Saturday, March 24, 2007

Kepentingan Nasional Yang Palsu Menyekat FTA

Kepentingan Nasional Yang Palsu Menyekat FTA
(Pseudo National Interests Blocking FTA)
Oleh M. Bakri Musa and Din Merican

Perdana Menteri Abdullah sudahpun mengulangi apa yang memang terbaik dapat dilakukannya: mengelak daripada membuat keputusan yang sukar-sukar. Kegagalan menamatkan perundingan FTA pada akhir bulan ini, bererti keputusan yang amat penting untuk negara sudah berganjak jauh darinya. Dari situ nanti pelbagai peristiwa akan menentukan keputusan pendiriannya. Tidak mungkin akan ada perjanjian dengan Amerika mengikut FTA pada masa yang terdekat dan dengan itu akan berlangsung peluang melepas. Sekali lagi Abdullah mengorbankan masa depan negara dengan menonjolkan segala kepentingan yang dianggap pendek sahaja jangka hayatnya.

Walaupun beliau menafikannya, Abdullah sesungguhnya sedang mengintai kemungkinan mengadakan pilihan raya umum sebagai langkah mengelak kemunculan semula Anwar Ibrahim dalam arena politik. Dia amat takut kalau FTA akan dilihat sebagai anti-Melayu dan anti-DEB. Inilah silapnya kerana tidak dapat menundukkan para pengkritik yang kurang tahu seperti si anak menantu.

Kegelojohan mengumumkan bahawa dia tidak terikat kepada sekatan masa, menunjukkan betapa Abdullah tidak berunding dengan serius dan secara ikhlas dengan orang Amerika. Dia mencemar martabat Malaysia di pentas antarabangsa, dan kini cuba menyalahkan Amerika kerana kegagalan itu.Kerana terlalu lama bertugas dalam kerajaan menyebabkan Abdullah semacam lali dengan sikap mengejar masa. Dalam isu FTA yang sungguh penting, sekali lagi dia menyerlahkan betapa dia memang ketandusan wawasan dan keberanian untuk bertindak. Memang dia terlalu tidak cekap; cara pengurusan beliau memang menampakkan kecenderungan mengelat, daripada melaksanakan tanggungjawab dan sekali gus menghampakan amanah yang diberikan kepadanya oleh rakyat jelata.

Sepatutnya kita telah berunding secara serius dengan orang Amerika dari tahap awal lagi dan bukan selalu menyimpang jauh disebabkan pergocohan kabinet.Walaupun semasa di bawah kepimpinan yang unggulan, kabinet beliau yang besar kelihatan tidak bermaya. Di bawah kepimpinan Abdullah ia semacam satu bilik darjah yang dihuni pelajar kelas tiga yang mundur, cakap besar mereka yang berdegar-degar hanya melambangkan kebingitan yang ada.

Jaminan Abdullah bahawa dia akan menjaga kepentingan negara adalah cakap kosong dan tidak bermakna. Memanglah dia patut menyebutnya. Tetapi cuba fikirkan perkara berikut ini.Mujur, Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menyuarakan sokongan peribadinya kepada FTA. Memang tepat kalau dia menolak golongan nasionalis baru dan penyokong palsu terhadap para petani kita. Kami amat mengharapkan mereka yang lain dalam jawatan awam yang bertanggungjawab akan menyuarakan sokongan mereka, seperti Yong Poh Kon, Pengerusi Persekutuan Pengeluar Malaysia dan seorang pemimpin korporat yang berpengalaman, Adam Kadir. Bidang pembuatan adalah sektor ekonomi kita yang berpada skalanya, pertanian khususnya penanaman padi berada di bahagian corot senarai kita.

