Berikut adalah petikan ucapan Izham, seorang reformis yang akhirnya keluar dari tahanan di Sungai Buloh setelah dipenjara selama dua tahun kerana didapati bersalah menghina Ketuanan Melayu yang dijaja oleh Hairi Jamaluddin.
"Saudara, saudari yang saya hormati."
"Rejim Abdullah Ahmad Badawi telah tewas dalam pilihanraya umum yang lalu!" Nada tegas Izham telah membuatkan para hadirin tersentak lantas menjerit
"Hidup Rakyat! Hancur UMNO! Hancur BN!"
Izham kembali mengatur bicara. "Ini hakikat yang tidak perlu dinafikan. Anda bayangkan bagaimana ketumbukan lengkap BN meliputi jentera kerajaan, media massa dan wang jutaan ringgit boleh tumbang kepada gagasan rakyat yang hanya berbekalkan wang derma ikhlas yang dikutip semasa ceramah diadakan."
"Kemenangan Pakatan Rakyat di lima buah negeri dan Wilayah Kuala Lumpur telah berjaya menyentak Abdullah dari mimpi indahnya. Rakyat telah menggunakan kuasa undi untuk mengetuk kepala Abdullah agar dia sedar dan tidak mamai lagi." Ujar Izham.
"Di bawah pemerintahan beliau, Abdullah telah mencatat dua buah rekod nasional yang sukar ditandingi oleh mana-mana Perdana Menteri sebelumnya."
"Rekod pertama, Abdullah telah berjaya memperoleh mandat terbesar sepanjang sejarah Barisan Nasional yakni pada Pilihanraya tahun 2004."
"Rekod kedua, di bawah pentadbiran Abdullah juga, BN telah kehilangan 4 buah negeri dan gagal dalam misi menawan Kelantan dari PAS. Ini berlaku 4 tahun selepas beliau selesa dengan mandat 92%."
"Apa yang dapat dibuktikan dalam pilihanraya lalu?" Soal Izham.
"Kuasa Rakyat Kuasa Keramat!" Jerit sekumpulan anak muda.
"Betul." Kata Izham. "Natijahnya rakyat telah berjaya menconteng arang ke muka Pak Lah!" Tegas Izham sambil disambut dengan jeritan "REFORMASI" dari para hadirin.
"Saudara saudari sekalian."
"Setelah kita memberikan pengajaran kepada Abdullah, kita sangkakan beliau akan berubah. Kita jangkakan beliau akan memahami hasrat rakyat yang mahukan satu lonjakan baru dalam pentadbiran negara. Namun segala telahan kita meleset. Abdullah dan rejimnya kekal seperti sebelumnya, masih lagi berkhayal di tampuk kuasa, masih ANGKUH dan SOMBONG kepada kita!"
"Buktinya amat jelas, selepas mimpi ngeri pada 8 Mac 2008, BN telah mula menghukum rakyat di atas keberanian kita untuk berubah."
Secara tiba-tiba BN mahu mewujudkan sebuah lembaga di negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk menerima dana dari kerajaan Persekutuan. Segala wang dari kerajaan Pusat akan terus masuk ke kantung lembaga ini, bukannya melalui kerajaan negeri."
"Ini tidak ADIL!" Jerit Izham. "Hanya kerana perbezaan mazhab politik mereka sanggup menganiaya kerajaan Pakatan Rakyat. Mereka sanggup mewujudkan 'kerajaan dalam kerajaan' sehingga menekan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat."
"BN gagal untuk memahami hak-hak negeri seperti mana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka mempolitikkan peruntukan kewangan yang sememangnya wajib disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri."
"Kerana dendam politik, mereka buta untuk memahami semangat Federalisme! Tindakan gila babi mereka ini menyebabkan kita tiada pilihan lain selain terpaksa membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah naungan Pakatan Rakyat!"
"Dengan izin Tuhan, para Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan bersama-sama dengan kita sedikit masa lagi."
"Hidup Rakyat! Hidup Rakyat! Hancur UMNO! Hancur BN!" Jerit hadirin dengan penuh semangat. Udara sejuk malam itu semakin membahang dengan hujah-hujah Izham.
"Saudara saudari yang saya hormati."
"UMNO berbuih memperkatakan mengenai Permuafakatan Melayu sedangkan apa yang mereka lakukan selama ini ialah menyundal nasib orang Melayu."
"Mari kita imbas kembali, apakah yang terjadi kepada Kelantan selama 18 tahun ini? Wang peruntukan kerajaan negeri telah dinafikan. Pembangunan cuba digagalkan dengan pelbagai sekatan. Siapakah yang menjadi mangsa, orang Cinakah?"
"Namun rakyat Kelantan telah membuktikan yang mereka sememangnya memiliki tahap kesabaran yang sangat tinggi, sehingga kempen Pade Doh 18 tahun pimpinan Khairy Jamaluddin telah ditukar menjadi Pade Doh 50 tahun BN."
" Di Terengganu, apakah yang terjadi apabila PAS berjaya menawan negeri itu pada tahun 1999? Dengan secara tiba-tiba, Tun Dr. Mahathir telah menukar royalti minyak Terengganu kepada Wang Ehsan. Ke manakah wang itu pergi? Dan untuk apa tujuan wang itu dibelanjakan? Apakah rakyat Terengganu mendapat manfaatnya? Atau Patrick Badawi yang membolot duit-duit tersebut demi kepentingan dirinya?"
