"Kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat, bukan rakyat yang takut kepada kerajaan." Pesan V dalam filem V For Vendetta.
Situasi politik semasa mutakhir ini amat mengelirukan. Ia berpunca dari kegagalan Abdullah Ahmad Badawi untuk mengotakan janji seperti yang terkandung di dalam manifesto Selamat, Aman dan Makmur.
Kalau kita buka akhbar perdana, saban hari ada sahaja kedengaran kes rogol, pecah rumah, rompakan, pencabulan, masalah disiplin melibatkan pelajar sekolah dan sebagainya. Kita selaku warga tiada pilihan lain selain dari menamatkan punca-punca keruntuhan sosial dan akhlak masyarakat. Semua punca-punca ini jika dihubungkait maka pokok pangkalnya akan ditemui yakni dasar kerajaan yang tidak serius dalam menerapkan nilai - nilai murni ke dalam lubuk sanubari remaja.
Dasar pro hedonisme Barisan Nasional telah menghenyak pemikiran remaja sehingga merosakkan nilai jati diri mereka. Inilah punca utama mengapa keadaan sosial masa kini dilihat sangat meruncing.
Soal keamanan pula dilihat semakin terhakis elemennya di dalam negara kita ini. Kalau dahulu kita boleh bernafas lega sewaktu berjalan-jalan di sekitar kediaman, hari ini ternyata berbeza. Silap hari bulan kita bakal menjadi mangsa ragut oleh manusia yang miskin harta dan miskin moral. Kalau dahulu paip-paip besi tidak dipedulikan, hari ini semuanya tinggal kenangan. Apa sahaja peralatan logam pasti akan disapu bersih oleh pencuri dan penagih dadah.
Ini menandakan keadaan negara kita semakin nazak. Kesan kehaprakan yang dipersembahkan oleh Barisan Nasional selama 50 tahun ini sudah mula menunjukkan kesan negatif yang semakin menghambat rakyat. Dasar pemerintahan yang gagal mengagihkan kekayaan secara adil kepada rakyat telah menyebabkan yang kaya semakin kaya dan si miskin bertambah daif manakala si daif berubah menjadi hina.
Wujudnya kelas bawahan yang ditindas dengan peluang pekerjaan yang semakin menguncup menyebabkan ramai rakyat yang terdesak. Ada yang mengambil jalan mudah dengan melepaskan tekanan melalui pengambilan dadah. Ada yang memilih jalan pintas dengan mencuri barang-barang untuk dijual sebagai besi buruk.
Ada yang terjebak dengan hutang yang amat membebankan. Ada yang terpaksa mengikat perut demi memastikan belanja susu dan lampin anak mencukupi.
Kesimpulannya, rakyat secara umumnya tertekan dengan dasar dan kaedah pentadbiran ekonomi negara kita yang bercelaru dan berterabur.
Kerajaan yang diharap menjadi pelindung kepada rakyat rupanya gagal dalam menangani masalah ekonomi yang kian meruncing. Kerajaan sebaliknya menaikkan harga minyak dan meletakkan beban kenaikan harga tersebut di pundak rakyat. Inikah fungsi sebenar kerajaan? Kalau begitu lebih baik jangan ada kerajaan.
Kita tiada pilihan lain. 100 hari Barisan Nasional memerintah rakyat semakin menderita. Oleh yang demikian bersamalah kita melepaskan geram dan protes kita pada tarikh keramat 6 Julai 2008 di Padang Timur Amcorp Mall. Jumpa anda di sana.
Akhir kata, kini hukumnya adalah wajib untuk UMNO - BN ditongsampahkan dan diganti dengan pimpinan Pakatan Rakyat. Ketumbukan UMNO - BN perlu dilumpuhkan dengan sedaya upaya kita. Reformasi!
Jangan takut untuk turun pada 6 Julai ini. Semarakkan gelombang merah. Tunjukkan kepada kerajaan UMNO - BN yang mereka sepatutnya berasa takut kepada rakyat.