitu serius. Pihak berkuasa juga tidak menjadi panik dan bertindak segera untuk memburu si pelaku.

Misalnya di jalan raya berapa banyak orang menghadapi masalah seperti itu ahli jawatan kuasa Pemuda UMNO itu? Banyak! Kesnya bukan sahaja tidak diberi perhatian, report yang dibuat pun ada kalanya tidak disiasat dan hilang di dalam bakul di balai polis.

Di Kelantan sudah lebih 10 orang penoreh getah di Jeli dan Tanah Merah maut dibaham harimau, tetapi tidak ada perhatian seperti tiga kes klasik itu. Keluarga mangsa dibiarkan begitu sahaja dan usaha untuk menjamin keselamatan petani dan penoreh masih di takuk lama juga.

Seorang isteri di Temangan maut kerana digilis keretapi ketika mencari line telefon bimbit untuk berhubung dengan suaminya juga tidak diberikan perhatian serius. Walhal dia adalah isteri perajurit yang menjaga keselamatan negara. Mungkin disebabkan wanita malang itu bukan parti UMNO maka kesnya berlalu begitu sahaja, seperti berlalunya kereta api berkenaan sesudah melanggarnya.

Hendaknya pada masa depan, pihak kerajaan dan pihak berkuasa jangan bertindak menyelesai atau memburu pelaku kepada mangsa-mangsa melibatkan ahli UMNO sahaja. Semua orang tidak kira parti dan warna kulit harus dilindungi. Orang Pas, Keadilan, Dap dan sebagainya juga berhak mendapat perlindungan dan pembelaan sebab mereka juga adalah rakyat negara ini.

Tugas kerajaan, polis dan sebagainya bukan untuk menjaga keselamatan mangsa dari UMNO semata tetapi seluruh rakyat negara ini. Kerajaan Islam Hadhari yang songsang itu seharusnya berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat dan jangan bersikap memilih mereka yang sebulu ‘balik’ dengannya sahaja.

Kerajaan Malaysia bukan sahaja hak ahli UMNO tetapi ia adalah milik rakyat seluruhnya. Samjiiii! – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 25.01.2005

1 comment:

Anonymous said...

Memang sangap UMNO