"Untuk pengetahuan tuan puan, UMNO ini licik. Di saat dia nyawa-nyawa ikan ketika itulah salakan-salakan Ketuanan Melayu kedengaran. Ketika imejnya semakin hancur lebur, UMNO akan menimbulkan isu agar dilihat sebagai wira pembela Kedaulatan Raja-Raja."
"Ramai antara kita yang tidak sedar betapa UMNO telah memijak Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Mereka telah menabalkan seorang Raja di bawah pokok Ketapang. Mereka telah mengecilkan peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu. Mereka juga menjadikan Institusi Raja tidak lebih dari sekadar rubber stamp semata-mata."
"Alih-alih hari ini, mereka mengaku sebagai pelindung Kesultanan Melayu dan menyerang Karpal Singh kerana dikatakan menghina Sultan Perak."
"Isu ini timbul apabila Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin mengambil keputusan untuk memindahkan seorang kakitangan awam kerana enggan berkerja sama dengan kerajaan negeri."
"Sultan Perak, dan Raja Muda Perak adalah cendekiawan dalam bidang undang-undang. Mustahil mereka tidak memahami prinsip pemisahan kuasa di antara Kuasa Eksekutif dan Kuasa Raja. Mustahil Baginda sewenang-wenangnya mencampuri urusan Eksekutif. Persoalannya mengapa isu ini boleh timbul dan diperbesar-besarkan."
"Mari kita imbas kembali apa yang terjadi suatu ketika dahulu. Kes seorang kakitangan Istana Negara bergelar Dato' Pengelola Bijaya Istana yang mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Perhimpunan Bersih pada tahun lepas. Apakah yang dapat dibuktikan di situ? Dato' Pengelola Bijaya Istana adalah orang UMNO cawangan Taman Minang."
"Kita amat risau jika ada kakitangan Istana Perak yang sengaja menimbulkan polemik berkaitan isu ini sehingga ia menimbulkan kekeliruan pihak Istana mengenai hal sebenar. Sudah tentunya kakitangan istana tersebut berkhidmat demi menjaga kepentingan UMNO."
"Apa yang dapat saya simpulkan, setiap kali timbul isu yang sengaja diheboh-hebohkan, akhirnya nanti UMNO sendiri yang rugi. Rakyat telah kenal UMNO sebagai sebuah parti yang gemar memutar belit dan menipu rakyat marhaen. Cakaplah apapun orang tidak akan percaya kepada UMNO, sebuah parti yang telah menyeleweng amanah rakyat!"
"Lihat sahaja isu terbaru di Selangor. Dalam tempoh 58 hari Pakatan Rakyat memerintah, sudah timbul perasaan busuk hati UMNO apabila mendakwa Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji seperti yang terkandung dalam manifesto pilihanraya umum lalu."
"Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid tidak pula berkata kerajaan negeri akan memansuhkan janji yang terdapat pada pilihanraya. Apa yang ditekankan oleh beliau ialah janji itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka waktu yang singkat."
"Apakah UMNO begitu bodoh sehingga mahu melihat semua janji ditunaikan dalam tempoh 60 hari? Bukankah Pakatan Rakyat masih memiliki 4 tahun untuk melunaskan janjinya?"
"Baiklah, saya ingin bertanya kepada Khir Toyo, bagaimana pula dengan manifesto Selamat Aman dan Makmur yang dijaja oleh Barisan Nasional? Apakah perubahan drastik yang telah dilaksanakan oleh Abdullah Ahmad Badawi?"
"Pendatang asing tanpa izin yang tidak memiliki apa-apa dokumen masih lagi dilihat berlenggang di serata pelosok negara kita. Orang awam masih risaukan keselamatan diri mereka. Kes rogol, bunuh, keruntuhan akhlak masih lagi memburu masyarakat kita. Konsert - konsert hiburan yang melalaikan masih lagi dibiarkan tanpa sekatan. Penjenayah yang membunuh adik Sharlinie masih menjadi tanda tanya. Dan Polis pula sibuk untuk menahan pejuang rakyat YM Raja Petra Kamaruddin sedangkan masih banyak lagi kes jenayah yang belum diselesaikan."
"Ekonomi semakin mendesak. Rakyat diajak untuk mengubah gaya hidup di saat Khairy Jamaluddin mampu memiliki sebuah helikopter. Sekali lagi saya bertanya, 60 HARI SUDAH BERLALU TETAPI DI MANA IMPAK PERLAKSANAAN MANIFESTO SELAMAT, AMAN DAN MAKMUR?? DI MANA??"
"BN PENIPU!!!" Jeritan rakyat menggambarkan perasaan marah mereka terhadap BN yang gemar memperbodohkan rakyat Malaysia.
"Ketahuilah, UMNO tidak boleh memerintah Malaysia tanpa sokongan dan dokongan parti-parti komponen BN. Ironinya jika kita lihat pada hari ini, mereka masih leka menjaja racun yang sudah terbukti berjaya membunuh kekebalan BN iaitu Ketuanan Umnoputera."
"Selepas ini, padah kelalaian UMNO itu bakal menjerat Barisan Nasional. Tumbangnya MCA dan MIC dalam pilihanraya umum lalu adalah bukti jelas saat karamnya tongkang Barisan Nasional semakin hampir."
"Mulai malam ini, marilah kita bersama-sama menyeru kepada rakan taulan kita yang berada di dalam tongkang itu supaya bersiap sedia menyelamatkan diri dari lemas dihanyut arus kemusnahan -- tenggelamnya Barisan Nasional." Izham mengakhiri ucapannya dengan laungan keramat REFORMASI sebanyak 3 kali.