Saturday, December 31, 2005

Paklah dan Syarikat Ali-Baba

(Paklah and the Ali Baba Firm)

Oleh MGG Pillai

Anak menantu Perdana Menteri, Encik Khairy Jamaluddin, sudah pun membeli saham sebuah ‘syarikat Ali Baba’ bernama ECM Libra dengan pelaburan bernilai RM9.2 juta. Bagaimanakah dia berjaya dengan pantasnya memiliki wang sebanyak itu sedangkan baru sahaja berusia sekitar tiga puluhan dan diketahui bukannya ada pekerjaan tetap ataupun perniagaan lumayan yang mampu menyuntik dana sebanyak itu? Beliau telah mengancam untuk menyaman malu sesiapa sahaja, termasuk saya yang sanggup mendedahkan perkara ini kepada umum. Akan tetapi ugut-mengugut seseorang sudah menjadi satu perkara lumrah dalam kehidupan orang atasan di negara ini, apabila mereka tidak mampu ataupun tidak berani memberikan penjelasannya. Cuba lihat sahaja kisah Pengerusi MAS, yang akan mengugut sesiapa ataupun mengadu dengan laporan agar polis menghentikan perbuatan sesiapa yang menghantar emel memburukkannya. Wakil rakyat PAS di Parlimen, YB Husam Musa, telah bertanya bagaimana mungkin Khairy boleh memiliki dana sebanyak itu untuk membeli saham ECM Libra. Apakah itu merupakan komisen yang diterimanya dalam penjualan aset kerajaan Malaysia kepada Singapura?

Cuba kita renungkan perkara ini satu persatu. ECM Libra mendapat galakan daripada kerajaan Paklah dan orang-orang Cina amat faham akan perkara itu. Terdapat tiga orang Melayu dalam Lembaga Pengarah syarikat. Dua daripadanya adalah rapat dengan Paklah – menantunya Khairy dan bekas Ketua Pengarang The New Straits Times, Dato’ Kalimullah Hassan. Syarikat ini mula menonjol apabila semakin jelas yang Paklah akan menjadi seorang Perdana Menteri. Walaupun wujud beberapa sekatan untuk syarikat milik bukan-Melayu naik membesar di negara ini, syarikat ECM Libra mengambil langkah yang teliti untuk berjaya. Jika tidak, ia akan menjadi satu syarikat mangkuk-hayun sahaja. Perhatikanlah di sekeliling kita, dan anda akan sedar bahawa hanya syarikat yang rapat dengan pihak atasan yang mampu hidup secara berkesan. Orang Melayu yang menganggotai Lembaga Pengarah adalah mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak yang berkuasa. Semakin rapat mereka dengan puncak kuasa semakin selesa syarikat itu jadinya.

Akhbar Malaysia yang keseluruhannya milik Barisan Nasional dan parti komponennya, telah menyebut bahawa ECM Libra adalah satu syarikat pelaburan yang kononnya mempunyai pelabur Melayu yang menerajui kemudinya. Sesungguhnya itu adalah perkara yang tidak benar. Banyak syarikat menghadapi kesulitan untuk bernafas sejurus seseorang Perdana Menteri berundur. Inilah yang telah berlaku kepada syarikat milik orang-orang yang rapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad. Syarikat semacam itu mendapat rangsangan untuk membangun dengan cepat gara-gara wujudnya 'Faktor X ' semasa Perdana Menteri berkenaan masih berkuasa dan jatuh menjunam sejurus penaung agung itu berundur. ECM Libra tidak pun diketahui ramai sebelum Paklah naik menjadi Perdana Menteri. Akan tetapi sewaktu itu ECM Libra dikatakan terlibat dengan syarikat asing, khususnya syarikat Singapura yang ghairah membeli syarikat Malaysia milik kerajaan.

Akan tetapi, masih tidak ada penjelasan bagaimana Khairy Jamaluddin mampu memiliki wang yang banyak itu. Bapa mertuanya telah mencanangkan agar diwujudkan ketelusan, tetapi si anak menantu tidak pula mempercayainya. Khairy telah lulus dalam bidang PPE (politik, philosophy (falsafah) dan ekonomi) daripada Oxford dan telah mengikuti pengajian untuk ijazah ‘masters’ (sarjana) di tempat lain kerana memikirkan bahawa ijazah Oxford itu tidak mencukupi. Beliau juga tahu macam mana memilih isterinya untuk dikahwini. Pada tahap awal beliau telah mengendeng anak perempuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi telah mengalih pandangannya ke arah anak perempuan Paklah untuk dijadikannya isteri, sejurus Anwar Ibrahim ditangkap.

Kini sudah timbul berita bahawa Dato’ Seri Anwar akan menganggotai UMNO semula, tetapi itu hanya dongeng sahaja. Politik UMNO tidak akan mengizinkan perkara semacam itu. Anwar telah naik mencanak satu ketika dulu dan telah mendamparkan bahu-bahu orang yang pernah ditenggeknya untuk naik mencanak ke atas untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Apabila beliau ditangkap, ramai orang lain yang masuk mengisi kekosongan, dan orang-orang ini terpaksa berundur untuk mengosongkan tempat itu pula.