Duta kita di Washington sepatutnya memaklumkan kepada Abdullah akan hakikat sebenar politik Amerika. Ini adalah tugas beliau dan bukannya menyibuk selalu dengan minit perundingan. Puak Demokrat Amerika yang bersikap proteksionis berkemungkinan tidak akan melanjutkan peruntukan “laluan laju” (fast track” yang ada kini dan mereka berkemungkinan besar akan mengambil-alih kepimpinan di Rumah Putih dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Dakwaan bahawa Amerika mengenakan sekatan masa adalah satu dakwaan jahat. Keputusan untuk memulakan perundingan sudah pun dibuat awal tahun lalu, di mana kedua pihak memang amat sedar akan tarikh penentuan. Dari memberikan tumpuan kepada perkara yang penting-penting, para pemimpin kita telah sibuk dengan perkara titik- bengik seperti Islam Hadhari.

Kalau diimbau kedunguan Abdullah, nyata sangat betapa dia terlalu bergantung kepada para penasihatnya yang haprak seperti Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop, dan anak menantu Abdullah yang tidak pun teruji kepintarannya. Sikap liar Nor Mohamed terhadap Amerika memang tidak mengejutkan sesiapa.Agensi ‘Federal Reserve” (berperanan semacam Bank Pusat di Amerika - penterjemah) telah mengenali Nor Mohamad sebagai seorang penyagak matawang yang ditaja oleh kerajaan” semasa dia berkhidmat dengan Bank Negara. Kemelut negara kehilangan berbilion ringgit dan peranan besar Noh Mohamed dalam skandal itu masih belum didedahkan lagi.

Kembali Kepada Yang Asas

Di sebalik sikap nasionalisme palsu para pemimpin yang tamak haloba dan para bijak pandai, adalah baik kalau diimbau prinsip asas perundingan dan rasional mendapatkan satu FTA.Yang utama, kita berunding hanya dengan pihak yang kita percayai. Kalau ada perasaan anda bahawa pihak lain akan cuba mengenakan anda eloklah tidak menyertai perundingan itu. Selain itu pula sesuatu perjanjian itu mesti membawa faedah kepada kedua-dua belah pihak, di mana setiap pihak akan merasa untungnya dengan perjanjian itu dan bukan ketiadaannya.

FTA dengan Amerika memenuhi kedua-dua kriteria. Kita tidak yakin bahawa hanya satu pihak yang mahu mengena pihak yang lagi satu, dan kalau berlaku tambahan dagang daripada itu, ia akan memberi faedah bersama.Perdagangan adalah satu alat berkesan untuk pembangunan, ekonomi dan bukan-ekonomi. China pada hari ini adalah satu lambang positif akan kebijaksanaan ini. Di Myanmar terletak contohnya yang negatif. Zaman kegemilangan kesultanan Melaka dahulu ada kaitan dengan hakikat bahawa kerajaan Melayu dahulu berada di laluan maritim yang aktif dan pedagang Melayu bergiat aktif ketika itu.

Para pemimpin kita menyedari perkara ini, setidak-tidaknya secara superficial, Lantas mereka kerap melaungkan angka dagang yang berjumlah trillion ringgit. Perdagangan kita dengan mereka merupakan sebahagian besar angka itu.Pertukaran dagangan dan perkhidmatan akan disusuli dengan aliran pemikiran dan manusia. Adalah penting diingat kembali betapa Islam masuk menerjah dunia Melayu melalui perdagangan. Perdagangan dua hala kita dengan Singapura telah menampan banyak resah-gelisah antara dua negara ini. Amerika dan China yang satu ketika dahulu musuh ketat, hari ini menjadi rakan dagang yang utama dan dengan itu memperkasakan kedamaian dunia.

