Sunday, March 27, 2005

Selamat Bermuktamar Pas!

Bismillahirahmanirahim.

<>Assalamu'alaikum.

Apa khabar Pas Kelantan? Pas Kedah? Bagaimana pula Pas Selangor? Trengganu, Perlis, dll? Bukan apa, begitulah realiti yang terpampang di depan mata membaca cetusan-cetusan minda penulis-penulis yang amat sayangkan Pas di laman-laman web di kebelakangan ini. Sayang? Belum tentu... kerana penulisan mereka mempunyai tujuan masing-masing. Ada yang cuba melobi calon, ada juga yang bersifat api dalam sekam dan tidak ketinggalan yang ikhlas untuk memperkasakan Pas. <>

Walau apa pun, kita percaya perwakilan-perwakilan ke Muktamar nanti tidak akan dipengaruhi oleh pandangan-pandangan sedemikian kerana mereka bukan calang-calang orang. Mereka ke Muktamar dengan satu matlamat – memilih saf kepimpinan yang akan memperkasakan Pas bukan hanya menjelang PRU tetapi untuk sepanjang zaman. Mereka ke Muktamar dengan hati yang ikhlas sebagai mujahid Islam yang tidak mudah tertipu dengan dunia. Justeru mereka kenal siapa pemimpin politik dan siapa pula pemimpin gerakan Islam. Mereka tidak lagi akan jadikan hari-hari muka untuk mengkritik pemimpin-pemimpin yang mereka pilih sendiri sekadar hanya mencanang adanya ketelusan dalam organisasi. Mereka tidak ego dan sombong diri kerana dipilih sebagai perwakilan tetapi ke Muktamar dengan penuh amanah untuk mendaulatkan Islam di bumi bertuah ini. Mereka sedar perjuangan mereka tidak lunyai dari serangan-serangan musuh – kifirun, munafiqun, fasiqun – saban hari dan malam. Cabaran-cabaran ini menjadikan mereka lebih istiqamah dan mantap dalam perjuangan.

Cetusan-cetusan minda seperti Pas Kelantan dengan cadangan barisan kepimpinannya, Pas Kedah dengan cadangannya, Pas Perlis dengan cadangannya, Pas Trengganu dengan cadangannya, malah semua ada cadangan masing-masing. Begitulah terbukanya Pas dalam memilih dan menentukan barisan kepimpinannya. Dengan keterbukaan inilah ahli-ahli Pas, tanpa ambil peduli dengan konsep Islam, menjadikan medan perjuangan untuk mengkritik pemimpin dan bukannya untuk memperkasakan Pas dengan barisan kepimpinan yang telah mereka persetujui mengikut majoriti walaupun keputusan majoriti itu belum tentu baik mengikut kaedah Islam. Pada masa yang sama kita mendengar/berhadapan/mengalami ketidakmesraan hubungan di antara saf kepimpinan seperti yang dapat kita baca di akhir-akhir ini. Kalau tidak ada bayu masakan daun melambai-lambai. Cuba ingat ini. Menjelang PRU 11 yang lalu, di Taman Melewar di perhimpunan memperkenalkan calon-calon. Seorang calon telah diperkenalkan oleh PJ sebagai calon DUN, Semasa di rostrum calon berkenaan juga memberitahu bahawa dia juga adalah calon Parlimen! Bagaimana PJ tidak tahu? Pelik? Ajaib? Ini bukan sahaja bermaksud “ketidakmesraan” malah ketiadaan ‘hormat’ kepada kepimpinan. Apabila politik melebihi perjuangan inilah jadinya.

<>Pas Kelantan ada karenahnya. Ia bukan sesuatu yang baru tetapi telah lama wujud. Kalau tak percaya tanya Tok Guru. Desas desus juga kedengaran dalam Pas Selangor. Pas Trengganu dengan masalahnya. Kenapa agaknya semua ini terjadi? Persis Umno? Too much politicking. Especially in states where Pas is strong or seemed to be strong. Di negeri-negeri di mana Pas tidak mencabar hal-hal sebegini tidak berlaku. Why? Kerana di sana menawar jawatan, menawar kedudukan! Inilah yang semua perwakilan diamanahkan untuk menyelesaikan. Pilihlah barisan kepimpinan yang ikhlas yang tidak berpolitik sesama sendiri lantaran kepentingan yang dikejar. Pas perlu perkasa – cemerlang, gemilang, terbilang - sebilang masa bukan ketika menjelang pilihanraya. Bukan untuk jangkamasa Muktamar 2005 – 2007. Ingat, 2008 adalah tarikh PRU. Apakah perlu Pas menghabiskan masa untuk satu lagi Muktamar sebelum PRU? Pas tentu boleh kurangkan politik dalaman jika perwakilan memainkan peranan dengan sebaik-baiknya.

Pas Selangor atau Pas Kedah atau Pas Trengganu tidak akan perkasa jika Pas Kelantan sentiasa menghidap selsema kerana virus dalaman. Yang perlu diperkasakan bukan Pas Negeri tetapi Pas Pusat. Begitu juga Pas Pusat tidak boleh jadi perkasa jika Pas Negeri tidak perkasa. Di sinilah peranan serta amanah yang besar diletakkan di atas bahu semua perwakilan. Janganlah membawa ide Pas Negeri perlu diwakili di Pas Pusat kerana ia belum tentu dapat menjana kekuatan Pas. Orang lama dan berpengalaman sentiasa berguna tetapi tidak semestinya mesti berada di saf kepimpinan. Pas bukanlah milik orang Pas sahaja untuk meraih kemenangan. Kehebatan orang-orang baru yang terkenal sebagai profesyenal perlu dikehadapankan berganding bahu dengan orang lama. Campuran ulama dan profesyenal amat perlu dan diperlukan dengan memahami dan berpegang kepada dasar perjuangan. Jangan jadi macam sistem yang ada ini, pengautkuasaan agama sudah di tangan polis seperti raja-raja sebagai ketua agama tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menari ikut rentak pemimpin Islam Hadhari. Amat jelas kemana Islam hendak dibawa dan dijadikan oleh orang-orang sekular (kafir, munafiq, fasiq).

Lihatlah bagaimana musuh sentiasa mengintai kekuatan Pas dan tidak membuang masa menghancurkan kekuatan itu. Ceramah merupakan senjata ampuh bagi Pas justeru ia cepat-cepat dirampas dari Pas, sebagai contoh. Pas kini boleh dikatakan kehilangan taring tanpa ceramah. Mereka peduli apa walupun tindakan mereka tidak demokratik? Bapa demokrasi dunia tidak sedikitpun peduli dengan kebiadaban ini kerana mereka sebulu - demokrasi adalah hak mereka untuk terjemahkan mengikut selera masing-masing demi kesinambungan sistem korup, kroni, keluarga dan kepapaan serta kesusahan rakyat. Pas juga tidak perlu menari sebagaimana yang Umno mahu. Pilihlah barisan kepimpinan yang diredhai Allah demi mendaulatkan agamaNya. Kepada mereka yang sedar, lepaskanlah jawatan jika terlintas 'dunia' di benak kepala.

<>
Kecemerlangan, kegemilangan, keterbilangan Islam tidak akan tercemar oleh mujahid-mujahidnya. Mereka tidak mudah dibeli dengan dunia justeru pendokong dan penyokong tidak perlu bimbang akan usaha-usaha membeli mereka. Pencemarnya adalah seperti manusia bernama Abdullah bin Ubai yang mementingkan diri sendiri.
<>
Selamat Bermuktamar!

No comments: