Tuesday, March 22, 2005

Pertahankan kebebasan media agar tak ada suara sumbang “PAS sama macam Umno”

Pertahankan kebebasan media agar tak ada suara sumbang “PAS sama macam Umno”

Perkembangan mutakhir ini terdapat tulisan-tulisan dalam laman-laman web ‘kita’ semenjak dua menjak ini khususnya banyak artikel yang menghentam segelintir pimpinan PAS menjelang muktamar PAS tidak lama lagi.
Begitu juga dengan kenyataan daripada beberapa pengendali laman web yang mungkin akan mengakibatkan akhirnya tulisan yang menghentam PAS, PKR atau parti pembangkang yang lain akan diharamkan sama sekali daripada disiarkan dan para pembaca hanya perlu menghantar tulisan yang memuja pembangkang dan mengkritik BN demi untuk menagih simpati pengendali laman web supaya disiarkan.

Penulis mengandaikan bahawa ini adalah satu bentuk penjajahan baru yang cuba dicipta oleh ‘orang-orang kita sendiri’ yang memaksa satu aliran pemikiran sahaja yang perlu ditanamkan dalam minda para aktivis pembangkang. Sudahlah selama ini kita telah dijajah sedemikian rupa oleh media massa kawalan BN, media massa kita juga termasuk Harakah dan Seruan Keadilan pun sama juga.

Sekiranya beginilah sikap yang ditunjukkan oleh pengendali laman web yang terdiri daripada mereka yang menyokong aliran pemikiran pembangkang, maka harapan penulis untuk melihat kebebasan media diagung-agungkan oleh pembangkang apabila mereka mencapai kemenangan telah terkubur sebelum menang.
Kenapa kita semua dari aliran pembangkang ini mempunyai sikap mahu menjadi ‘maksum’ sampai tidak boleh ditegur langsung? Kenapa kita berangan-angan untuk menjadi mullah yang akan mendengus marah apabila dikritik? Kenapa kita boleh bersemangat pula mengkritik lawan kita sedangkan kita marah mengkritik kelemahan dalaman kita?

Ada yang mencadangkan gunalah saluran seperti mesyuarat agung atau muktamar untuk mengkritik pimpinan? Janganlah guna laman web kerana di sini cuma perlu diisi dengan bom-bom jangka untuk BN! Penulis mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam hal menegur kelemahan pimpinan parti dalam mesyuarat agung parti. Akibatnya sampai ke hari ini penulis telah diboikot dalam semua program parti. Kenapakah terjadinya perkara malang sebegini rupa? Ianya adalah kerana para pimpinan parti menyalahgunakan istilah wala’ (wajib mentaati pimpinan) sehingga akhirnya penulis diboikot oleh semua aktivis parti yang mengetahui perkara yang terjadi dalam mesyuarat agung itu di atas alasan ‘tidak wala’ kepada pimpinan.

Penulis menganggap bahawa laman web adalah salah satu saluran bagi para pendokong gerakan ‘kiri’ untuk menegur para pimpinan demi memastikan agenda reformasi sistem dapat digerakkan dengan baik oleh organisasi parti yang mantap dan tidak jumud.

Sekiranya terdapat mana-mana pimpinan yang dikritik di laman web, maka kita yang memperjuangkan demokrasi (buat masa ini) ini mengalu-alukan pimpinan tersebut untuk memberikan respon balas yang berbentuk kenyataan mempertahankan diri demi menyuburkan wacana minda yang kritis dan terbuka.

Jika tak boleh, maka tentulah PAS (dan pembangkang yang lain) sama saja dengan Umno yang menghalang sebarang kritikan serta menyuburkan budaya diktator ‘aku sahaja yang betul’.

Penulis menyokong seratus-peratus kata-kata Tuan Guru Nik Aziz dalam temuramah beliau yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia baru-baru ini bahawa beliau mengharapkan agar pendokong PAS bukannya menjadikan PAS sebagai target tetapi sebaliknya Islam itu sendiri.

“Satu kesilapan orang-orang PAS ini dia banyak bercakap mengenai PAS tidak banyak bercakap mengenai Islam jadi PAS sahaja yang menjadi target’”.

Tidak hairanlah jika Umno satu hari nanti mahu tegakkan Islam sepenuhnya, maka hanya Tok Guru Nik Aziz seorang sahajalah yang akan masuk Umno kerana yang lainnya mencari pelbagai alasan untuk mengatakan Umno tidak ikhlas.

Penulis berharap agar kita semua dapat merubah diri ke arah yang lebih baik. Kalau tidak, maka mungkin betullah tulisan Ingrid Erez ‘PAS Dan Umno Sama Spesis’. Tolong nafikan persepsi yang timbul sekarang bahawa YB PAS pun sama macam YB Umno yang kedua-duanya sama-sama dapat makan elaun YB (YB PAS yang kalah pada 2004 boleh mengeluarkan kata-kata seperti tidak mengapa kalah kerana dah dapat duit pencen dan hadiah).

Kenyataan rasmi pas-reform movementpas-reform@yahoo.com

1 comment:

Anonymous said...

U**O sama spesies ngan PAS?... pada aku dedua ni tak sama, tapi sebilangan ahli dalam kedua-dua parti ni lebih kurang la, maklumla, BANGSA yang sama!!!

pasal orang tulis sesuatu mengenai kepimpinan pihak pembangkang ni, ingatla, presiden PAS sndri penah kuarkan ucapan yang bunyi lebih kurang begini 'serangan peribadi memang biasa dalam politik, dan kita akan gunakan ia' makanya, kalau kita boleh serang orang, takkan orang serang kita nak marah kot? biasala, dah adatkan, cuma kalau apa yang ditulis tu tidak benar, tak payah la siar, tapi kalau benar, dan apa yang dikatakan pula mengenai keburukan pemimpin pembangkang ni, HARUS DISIARKAN, kerana ahli parti berhak tau mengenai keburukan peribadi pemimpin supaya dapat disingkirkan orang-orang yang berperibadi buruk itu, kenapa nak simpan benda yang bermasalah, kang pihak musuh guna benda tu untuk menyerang kita masa PRU, tak ke naya?
ingatla, korang buleh kata kat U**O pasal tak hadapkan beberapa pemimpin yang korang tuduh sebagai korup, sama la korang pun kalau tak nak dedahkan keburukan pemimpin korang sendiri...

pk pk kan la...