Sepatutnya kita galakkan perdagangan dengan merobohkan segala hambatannya - dan inilah intipati FTA. Ia tidak menghapuskan segala hambatan itu, hanya tarif terhadap eksport dan import. Lonjakan dagang yang mengekorinya sudah tentu akan menjadi sumber pampasan kepada kerugian cukai. Ini tidak ada kena mengena dengan kapitalisme, ia lahir secara empayarikal. Namun demikian, apa juga hambatan ‘bukan-tarif’ akan kekal dan akan memanjang mengikut kepintaran manusia meleret-leretkannya.Amerika merupakan rakan dagang Malaysia yang paling besar dan sudah tentu terus akan memihak kepada kita. Sepatutnya kita pelihara pakatan itu dan bukan mengambil jalan mudah sahaja. Kita memang perlu menjaga hati pelanggan kita yang terbaik setiap masa.

Buat masa ini Amerika sudah menjalin FTA dengan Singapura, dengan itu boleh dijangkakan betapa perdagangan Amerika, pelaburannya, dan apa juga kepentingannya yang lain akan mengalir secara memihak ke sana. Sudah menjadi lumrah dalam pasaran, apabila sesuatu corak telah ditempa, adalah amat sukar untuk menukarnya. Apabila kita kehilangan sesuatu pasaran adalah amat sukar untuk mendapatkannya semula.

Falsafah hidup ini semacam tidak dimengerti oleh Abdullah; dia tidak pernah memikirkan perlunya menyediakan gaji sesiapa. Hakikat ekonomi yang asas ini memang tidak didedahkan kepadanya dan kerana itu adalah di luar kefahamannya.Setakat ini Amerika sudahpun menjalin FTA dengan empat negara Islam. Sekali lagi Malaysia melunturkan peranan kepimpinannya dalam blok yang amat penting ini.

Asas Perundingan

Ada isu hangat sekarang melibatkan dasar perolehan dan saingan kerajaan. Kami percaya bahawa projek yang besar-besar semestinya dibuka kepada pembidaan antarabangsa di mana kriterianya telus dan kos, kualiti, serta peralihan kepintaran dan teknologi adalah pertimbangan yang utama. Ketiadaan ketelusan ini menjadi dasar kenapa korupsi begitu membarah dalam UMNO.

Apabila diwujudkan ketelusan yang lebih meluas, mereka yang akan kalah besar akan mereka yang berlagak sakan dalam UMNO serta para kroninya yang mempunyai kepintaran hanya dalam menagih projek mewah awam melalui “kontrak yang dirundingkan” pada kadar yang sengaja digelembung untuk membolehkan mereka memerah komisen besar yang amat menguntungkan sebelum mengagihkan projek itu kepada orang lain. Mereka bukannya ada menyumbang apa-apa yang bernilai kepada sesuatu usahawan itu, sebaliknya, mereka mencetuskan kos tambahan yang tidak diingini. Yang lebih buruk lagi, mereka inilah yang membusukkan nama Melayu dan Malaysia.

Kalau kewujudan FTA dengan Amerika dapat menamatkan segala kehaprakan itu, adalah patut kita menyokongnya. Memanglah kumpulan penyangak ini merupakan kumpulan pertama yang akan melalak tidak bersetuju dengan kita, sambil menonjolkan diri mereka sebagai puak nasionalis, dan kita ini sebagai boneka Amerika. Hanya rakyat yang cerdik kerana maklumat akan menyepikan kehaprakan dan penipuan mereka.

Amalan haprak itu tidak akan melindungi GLC (Syarikat yang ada kaitan dengan Kerajaan) kita. Kalaulah mereka perlu bersaing secara berkesan di arena global, tentu mereka perlu berdaya saing di negara sendiri dahulu. Amerika memang sedia memahami dinamika perkauman kita, lagi pun Amerika memang sudah lama mengongsi dilemma sosial kita. Di Amerika pun ada dasar keistimewaan ekonominya sebelum kita memiliki dasar ekonomi baru. Lagi pun Amerika bukannya mendesak sangat tentang daya saing itu, apa yang mereka mahukan ialah ketelusan. Begitulah juga keinginan kita yang sepatutnya.