Ramai pemimpin UMNO yang menentang Anwar. Tun Mahathir yang pernah mengarahkan Anwar ditangkap, kini tidak memegang jawatannya lagi tetapi masih aktif walaupun sudah bersara. Beliau giat berkempen agar Dato’ Seri Anwar tidak menganggotai UMNO semula. Walaupun beliau telah lama berkhidmat untuk membangunkan Malaysia (dan menjahanamkan orang Melayu - penterjemah) selama 22 tahun, dia akan mudah dikenang orang sebagai musibat yang menangkap Dato’ Seri Anwar. Semasa Paklah menjadi Menteri Luar, dia taksub dengan satu tekad untuk menentukan Anwar jatuh daripada tampuk kuasa Timbalan Perdana Menteri. Walaupun mereka ada kaitan persaudaraan, Paklah tidak mahu melihat Dato’ Seri Anwar terus berkhidmat. Mereka berdua datang daripada kawasan Parlimen yang berjiran di Pulau Pinang, dan menganggap satu bahaya di masa depan kalau terus begitu.

Kisah kemasukan Anwar menganggotai UMNO semula adalah kerja Khairy dan para pembodeknya. Masa depan Khairy akan berakhir seandainya Dato’ Seri Anwar tidak menganggotai UMNO semula. Kini, Dato’ Seri Anwar sudah menafikan yang dia berminat masuk UMNO. Orang yang berkemungkinan besar menggantikan Paklah sebagai Perdana Menteri, yakni Dato’ Seri Najib, tidak akan berminat melihat muka Khairy sebaik sahaja dia memegang jawatan itu. Kini sudah terlalu ramai orang yang marah melihat Khairy naik mencanak memegang jawatan tinggi tanpa pengalaman. Semasa dia mahu bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO semua pencabarnya sedar akan risiko menentang beliau dan kerana itu beliau menang tanpa bertanding. Lagi pun bapa mertuanya adalah Perdana Menteri yang begitu taksub meyakini yang dia memang bijak bestari.

Pucuk pimpinan UMNO sedang hilang punca gara-gara seorang pemimpin yang dijolokkan naik ke atas. Beliau dikatakan seorang bijak bestari dalam bidang politik dan perniagaan. Kononnya, apa juga yang disentuh akan bercahaya. Mangkuk ayan yang disentuhnya akan bersinar menjadi kencana yang berkilauan. Kerana itu dia mampu menarik minat anggota UMNO yang rakuskan harapan untuk mendapat sedikit keuntungan politik dan perniagaan. Tukang karut beliau dalam bidang media yang sememangnya tidak boleh melupakan anak menantu Perdana Menteri mengedarkan propaganda betapa dia adalah seorang tokoh yang perlu dikagumi. Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir dulu, kononnya adalah satu kemenangan Khairy juga. Akan tetapi, Khairy harus mengingati apa yang terjadi kepada seorang lagi bintang bersinar UMNO, yang bernama Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Khairy Jamaluddin bukannya datang dari satu keluarga yang kaya-raya. Sebagai anak seorang diplomat, dia mendapat biaya kerajaan untuk menuntut, termasuk di Oxford. Khairy pernah bercita-cita menjadi anggota Parlimen bagi kawasan Rembau, satu ketika dulu. Beliau gagal kerana tidak terpilih sebagai calon. Khairy mempunyai terlalu ramai musuh politik di Negri Sembilan. Salah seorang musuh itu ialah mantan Menteri Besar Negri Sembilan dan juga bekas menteri kabinet Persekutuan, Dato’ Isa Samad. Khairy berjaya mendalangi kerja busuk agar Isa tersingkir daripada kabinet, tetapi Isa masih mempunyai pengaruh besar di Negri Sembilan. Khairy masih mentah dalam selok-belok budaya Melayu dan amat yakin bahawa dia akan terus berada di puncak kuasa gara-gara hubungannya dengan Perdana Menteri dan kekayaan yang dibalunnya selama ini. Inilah yang menjentik persoalan bagaimana dia mampu menimbun harta sebesar itu dalam tempoh yang singkat. Dia percaya dapat terus kekal di atas tanpa memberikan penjelasannya, sambil memberi ugutan mahu menyaman sesiapa yang mempunyai pendapat bercanggah dan dengan terus merapati pihak yang mencengkam kuasa. Dia tidak dapat bertahan, kecuali dia menjelaskan sebagai seorang ahli politik dan seorang peniaga, apakah kerja dia sebenarnya serta bagaimana dia dapat mengumpul begitu banyak harta.


MGG Pillai - Terjemahan MT-SPAR - 31.12.2005

1 comment:

Anonymous said...

Hari ini hari dia, kita menyalak sekali pun tak akan merubahkan apa-apa kerena dimata PakLah 'My Khairy" nya sangat bijak dan harus diberikan hak dan peluang untuk mendapat sesuatu ketika beliau masih berkuasa.

Hadhari, hadhari jua ada hari, ada hari lah juga.