Dasar daya saing sudah tentu akan memberi syarikat Amerika dan negara asing kemudahan yang sama, bertentangan dengan kedudukan istimewa untuk GLC kita. Sehubungan dengan itu, semua GLC kita akan menerima peluang yang sama cabarannya di Amerika, di mana pasarannya adalah melebihi US$250 bilion.

Memanglah kita sedar akan berlaku juga pelbagai karenah dan tolak-ansur disebabkan FTA nanti dan ini semua terpaksa dilakukan kepada mereka yang merasakan kesannya. Di sini saya merujuk secara khusus perihal para penanam padi kita, dan bukannya para juara palsu dan kapitalis ekspres yang berada dalam UMNO. Dalam menjuarai para penanam padi, pengkritik FTA seperti Khairy Jamaluddin sedang sengaja berselindung di sebalik kepalsuan topeng nasionalis mereka. Mereka dan Abdullah sesungguhnya tidak ikhlas semasa menonjolkan betapa perlunya pelbagai tolak-ansur itu dipandang sebagai mencemar kedaulatan negara kita.

Baru-baru ini Utusan Malaysia telah membuat bancian secara online. Kurang daripada 14 peratus responden beranggapan bahawa FTA dengan Amerika akan membawa faedah kepada Malaysia. Yang menakjubkan, hampir separuh (45 peratus) yang merasakan bahawa isu itu “perlu dikaji lebih dalam lagi”.

Sekali lagi ini melambangkan kegagalan pucuk kepimpinan dalam kerajaan, media dan akademik. Segal isu itu memang wujud lama dalam laman web MITI dan juga USTR (US Trade Representative’s Office), sayangnya para pemimpin kita tidak pun membuat kajian mereka.

Kita masih menunggu sebarang lidah pengarang dalam media arus perdana mengenai isu ini. Para cerdik pandai kita khususnya professor ekonomi masih tetap diam membisu, seperti juga Anggota Parlimen. Hanya dalam laman blog boleh kita dapati perbincangan hangat akan perkara ini.Kenyataan “perlunya kajian mendalam” menyorokkan keresahan rakyat yang semakin membara. Setelah menyaksikan kemelut jambatan bengkok di Johor satu ketika dahulu, rakyat Malaysia sudah tidak punyai banyak keyakinan – memang sewajarnya – kepada kemampuan pegawai kerajaan menangani masalah yang sungguh rumit seperti perundingan ini. Meloloskan kenyataan “perlu kajian mendalam” tidak akan memberi bantuan. Apa yang perlu diperolehi ialah bantuan daripada luar.

Ketika Chile merundingkan FTA dengan Amerika, ia telah mendapatkan khidmat pakar yang terbaik, di kalangan orang Amerika yang berbakat untuk membantu mereka mendapatkan yang terbaik daripada Amerika. Perkara semacam ini memang sukar dimengerti oleh rakyat Malaysia yang menganggapnya semacam satu pembelotan. Akan tetapi dalam dunia perniagaan, kepentingan pelanggan harus menjadi tumpuan utama kita. Lagi pun mereka yang membayar segala keperluan kita dan keluarga. Memang kita tidak ketandusan ketelusan dalam rundingan yang berjalan sekarang seperti yang didakwa, tetapi kita ketiadaan tumpuan, kesabaran dan inisiatif di kalangan para pemimpin politik dan intelek. Seharusnya kita menyalahkan diri sendiri kerana itu semua dan tidak menyalahkan orang Amerika pula.

M. Bakri Musa just released his latest book, Towards A Competitive Malaysia: Development Challenges in the Twenty-first Century (www.bakrimusa.com). Din Merican is Senior Research Fellow, Cambodian Institute for Cooperation and Peace, and Visiting Professor, University of Cambodia, Phnom Penh. (dmerican@yahoo.com). The views expressed do not implicate these institutions.

- Terjemahan oleh marhaintua - suntingan M@RHAEN